Riba : Jemput peperangan dengan Allah s.w.t dan rasulNya


Tengok berita perang Ukraine - Russia tempoh hari cukup menakutkan. Mass gunshot di USA baru-baru ni pun menyayat hati. 

Tiada yang suka pertumpahan darah. 
Tiada yang suka peperangan. 
Lebih-lebih lagi jika perlu memerangi kuasa yang amat-amat kuat. 

Awal Al-Baqarah ada sejarah Bani Israil yang enggan masuk membebaskan Palestin bersama Nabi Musa a.s akibat takut perang.

Kemudian ada lagi kisah perang tentera Thalut melawan Jalut. Ada tentera Thalut yang rasa tak mungkin mampu mengalahkan dalam keadaan Baki tentera tertapis ujian adalah sedikit. Tetapi orang beriman tahu realiti kekuatan adalah daripada Allah s.w.t.

Tiba pada bahagian akhir Al-Baqarah, ada satu lagi peperangan yang menakutkan. Perang antara manusia lemah melawan Allah s.w.t. Yang Maha Berkuasa.

====
{ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ فَأۡذَنُواْ بِحَرۡبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَإِن تُبۡتُمۡ فَلَكُمۡ رُءُوسُ أَمۡوَٰلِكُمۡ لَا تَظۡلِمُونَ وَلَا تُظۡلَمُونَ }

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya. Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

[Surah Al-Baqarah: 279]
=====

Nak perang sesama manusia pun takut. 
Siapa berani nak berperang dengan Allah s.w.t?

Tetapi inilah ancaman keras daripada Allah  s.w.t. buat yang enggan meninggalkan riba. 

Kenapa hujung-hujung Al-Baqarah ditutup dengan ancaman keras begini? 

Awal-awal surah lagi ditekankan kedudukan Allah s.w.t Yang Maha Memberi Rezeki. Segala apa yang manusia nikmati & miliki adalah bersumber rezekiNya.

=====
{ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ }
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
[Surah Al-Baqarah: 3]
=====

Orang bertaqwa, yang berjaya (muflihun), yang berada atas petunjuk, salah satu peribadinya adalah infaq sebahagian yang Allah s.w.t rezekikan kepadanya.

Bahkan, di kalangan orang yang berinfaq, tetapi suka mengungkit & menyakitkan hati si penerima infaq, Allah s.w.t ancam dengan nilai "kafir". 

Kerana di sebalik terzahirnya peribadi suka mengungkit & menyakitkan hati si penerima infaq, terselit penyakit lemah Iman kepada Allah s.w.t dan Hari Akhirat. Lemah Iman bahawa Allah s.w.t sumber rezeki. Merasakan diri sendiri punca rezeki sehingga berhak mengungkit & menyakitkan hati si penerima infaq. 

=====
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ }

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

[Surah Al-Baqarah: 264]
=====

Kalau infaq tapi mengungkit adalah penyakit lemah Iman kepada Allah s.w.t dan Hari Akhirat....

Bagaimana pandangan kalian terhadap satu lagi golongan manusia yang dahlah memang tak nak infaq, bahkan ambil kesempatan lagi atas ketidakmampuan orang miskin.

Rezeki yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya (dengan lebihan harta sehingga mampu beri hutang), dijadikan alat untuk menindas orang-orang yang tidak berkemampuan dengan riba. 

Beri hutang terhadap orang yang memerlukan tapi ambil lagi keuntungan atas hutang yang diberikan. 

Bukan setakat tak nak tolong orang yang kurang berkemampuan, bahkan menzalimi & menindas lagi. Memang tak rasa rezeki dalam tangannya adalah amanah daripada Allah s.w.t. Sedangkan orang beriman akan merasakan ada hak orang miskin dalam harta miliknya. 

Masih enggan tinggalkan riba?

Tanya diri dahulu sudah bersiapkah diperangi Allah s.w.t dan rasulNya?

Ulasan