Guru yang tidak mempertuhankan diri sendiri


"Ish, makin ramai pempengaruh (influencer) agama di media sosial ni." Dia yang ada 100K followers menyuarakan rasa gundah.

"Kenapa?" Temannya yang ada 137 followers FB tidak mengerti. 

"Followers saya pun ada yang ikut dia juga." 

"Mana awak tahu?"

"Tahulah. Nampak."

"Biarlah. Apa salahnya?"

"Tak boleh. Sebab saya yang mula dulu. Kenapa saya kena berlawan dengan mereka."

"Tiada siapa suruh awak berlumba..."

___________

Ilusi ketaatan & kesetiaan.

Tatkala sang guru berilmu tinggi mahu dapatkan perhatian dan ketaatan pengikut atau anak muridnya, lalu seruan yang diucapkan terselit niat mengajak manusia kepada diri sendiri bukan kepada Tuhan.

Sikap ini bertentangan dengan teladan guru umat iaitu para Nabi. Para Nabi yang telah diberikan nikmat petunjuk tidak akan sekali-kali menyeru umat menyembah dan taat pada dirinya.

Sebaliknya, para Nabi akan menyeru manusia menjadi hamba kepada Robb dengan mengajar wahyu & berterusan mempelajarinya.

=====
{ مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن یُؤۡتِیَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ یَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا۟ عِبَادࣰا لِّی مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِن كُونُوا۟ رَبَّـٰنِیِّـۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ (79) وَلَا یَأۡمُرَكُمۡ أَن تَتَّخِذُوا۟ ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةَ وَٱلنَّبِیِّـۧنَ أَرۡبَابًاۗ أَیَأۡمُرُكُم بِٱلۡكُفۡرِ بَعۡدَ إِذۡ أَنتُم مُّسۡلِمُونَ (80) }

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. Dan dia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?

[Surah Âl-`Imrân: 79-80]
======


Para Nabi yang diutus Allah s.w.t untuk sampaikan wahyu adalah hambaNya. 
Nabi tidak akan jadi anak Tuhan.
Nabi juga bukan Tuhan untuk disembah. 

Pedoman yang kita belajar daripada ayat ini, jadilah seorang yang menyeru manusia kepada Robb. Bukan menggunakan kelebihan ilmu pada diri untuk mengajak manusia kepada diri sendiri. 

Menunggang agama. 

Ajarlah Al-Kitab
Dan berterusanlah belajar Al-Kitab

Saat terlihat semakin ramai guru-guru pejuang agama yang sampaikan Firman Tuhan, bersyukurlah. Bukan dengki akibat penyakit dalam hati yang cintakan pengaruh & kemasyhuran



Ulasan