Lelaki yang enggan lafaz talak

"Aku dengan isteri dah setahun lebih tak sehaluan."

"Habis tu, kenapa kau biar dia tergantung? Lepaskan dia cara baik."

"Aku tak puas hati sebab mahar dia dulu mahal. Aku nak dia tebus talak. Khuluk. Supaya dia pulangkan mahar." 

"Dah tu, kau nak buat apa sekarang? Nak susahkan hidup dia sampai dia tak tahan kemudian tebus talak? Kau tak nak jatuhkan talak?"

"Ya."
.
.
.
.
Di Malaysia, biasa dengar berita kesulitan si isteri dilepaskan suami. Meskipun realiti kes tersebut si suami menzalimi isteri dan sudah lama mengabaikan isteri, tetapi suami enggan lafaz talak. Hidup isteri dipersulitkan untuk memaksa si isteri tebus talak. 

Allah s.w.t menyingkap perilaku begini.

=====
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَحِلُّ لَكُمۡ أَن تَرِثُواْ ٱلنِّسَآءَ كَرۡهٗاۖ وَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ لِتَذۡهَبُواْ بِبَعۡضِ مَآ ءَاتَيۡتُمُوهُنَّ إِلَّآ أَن يَأۡتِينَ بِفَٰحِشَةٖ مُّبَيِّنَةٖۚ وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ فَإِن كَرِهۡتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـٔٗا وَيَجۡعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيۡرٗا كَثِيرٗا }

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
[Surah An-Nisâ': 19]
======

Dalam ayat ini, Allah s.w.t melarang suami mempersulit dan menyukarkan hidup si isteri semata-mata mendapatkan kembali apa yang telah diberikan (mahar) misalnya melalui jalan tebus talak. 

Seandainya maharnya mahal, bahkan menimbun, Allah s w.t beri pedoman untuk tidak mengambilnya kembali. 

Ada lelaki terfikir...
"Kalau dia pulangkan mahar, saya boleh gunakan mahar tersebut untuk kahwin baru nanti." 

Allah berfirman.

=====
{ وَإِنۡ أَرَدتُّمُ ٱسۡتِبۡدَالَ زَوۡجٖ مَّكَانَ زَوۡجٖ وَءَاتَيۡتُمۡ إِحۡدَىٰهُنَّ قِنطَارٗا فَلَا تَأۡخُذُواْ مِنۡهُ شَيۡـًٔاۚ أَتَأۡخُذُونَهُۥ بُهۡتَٰنٗا وَإِثۡمٗا مُّبِينٗا }

Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?

[Surah An-Nisâ': 20]
======

Antara jalan untuk berpisah dan dapat kembali mahar yang telah diberikan adalah jika si isteri nusyuz. Andai si isteri tidak nusyuz, tapi masih mahu dapatkan tumpukan mahar tersebut, adakah sanggup menuduhnya melakukan dosa ?

Banyak kes-kes mahkamah terkait sulitnya wanita dilepaskan suami disebabkan ini. Suami membuatkan si isteri sengsara, tidak melepaskan Cara baik bahkan mahu mendapatkan sebanyak harta yang boleh termasuk mahar yang pernah diberikan. 

"Keuntungan" dunia? 

Sedangkan.
Jika memilih cerai secara baik, berpisah dengan jalan taqwa, Allah s.w.t janjikan jalan keluar dari arah tak disangka-sangka.

=====
 ذَٰلِكُمۡ يُوعَظُ بِهِۦ مَن كَانَ يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجٗا 

Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

{ وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا }
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[Surah At-Talâq: 2-3]
======

Berpisah memang sulit. 
Menyakitkan.
Bahkan ada yang memilih jalan dendam.
Bukan jalan taqwa. 

Rawatlah hati dengan surah At-Talaq. Motivasi berpisah dengan taqwa diulang setiap ayat. 

Yakinlah kepadaNya.
Cukuplah Dia sebagai pemberi rezeki.
Lalu lapangkan jiwa terima hukum syariatNya.

Moga-moga dikurniakan jalan keluar dari arah tak disangka-sangka serta dipermudahkan segala urusan. 

=====
 وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مِنۡ أَمۡرِهِۦ يُسۡرٗا 
Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
[Surah At-Talâq: 4]
=====

Ulasan