Ada seorang pelajar, namanya Maz. Dia bijak sangat. Semua subjek, dia boleh Skor tinggi-tinggi.
Pada suatu hari, jirannya berkongsi sesuatu. Jirannya merupakan guru di sekolahnya.
"Eh, awak sebenarnya dah jadi anak emas cikgu-cikgu di sekolah tau. Awak buatlah apa-apa, pasti tak akan dikenakan tindakan." Jiran Maz bersungguh-sungguh berkongsi.
"Maksud cikgu?"
"Maksud cikgu, awak dah dianggap istimewa. Awak tak belajar pun takpe. Nanti cikgu-cikgu pasti bagi lulus. Awak nak ponteng kelas pun cikgu-cikgu tak kisah tau, tak akan dikenakan tindakan." Panjang lebar jirannya menerangkan.
"Wah bestnya begitu." Maz terkejut tetapi gembira.
Sejak itu, perangai Maz berubah.
Dia mula berani ponteng sekolah. Bila tiba musim peperiksaan pun dia buat tak tahu je. Sebab yakin cikgu pasti bagi dia markah penuh. Jadi, dia pun jawab soalan peperiksaan ikut suka hati.
Disebabkan bosan, kebanyakan waktu dia ganggu kawan-kawan lain. Kadang-kadang dia buli teman sekelas yang pendiam. Dia jadi berani buat salah sebab percaya tak akan diambil tindakan.
Tiba penghujung tahun, cikgu umumkan markah peperiksaan.
Maz sangat-sangat terkejut sebab dia gagal. "Eh, bukan jiran saya kata semua cikgu pasti beri saya markah penuh?"
Bukan itu sahaja, tiba-tiba namanya dipanggil guru disiplin. Maz sakit perut. Kenapa namanya dipanggil? Bukankah jirannya pernah beritahu yang dirinya tak akan diambil sebarang tindakan?
Maz mula rasa marah. Dia baru tersedar yang dia tertipu oleh jiran sendiri.
Maz menyesal.
.
.
.
.
.
Begitu,
Kisah Maz, kisah seorang manusia yang tertipu oleh harapan palsu oleh sumber yang tidak benar.
Boleh kaitkan dengan satu info kebenaran daripada wahyu?
Sebenarnya, Allah s.w.t membongkar penyakit yang dialami golongan yang telah diberikan Al-Kitab (Muslim) jika sikap mereka berterusan langgar perintah Allah s.w.t
Pelik, Kan?
Dah dapat Al-Kitab, tapi masih ingkar.
Dah jadi Muslim, tapi tak nak taat.
=====
{ أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُواْ نَصِيبٗا مِّنَ ٱلۡكِتَٰبِ يُدۡعَوۡنَ إِلَىٰ كِتَٰبِ ٱللَّهِ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٞ مِّنۡهُمۡ وَهُم مُّعۡرِضُونَ }
Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).
[Surah Âl-`Imrân: 23]
======
Nak tahu kenapa mereka jadi begitu?
Meskipun dah tahu kebenaran, tapi masih nak ingkar perintah Allah...
======
{ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُواْ لَن تَمَسَّنَا ٱلنَّارُ إِلَّآ أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۖ وَغَرَّهُمۡ فِي دِينِهِم مَّا كَانُواْ يَفۡتَرُونَ }
Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung". Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.
[Surah Âl-`Imrân: 24]
=====
Rupa-rupanya, golongan sebegini tertipu.
Entah siapa yang menipu.
Tapi sampai pada pendengaran dan hati mereka akan satu kepercayaan palsu yang diimani iaitu "Kita tak akan diazab melainkan beberapa hari tertentu."
Lalu rasa selesa dan selamat daripada ancaman Allah s.w.t
Lalu tak takut berbuat dosa.
Sedangkan, itu semua palsu.
Realitinya Allah s.w.t akan menghitung satu persatu.
======
{ فَكَيۡفَ إِذَا جَمَعۡنَٰهُمۡ لِيَوۡمٖ لَّا رَيۡبَ فِيهِ وَوُفِّيَتۡ كُلُّ نَفۡسٖ مَّا كَسَبَتۡ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ }
Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.
[Surah Âl-`Imrân: 25]
======
Risau.
Kalau tertipu ketika di dunia konon
"Saya confirm masuk syurga. Walaupun saya tak susah² beramal. Saya hidup rileks rileks je."
Atau
"Takpa saya buat maksiat, nanti saya tak akan masuk neraka forever. Confirm masuk syurga."
Bahaya pemikiran sebegini.
Entah-entah bisikan syaitan yang menipu, yang mahu meramaikan golongannya memasuki neraka.
Kerana akibat pemikiran ini adalah keingkaran & maksiat tanpa rasa bersalah.
Refleksi diri.
Berimanlah pada kebenaran.
Dan kebenaran (Al-Haq) itu hanyalah daripada Robb.
Jangan senang-senang mengimani hal yang kita tak tahu sumber kebenarannya.
Meskipun diungkapkan oleh jiran mahupun orang lain yang kita percayai.
Percayalah utamanya pada Robb yang menurunkan wahyu.
Khusus untuk kebenaran (Al-Haq), carilah apa yang diajar Robbmu.
Ulasan
Catat Ulasan