"Saya tahu apa yang dalam hatimu..."




Bayangkan. 

Seorang pegawai atasan yang dapat akses semua aktiviti pengguna WiFi tempatnya, tiba-tiba datang mengancam "Saya tahu awak masuk ke site apa malam tadi."

Atau

"Saya tahu apa yang awak beli di shoppee bulan lepas."

Kalau si pengguna WiFi tak buat salah, memang tiada rasa apa-apa.
Tapi, kalau dia buat salah, pergi ke laman-laman "gelap" atau beli barang-barang terlarang, memang pelbagai rasa timbul.

Rasa takut kalau ada perbuatan zalim yang boleh sabit kesalahan, dihukum penjara. 
Rasa malu kalau ada buat maksiat, khuatir dosa peribadi jadi aib yang tersebar. 

Mari renungi hujung ayat Al-Baqarah.

Surah Al-Baqarah yang sarat pedoman rukun Islam, sejarah orang-orang yang diberikan nikmat serta orang-orang yang dimurkai & sesat, hukum-hakam perintah panduan berumahtangga & muamalat... Akhirnya ditutup dengan mengenalkan siapa Allah & keadaan Hari Akhirat. 

=====
{ لِّلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ وَإِن تُبۡدُواْ مَا فِيٓ أَنفُسِكُمۡ أَوۡ تُخۡفُوهُ يُحَاسِبۡكُم بِهِ ٱللَّهُۖ 

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. 
[Surah Al-Baqarah: 284]
=======

Cuba fikirkan.
Akan tiba suatu hari, Dia yang memiliki langit & bumi akan menyatakan dan membongkar di hadapanmu akan apa yang telah dilakukan. 

Semuanya tak terkecuali.
Termasuklah apa yang ada dalam hati.
Semuanya Dia tahu dan akan menanyakan kepadamu.

Takut tak?

"Lintasan hati pun akan dibongkar dan ditanyakan?"

Ya benar.
Segala yang tersembunyi atau terzahir.
Semuanya akan ditanyakan. 

Cuma.
Setelah itu.
Khusus buat si hamba yang penuhi syarat diampunkan dosa, Dia akan mengampunkan.

=====

فَيَغۡفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ }

Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[Surah Al-Baqarah: 284]
======

Justeru, berhati-hatilah.
Bahkan segala lintasan hati mahupun dengki yang tersembunyi dalam hati, akan ditanyakan. 
Kemudian tergantung pada Allah s.w.t untuk mengampunkan atau mengazab.

Hanya apa-apa yang di luar kawalan sahaja tidak akan dipertanggungjawabkan.

=====
{ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡهَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. 

[Surah Al-Baqarah: 286]

=====

Ada lintasan pemikiran dosa luar kawalan, cepat-cepat istighfar. Moga Dia ampunkan. 

Ada jugak pemikiran yang dibuat secara sedar, pilihlah jalan taubat, bertanggungjawab atas tindakan. 

Ada emosi negatif yang spontan, cepat-cepatlah Mohon ampun.

Ada juga emosi yang disuburkan secara sedar seperti marah, dengki, buruk sangka. Rawatlah hati. Pilih jalan untuk taat kepadaNya agar Dia mengampuni. 

Dan indah surah Al-Baqarah 
Dengan segala kelemahan si hamba dalam mentaati perintahNya, Dia kurniakan kita skrip doa agung untuk diulang minta setiap hari. 

======

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرٗا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَٰفِرِينَ 

 "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

[Surah Al-Baqarah: 286]
======

Alhamdulillahi robbil alamin.
Terima kasih ya Allah.
Untuk surah Al-Baqarah ini.

.
.
.
_________________

Pengajian ayat akhir Al-Baqarah 19 Julai 2022. 

Ulasan