Kualiti manusia yang diimpikan


Kualiti manusia yang diimpikan.
__________________

"Apa yang awak harapkan daripada lelaki?"

- "Keselamatan, perlindungan."

Baca lagi berita.

"Kesiannya, kenapa selepas kematian suami, ahli keluarga berebut rumah milik suami? Nak kakak ipar dan anak-anak saudaranya duduk merempat?"

Ada lagi kes "Kenapa si uncle sibuk dengan harta si mati? Siap tak puas hati sebab tak dapat apa-apa?"

Kerana harta, manusia sanggup menzalimi ahli keluarga sendiri. Sanggup menzalimi anak-anak yatim. 

Apa yang tak kena?

Apa yang tiada dalam jiwa manusia? 

Surah An-Nisa yang mengangkat perlindungan terhadap golongan lemah - wanita & anak-anak yatim, dimulakan dengan DUA PERINTAH TAQWA

Taqwa,
Itulah kualiti peribadi manusia yang diimpikan.

=====
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا }

Wahai sekalian manusia! 

Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. 

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.

[Surah An-Nisâ': 1]
=====

Dalam Al-Quran, setakat 4 Juzu' yang dilalui ini, ada beberapa kalimah berlainan untuk konsep taqwa. 

Khosyiah - takut kerana mempunyai ilmu terhadap keagungan dan kebesaran pihak yang ditakuti.

Khauf - takut kerana kelemahan diri sendiri.

Taqwa (wiqayah) - Takut dan mahu melindungi diri daripada yang tidak diingini. Khususnya taqwa kepada Allah dengan takut azabNya Dan takut jika tidak diredhaiNya. Lalu perbuatan yang terzahir adalah taat perintahNya, Jauhi laranganNya. 

Kalimah "takut" yang Allah s.w.t gunakan di sini adalah taqwa. Itulah perintahNya. 

Surah An-Nisa' sarat dengan perintah dan panduan mengenai hak golongan lemah (wanita & anak yatim) serta tanggungjawab golongan yang diberikan kelebihan (lelaki). 

Dan bagaimana nak lahirkan masyarakat yang golongan lemah ini terpelihara ? 
Bagaimana nak lahirkan masyarakat yang golongan kuat (lelaki) tidak eksploitasi & menindas golongan lemah (wanita & anak-anak yatim)? 

Peduli didik generasi kenal Allah s.w.t, lalu bertaqwa kepadaNya. 

Tanpa taqwa, manusia "cacat". Sulit berfungsi sebagai hamba & khalifah. 

Taqwa ibarat kunci memasuki surah an-Nisa'. 

Tanpa taqwa, ego merajai, rakus terhadap harta, lalu golongan lemah tidak dijaga. Tiada rasa bersalah, tiada rasa takut menzalimi. 

Kerana taqwa telah hilang daripada diri.

Ulasan