"Awak, kalau nak dapat title kaunselor berdaftar untuk kerja, kena lulus interview Lembaga Kaunselor dulu tau."
"Bagaimana nak lulus tu?"
"Paling asas, kena cukup tempoh minimum buat sesi kaunseling dengan klien."
"Berapa?"
"Beratus-ratus jam sesi. Heh lupa berapa.
.
.
.
Seorang kaunselor, layak dimasukkan dalam senarai kaunselor berdaftar jika dia penuhi syarat asas antaranya telah laksanakan sejumlah minimum sesi kaunseling.
Seorang manusia lain, mendapat gelar "cikgu" jika sepanjang hidupnya memang mengajar. Terbukti dialah "cikgu" dengan perbuatan mengajar.
Meraih gelar "profesyen" memang terlebih dahulu perlu dibuktikan dengan perbuatan.
Seorang "jurutera" juga mungkin malu mengaku dirinya jurutera jika tak mampu melakukan kemahiran asas seorang jurutera.
Dan sebenarnya, itulah yang dimahukan dari gelar "Muslim".
Kalimah "Muslim" adalah gelar pelaku yang menyatakan bahawa seseorang benar-benar serah diri kepada Allah s.w.t. Jika nama berbunyi Arab, tetapi perangai mengingkari segala perintah & laranganNya, khuatir tak dinilai Muslim di sisi Allah s.w.t.
Bagaimana kita dinilai Muslim yang serah diri kepadaNya?
Apakah cukup nama kita ber'bin' kan orang Islam lalu di sisiNya kita langsung dinilai Muslim?
Tidak.
Pengakuan diri sebagai Muslim yang serah diri kepadaNya bermula dengan keimanan terhadap kalamNya (Al-Kitab). Apabila manusia beriman kepada apa yang Dia turunkan dengan laksanakan perintah & jauhi laranganNya, itulah definisi sebenar seorang Muslim yang serah diri.
=====
{ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ }
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)".
[Surah Âl-`Imrân: 84]
=====
Jika seseorang mengaku dirinya Muslim, tetapi tidak tahu apa bicara Tuhan (Al-Quran), mana mungkin dia mampu mengimaniNya. Kerana syarat beriman adalah tahu apa yang Dia turunkan (rujuk surah Ash-Syura ayat 52).
Dan jika manusia tidak tahu kandungan Al-Kitab, bagaimana dia mampu serah diri (Muslim) dengan mengabdi kepadaNya?
Jika ini berlaku, hati-hati.
Bersegeralah belajar wahyu sebelum ajal tiba.
Kerana, tempoh untuk buktikan kita Muslim yang serah diri kepadaNya hanyalah ketika kita masih berada di alam dunia.
=====
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ }
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
[Surah Âl-`Imrân: 102]
=====
Bertaqwalah.
Laksanakan perintahNya, Jauhi laranganNya.
Dengan itu, terbuktilah bahawa diri adalah benar-benar Muslim.
Janganlah mati sebelum sempat membuktikan yang diri benar-benar Muslim yang serah diri kepadaNya.
Ulasan
Catat Ulasan