Ketika perang Badar berlaku, tentera Muslim sekitar 300 orang berhadapan tentera musyrikin Mekah seramai 1000 orang. Ini adalah peperangan yang tidak dijangka.
Tiada temujanji.
Tiada persiapan perang dari pihak Muslim. Asalnya muslimin keluar kerana niat berhadapan karavan Abu Sufyan, dapatkan hak muhajirin yang selama bertahun-tahun ditindas dan dizalimi sebelum hijrah.
Pasukan Muslim keluar daripada Madinah bukan untuk berperang.
Bahkan Allah s.w.t membongkar kalau berlaku perjanjian dan temujanji untuk berperang, Muslim Madinah tidak akan keluar menghadapinya.
=====
{ إِذۡ أَنتُم بِٱلۡعُدۡوَةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُم بِٱلۡعُدۡوَةِ ٱلۡقُصۡوَىٰ وَٱلرَّكۡبُ أَسۡفَلَ مِنكُمۡۚ وَلَوۡ تَوَاعَدتُّمۡ لَٱخۡتَلَفۡتُمۡ فِي ٱلۡمِيعَٰدِ وَلَٰكِن لِّيَقۡضِيَ ٱللَّهُ أَمۡرٗا كَانَ مَفۡعُولٗا لِّيَهۡلِكَ مَنۡ هَلَكَ عَنۢ بَيِّنَةٖ وَيَحۡيَىٰ مَنۡ حَيَّ عَنۢ بَيِّنَةٖۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَسَمِيعٌ عَلِيمٌ }
(Iaitu) ketika kamu berada di tepi lembah yang dekat (ke Madinah) dan mereka (pihak musuh) berada di tepi lembah yang jauh (dari Madinah), sedang Kafilah (pembawa dagangan musuh) berada di tempat yang rendah dari tempat kamu (di tepi laut). Dan kalaulah kamu berjanji (dengan mereka mengenai peperangan itu) nescaya kamu akan berselisih pada menentukan harinya. Akan tetapi (pertemuan angkatan kamu dengan angkatan mereka yang tidak disangka-sangka itu) ialah supaya Allah melakukan suatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya, iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya), dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya); kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[Surah Al-Anfāl: 42]
=====
Peperangan yang tidak dijangka ini menatijahkan banyak kebaikan sehingga digelar Yaumul Furqan.
Peperangan ini membuktikan umat Islam adalah umat yang mampu berdiri sendiri, independent, tak perlu bergantung pada kuasa besar kerana Allah s.w.t bersama mereka.
Peperangan ini membuktikan angka bilangan dan kekuatan ketenteraan tidak menjamin kemenangan kerana pertolongan Allah s.w.t jauh luar biasa kekuatannya.
Peperangan ini mendidik golongan mukmin bahawa kemenangan itu bukan dari mereka tetapi daripada Allah s.w.t. Justeru usah tertipu dengan harta rampasan perang sehingga sanggup berebut & bergaduh mendakwa diri yang paling layak mendapatkannya.
Peperangan ini jadi bukti terhadap musyrikin bahawa mereka memilih kufur meskipun telah melihat kebenaran. Tiada alasan untuk berdalih tatkala berhadapan dengan Allah di akhirat kelak.
Peperangan ini turut jadi bukti terhadap mukminin bahawa mereka tetap teguh memilih Iman setelah melihat kebenaran.
Dengan bilangan tentera Muslim yang kecil, secara logik akal tidak akan menang melawan tentera yang besar.
Tetapi, Allah s.w.t mahu ketetapan itu berlaku.
Allah s.w.t mahu kebenaran menang melawan kebatilan.
Lalu tentera Muslim menang dengan banyak bantuan Allah s.w.t.
Bila merenung peristiwa ini, dalam kehidupan, adakalanya kita berhadapan dengan situasi sulit yang selama ini kita cuba lari daripadanya kerana tidak percaya kemampuan diri untuk hadapi.
Tatkala Allah s.w.t mengizinkannya tetap berlaku, bersabar dan hadapilah dengan panduan Iman.
Teruslah tetapkan pendirian atas kebenaran.
Tawakkal kepadaNya.
Lakukan tindakan selari petunjukNya.
Moga-moga ujian yang kita rasa "terpaksa" hadapi membuah banyak kebaikan di damping membuktikan kebenaran Iman.
Seperti isteri Firaun, siapa sangka, ujian berjodohkan lelaki zalim jadi ruang Asiah membuktikan kebenaran imannya sehingga doanya dirakam kemas dalam kitab akhir zaman, jadi pedoman buat semua wanita beriman.
=====
{ وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱمۡرَأَتَ فِرۡعَوۡنَ إِذۡ قَالَتۡ رَبِّ ٱبۡنِ لِي عِندَكَ بَيۡتٗا فِي ٱلۡجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرۡعَوۡنَ وَعَمَلِهِۦ وَنَجِّنِي مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلظَّٰلِمِينَ }
Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim";
[Surah At-Taḥrīm: 11]
======
Saat diuji ujian kesulitan yang tidak disukai apatah lagi tidak pernah dirancang, pilihlah untuk tetap beriman. Pilihlah jalan sabar. Pilihlah jalan tawakkal dengan peduli faham alquran, lalu bertindak ikut petunjuk wahyu.
Moga-moga Allah s.w.t mengurniakan pertolongan melalui arah tak disangka-sangka.
#008AlAnfaal
Ulasan
Catat Ulasan