Kemahiran menulis yang diajar Allah s.w.t


Dalam satu mesyuarat program, satu persatu tugasan diajukan. Ada ahli yang laju-laju tawarkan diri ikut kemahiran & kemampuan tersendiri.

Tapi, ada yang diam, enggan angkat tangan. Mungkin hanya menanti nama dipetik.

"Eh, kau bukan pandai buat poster ke?" Salah seorang ahli berbisik teman sebelahnya.

"Takpalah. Tunggu orang lain dulu volunteer."

***

Pernah lalui pengalaman sedemikian?
Sudah ada kemahiran tertentu untuk berbuat, tapi hadir macam-macam ketakutan untuk berkhidmat.

Takut tak cukup masa.
Takut tak boleh beri komitmen.
Takut banyak pengorbanan harta.
Takut macam-macam. 

Terperangkap dalam ilusi ketidakcukupan. Lalu tidak berbuat apa-apa. 

Tatkala manusia merasakan rezeki (ilmu, kemahiran, harta, masa lapang, kesihatan etc) adalah miliknya secara peribadi, tergantung usaha peribadi, ada rasa "miskin" lalu tak sanggup memberi. 

Cuba latih diri mengesakan Allah s.w.t dalam setiap rezeki kita.

Misalnya...

Kemahiran menulis ini daripada Allah s.w.t. Bukan saya punya. Justeru saya harus memberi (infaq) dengan menulis sampaikan kebenaran. Saya bukan beri yang saya punya. Saya beri yang Allah s.w.t punya. 

Nikmat masa ini juga daripada Allah s.w.t. Bukan saya yang tentukan keberkahan waktu. Justeru saya harus memberi masa saya untuk perjuangan agamaNya. 

Realitinya,

Manusia berisiko lalai untuk sedar bahawa kemahiran & kepandaian ilmu adalah asalnya bersumber Dia. Cuba perhatikan potongan ayat ini.

=====
 وَلَا یَأۡبَ كَاتِبٌ أَن یَكۡتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ ٱللَّهُۚ 
dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.
[Surah Al-Baqarah: 282]
=====

Potongan ayat di atas adalah berkenaan perintah merekod urusan hutang. 

Ayat penuhnya panjang. 

Izinkan saya kongsi satu pengajaran besar yang saya garap ketika belajar ayat ini.

Jika ditanya, "Bagaimana anda jadi pandai / berkemahiran?" 

Kebiasaannya dijawab, "Sebab saya belajar." atau "Sebab guru saya ajar."

Pernah tak rasa "Allah s.w.t yang ajar." ? 

Tak perasan bagus.
Tak sombong.
Tetap rasa segalanya daripada Dia. 

Bila tiba pada kalimah كَمَا عَلَّمَهُ ٱللَّهُۚ , saya terhenti, merenung lama.

"...sebagaimana Allah telah mengajarkannya."

Selama ni, sesiapa yang pandai menulis, sebenarnya Allah s.w.t yang ajarkannya. 

Begitu jugalah dengan segala kemahiran lain.
Kemahiran memasak.
Kemahiran bercakap.
Kemahiran bertukang.

Semualah.

Jangan sampai jadi macam Qarun, perasan semuanya dari diri sendiri.

=====
{ قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلۡمٍ عِندِيٓۚ أَوَلَمۡ يَعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ قَدۡ أَهۡلَكَ مِن قَبۡلِهِۦ مِنَ ٱلۡقُرُونِ مَنۡ هُوَ أَشَدُّ مِنۡهُ قُوَّةٗ وَأَكۡثَرُ جَمۡعٗاۚ وَلَا يُسۡـَٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلۡمُجۡرِمُونَ }

Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
[Surah Al-Qasas: 78]
=====

Fuh ...
Nak hujung Al-Baqarah ni.
Lagi-lagi diingatkan apa yang kita miliki berbentuk harta, ilmu, kemahiran & segalanya, adalah rezeki daripadaNya.

Justeru, infaqkanlah rezeki yang Dia berikan.

=====
 وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ 
 ... serta daripada apa yang Kami rezekikan kepada mereka, mereka membelanjakan (mendermakan)
[Surah Al-Baqarah: 3]
=====

Jika rasa rezeki yang dinikmati adalah milik mutlak diri sendiri, atau bersumber usaha diri sendiri semata-mata, akibatnya sombong.

Akibatnya bersikap kufur. Membelanjakan harta untuk kepentingan nafsu sendiri. Tak rasa syukur kepada Allah kerana tak sedar semuanya daripadaNya.

Bila hilang rasa syukur kepada Allah s.w.t, berlakulah pengkhianatan terhadap nikmat kurniaanNya. Berlakulah kekufuran. Sebagaimana Qarun yang mengkhianati kaumnya sendiri. 

Refleksi diri.

Sudahkah saya sedar bahawa selama ini, rezeki kemahiran menulis adalah diajar Allah s.w.t?

Justeru, sudahkah saya bersyukur dengan memanfaatkan kemahiran ini untuk berjuang atas jalanNya?

Ulasan