Dia membentuk rupa mengikut apa yang dikehendakiNya.


Dia memerhatikan imej pantulan wajah di lopak air. 
"Saya ni tak cantik. Patutlah tak kahwin-kahwin lagi." 

Tiba-tiba ada rasa sakit di lengan, "Ouch. Apa ni?" 

"Jangan cakap macam tu, lah." Teman di sebelah mencubit, mengingatkan.

"Betullah. Semua nak kahwin dengan yang cantik-cantik je. Siapalah yang nak kahwin dengan yang tak cantik ni..."

"Semua ciptaan Allah cantik, ok!"

***

Di dunia ini, tiada seorang manusia pun yang punyai kuasa menentukan bentuk rupanya. Semuanya ciptaan Allah s.w.t ikut kehendakNya.

======
{ هُوَ ٱلَّذِي يُصَوِّرُكُمۡ فِي ٱلۡأَرۡحَامِ كَيۡفَ يَشَآءُۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ }
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

[Surah Âl-`Imrân: 6]
======

Kalimah يُصَوِّرُكُمۡ yang diterjemah "membentuk rupa" adalah terkait sifat Allah s.w.t yang memberikan fungsi fizikal dan bukan fizikal jasad manusia. 

Secara fizikal, Allah s.w.t memberi bentuk & sempurnakan fungsi setiap organ. Secara bukan fizikal, ada fungsi-fungsi elemen manusia yang penting seperti hati, akal yang berpotensi garap kebenaran meskipun tidak nampak secara fizikal. 

Dan bagaimana Dia memberi bentuk rupa?
كَيۡفَ يَشَآءُۚ
Dia membentuk rupa sebagaimana yang dikehendakiNya.

Lalu.
Tatkala timbul rasa tak puas hati dengan wajah sendiri yang dinilai kurang cantik,
Atau membuli bentuk fizikal manusia lain, 
Apakah sedar bahawa tindakan itu sebenarnya rasa tidak puas hati terhadap Allah Al-Musawwir? 

"Kenapa Allah tak cipta semua manusia cantik? Kenapa ada yang cacat?" 

Kerana semua yang di dunia ini sementara.
Kerana semua yang di dunia ini ujian. 

Cantik itu ujian.
Tak cantik pun ujian. 
Kulit warna cerah itu ujian.
Kulit warna gelap pun ujian. 

Apa yang pasti, walau apapun bentuk rupa manusia di dunia, itulah takdir terbaik yang ditentukan untuknya. 

Manusia tiada kuasa menentukan bentuk rupa ketika di dunia. Tiada kuasa menentukan cacat atau tidak ketika di dunia.

Tetapi 
Di akhirat kelak.
Wajah hitam atau biru, ditentukan amal ketika di dunia.
Wajah cacat atau buta, ditentukan tindakan ketika di dunia. 

=====
{ يَوۡمَ تَبۡيَضُّ وُجُوهٞ وَتَسۡوَدُّ وُجُوهٞۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱسۡوَدَّتۡ وُجُوهُهُمۡ أَكَفَرۡتُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡ فَذُوقُواْ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡفُرُونَ }
(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu".

[Surah Âl-`Imrân: 106]
======
{ قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرۡتَنِيٓ أَعۡمَىٰ وَقَدۡ كُنتُ بَصِيرٗا }
Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?"
{ قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتۡكَ ءَايَٰتُنَا فَنَسِيتَهَاۖ وَكَذَٰلِكَ ٱلۡيَوۡمَ تُنسَىٰ }
Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan".

[Surah Tâ-hâ: 125-126]
======

Buta di dunia tidak apa. Jangan dibutakan di akhirat. 
Rasa "tiada rupa" di dunia tidak apa. Jangan tiada rupa ketika di akhirat.

Dan hei.
Apakah belum sampai peringatan tentang kaum yang ditukar jadi kera?

======
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ ءَامِنُواْ بِمَا نَزَّلۡنَا مُصَدِّقٗا لِّمَا مَعَكُم مِّن قَبۡلِ أَن نَّطۡمِسَ وُجُوهٗا فَنَرُدَّهَا عَلَىٰٓ أَدۡبَارِهَآ أَوۡ نَلۡعَنَهُمۡ كَمَا لَعَنَّآ أَصۡحَٰبَ ٱلسَّبۡتِۚ وَكَانَ أَمۡرُ ٱللَّهِ مَفۡعُولًا }

Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi rata - tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka - Yahudi) yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku.
[Surah An-Nisâ': 47]
=======


Masih rasa tak suka dengan wajah yang dinilai tidak cantik?
Sedarilah bahawa Dia yang membentuk rupamu adalah Yang Menghidupkan dan Mentadbir urusan hidupmu. 

Sedikit rasa tak puas hati itu selamanya tidak setimpal dengan wajarnya rasa syukur terhadap nikmatNya yang Menghidupkan dan memastikan kelangsungan hidup makhluk-makhlukNya. 
=======
{ ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَيُّ ٱلۡقَيُّومُ }
Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.
[Surah Âl-`Imrân: 2]
=======

Alhamdulillahi robbil alamin.


Ulasan