Menjadi saksi (Syahid)


"Kasihan dia ni, kemalangan langgar lari." Seorang kakak menunjukkan video yang tular.

"Dia minta tolong ke?"

"Ya, dia minta sesiapa yang ada rakam dashcam kejadian tersebut, dia nak bahan bukti."

"Kalau awak ada pada hari kejadian. Dan kena jadi saksi, awak sanggup?"

"Mestilah. Kenalah jadi saksi supaya dia tak dizalimi." 
.
.
.

Menjadi saksi (syahid) adalah kewajipan pihak yang tahu kebenaran. Jika enggan, itulah sikap pentingkan diri dan zalim kepada orang lain.

Mari renungkan pula posisi manusia yang telah menerima apa yang diturunkan (Al-Kitab), lalu punya pilihan mahu menjadi saksi atas kebenaran atau tidak. 

=====
 وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ 

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. 
[Surah Al-Baqarah: 143]
=====

Seorang yang menyaksikan kebenaran daripada Al-Quran harus menjadi saksi terhadap kebenaran. Bagaimana? 

Dengan menyampaikan apa yang disaksikan. Tidak menyembunyikannya. Bukankah itu tugas hakiki seorang "saksi".

Asasnya, menjadi saksi terhadap kebenaran adalah dengan menjadi Muslim yang serah diri mematuhi segala perintah & laranganNya dalam Al-Kitab.

Pada zaman Nabi Isa a.s., golongan hawariyyun mahu menjadi saksi terhadap kebenaran (Syahid), setelah memilih beriman kepada Allah, kepada wahyu & ikuti rasul. 

Merekalah ansarullah. 

=====
{ ۞ فَلَمَّاۤ أَحَسَّ عِیسَىٰ مِنۡهُمُ ٱلۡكُفۡرَ قَالَ مَنۡ أَنصَارِیۤ إِلَى ٱللَّهِۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِیُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَٱشۡهَدۡ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ (52) رَبَّنَاۤ ءَامَنَّا بِمَاۤ أَنزَلۡتَ وَٱتَّبَعۡنَا ٱلرَّسُولَ فَٱكۡتُبۡنَا مَعَ ٱلشَّـٰهِدِینَ (53) }
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)."Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi "

[Surah Âl-`Imrân: 52-53]
=====

Cuba fikirkan, apa akibatnya jika golongan yang menerima kebenaran (wahyu) enggan menjadi saksi terhadap manusia?

Lalu manusia tidak tahu apa itu kebenaran.
Lalu manusia tidak tahu bahawa hidupnya punya petunjuk daripada Tuhan. 

Kesannya, berlakulah kerosakan di muka bumi. Akibat manusia yang hidup tanpa pedoman. 

Dan ini terkait pilihan tindakan golongan manusia yang menyaksikan kebenaran (Muslim) tapi enggan mengamalkannya.

Refleksi diri.
Sudahkah saya mahu menjadi golongan syuhada'? 
Yang menjadi saksi terhadap kebenaran dengan beriman, mengamalkannya serta sampaikan kepada manusia sejagat. 

______

Teringat video lama syahadatul haq https://youtu.be/tOuRPud64lc 

Ulasan