Bayangkan sebuah kubu pertahanan. Selamat daripada ancaman musuh. Di dalamnya cukup segala keperluan hidup makan, minum pakaian.
Begitulah seharusnya gambaran seorang yang memasuki alam rumahtangga. Lelaki yang berniat jaga kehormatan pasangannya dan mahu melindunginya sepenuh jiwa raga.
=====
{ ۞وَٱلۡمُحۡصَنَٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُكُمۡۖ كِتَٰبَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمۡ أَن تَبۡتَغُواْ بِأَمۡوَٰلِكُم مُّحۡصِنِينَ غَيۡرَ مُسَٰفِحِينَۚ فَمَا ٱسۡتَمۡتَعۡتُم بِهِۦ مِنۡهُنَّ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةٗۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ فِيمَا تَرَٰضَيۡتُم بِهِۦ مِنۢ بَعۡدِ ٱلۡفَرِيضَةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمٗا }
Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[Surah An-Nisâ': 24]
=======
Seorang lelaki, bila tertarik dengan wanita, terbentang dua jalan.
Jalan pertama, jalan muhshinin
Jalan kedua, jalan musafihin
أَن تَبۡتَغُواْ بِأَمۡوَٰلِكُم مُّحۡصِنِينَ غَيۡرَ مُسَٰفِحِينَۚ
Jalan muhshinin adalah dengan menjadi lelaki, usaha berkerja meraih harta cukup untuk menjaga si isteri & bakal keturunannya. Kecenderungannya pada wanita mendorongnya berkerja keras, rajin membanting tulang agar dapat menikahi wanita yang dicintai dengan kekuatan harta.
تَبۡتَغُواْ بِأَمۡوَٰلِكُم
Jalan musafihin pula adalah dengan mengorat si wanita itu tanpa niat menjaganya. Kecenderungannya pada wanita mendorongnya semakin mendekati si wanita sehingga terjebak zina. Tak terlintas untuk berkerja keras kerana tiada tujuan melindungi dan menjaga wanita.
Realiti zaman sekarang, turut ada trend lelaki yang bernikah tanpa niat menjaga ahli keluarga. Pernikahan dilakukan hanya untuk menghalalkan hubungan suami isteri. Bahkan ketika menikah, diletakkan syarat isteri haruslah kerja government atau memiliki gaji sekian - sekian banyaknya. Lalu si isteri dinikahi untuk dibebankan dengan tanggungjawab mencari nafkah dirinya serta anak-anak. Dan isteri ibarat fungsi perempuan simpanan untuk penuhi keinginan nafsu semata-mata.
Begitu,
Bernikah untuk hawa nafsu.
Sedangkan,
Muhsin (محصن) adalah kualiti fitrah lelaki yang diciptakan dengan potensi melindungi wanita. Kualiti inilah yang menyokong peranan khalifah, melahirkan generasi penyembah Allah s.w.t. Bermula dengan fungsi lelaki yang sediakan "kubu pertahanan" siap melindungi keluarga kecilnya daripada ancaman luaran, penuhi segala keperluan. Dan wanita yang menjaga anak-anak bermula dengan penyusuan serta pendidikan wahyu berterusan.
Jika fitrah muhshin ini tidak dinodai, jiwa lelaki pasti sentiasa mahu melindungi pasangan dan anak-anaknya.
Bagaimana keadaan umat zaman kini?
Realiti syaitan & iblis tak pernah putus asa sesatkan anak-anak Adam.
Dan apa strategi licik syaitan?
1) Mahu tertanggalnya pakaian agar ternampak aurat, itulah niat pertama iblis terhadap Nabi Adam a.s & Hawwa (Al-Araf, 7: 20)
2) Makan apa yang dilarang juga taktik awal iblis terhadap Nabi Adam a.s & Hawwa (Al-'Araf, 7:22) sedangkan Allah s.w.t beri pedoman untuk tidak mendekati pohon terlarang.
Terlibat dalam fenomena aurat yang terdedah (e.g pornografi) dan makan makanan terlarang (tidak halal & toyyib), dua-dua ibarat "undi" terhadap pilihanraya kekuasaan syaitan dalam diri.
Bahana pornografi, gaya hidup makanan tidak halal dan baik, semua ini melemahkan benteng keimanan orang Islam membuatkan mudah terjebak perkara keji dan mungkar. Wanita dilihat sebagai objek seks. Dan syaitan berkuasa menyuruh manusia berbuat perkara keji & mungkar selari dengan banyaknya tindakan makan makanan tidak halal dan toyyib.
=====
{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُوا۟ مِمَّا فِی ٱلۡأَرۡضِ حَلَـٰلࣰا طَیِّبࣰا وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَ ٰتِ ٱلشَّیۡطَـٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوࣱّ مُّبِینٌ (168) إِنَّمَا یَأۡمُرُكُم بِٱلسُّوۤءِ وَٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَأَن تَقُولُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ (169) }
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).
[Surah Al-Baqarah: 168-169]
=====
Justeru.
Para ibu,
Jom kita didik anak lelaki & perempuan agar kuat menahan pandangannya daripada perkara haram.
Dan didiklah tabiat makan yang halal baik di kalangan mereka.
Moga-moga semuanya terlindung daripada hasutan syaitan. Membuatkan jiwa mereka matang dengan agama fitrah.
=====
{ فَلَمَّا وَضَعَتۡهَا قَالَتۡ رَبِّ إِنِّي وَضَعۡتُهَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا وَضَعَتۡ وَلَيۡسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلۡأُنثَىٰۖ وَإِنِّي سَمَّيۡتُهَا مَرۡيَمَ وَإِنِّيٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ }
Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".
[Surah Âl-`Imrân: 36]
======
Ulasan
Catat Ulasan