"Sebagai majikan, kami akan pilih pelajar yang CGPA tinggi walaupun dia tak aktif berpersatuan." Ujar bapa saudaraku yang juga human resource manager.
"Kalau begitu, salahkah mindset takpe CGPA rendah, tapi aktif banyak aktiviti berpersatuan di Uni?"
"Sekarang ni kita cakap tentang performance. Seorang pelajar, tugas dia adalah belajar. CGPA tinggi bukti dia dah perform untuk tugas dia. Kenapa majikan kena ambil pelajar yang tak dapat penuhi tugasan belajar dia?"
Sembang-sembang keluarga tempoh hari membuatku berfikir-fikir. "Kelayakan" untuk penuhi tugas berikut, terkait performance kita penuhi tugas sebelum.
Saya nak kongsi sedikit kesedaran tentang tugasan suami yang mahu poligami.
Minggu ni sebenarnya, masuk pengajian Surah An-Nisa'. Surah yang bermula dengan peringatan taqwa & jaga hubungan keluarga.
Pada muka surat pertama, ada didikan wahyu mengenai had poligami iaitu 4 orang.
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat jahiliyah mengamalkan poligami dengan angka yang banyak, tiada had. Bahkan isteri tiada hak pewarisan. Ketika nikah pun, tiada mahar.
Islam mengajar si penjaga anak-anak yatim perempuan, tahanlah diri daripada menzalimi anak yatim, menikahi mereka kerana nafsu & mahu membolot harta pusaka. Sebaliknya, nikahilah perempuan selain mereka sebanyak dua, tiga, atau empat. Namun, ada syarat iaitu hati tidak cenderung pada ketidakadilan.
Saya terkesan dengan satu kalimah "takut" dalam ayat ini kerana selama ini logik minda fokus pada kuantiti berbanding kualiti.
Pernah dengar perbincangan kalangan makcik-makcik tentang solusi poligami pada masa kini. Hujahnya terlalu ramai wanita yang baik-baik tidak bernikah. Piawai yang digunakan adalah pada kuantiti, iaitu ramainya wanita bujang lewat usia belum bernikah & ibu tunggal yang kematian suami usia muda (COVID).
Daripada pihak lelaki, sering terdengar juga piawai membolehkan poligami, ikut kuantiti. Boleh sahaja nak poligami asalkan tak lebih empat. Itu hak suami.
Di pengajian taleemul quran, saya terkesan dengan kalimah خِفۡتُمۡ (takut) yang Allah s.w.t gunakan.
======
{ وَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا تُقۡسِطُواْ فِي ٱلۡيَتَٰمَىٰ فَٱنكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثۡنَىٰ وَثُلَٰثَ وَرُبَٰعَۖ فَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا تَعۡدِلُواْ فَوَٰحِدَةً أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُكُمۡۚ ذَٰلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُواْ }
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
[Surah An-Nisâ': 3]
======
Setakat 4 Juzu' Yang telah dipelajari, ada beberapa perkataan "takut" dalam AlQuran. Ada khosyiah, ada khauf, ada rahb.
Kalimah خشي digunakan untuk rasa takut disebabkan diri punyai ilmu terhadap yang ditakuti. Misalnya , dalam Surah Fatir ayat 28, yang takut kepada Allah s.w.t hanyalah ulama'. Yang tidak punyai ilmu, tidak kenal Allah, kemungkinan tidak takut pada Allah s.w.t
Kalimah خوف pula, adalah rasa takut disebabkan ada kelemahan pada diri sendiri. Misalnya takut nak bercakap di khalayak ramai kerana sedar kelemahan & kekurangan diri yang gagap.
Pada ayat ke-3 surah An-Nisa', istilah takut yang digunakan adalah خوف. Iaitu jika si suami kenal dirinya, tahu kekurangan & kelemahan dirinya dari segi kemampuan berlaku adil terhadap para isteri, maka perintah Allah s.w.t adalah nikahilah hanya seorang sahaja.
Salah satu kaedah nak analisa kekuatan atau kelemahan diri adalah dengan menilai performance si suami sepanjang dia monogami misalnya. Sudahkah penuhi syarat minima suami محصنين i (4:24)& qawwam (4:34) yang beri nafkah berbentuk harta kepada isteri & anak-anaknya?
Jika kenal diri & sedar ada kelemahan tak mampu berlaku adil, panduan Robb adalah nikahi hanya satu.
Jika masih juga mahu berpoligami, maka harus penuhi syarat itu terlebih dahulu. Perbaiki diri. Persiapkan diri. Agar kelemahan itu dapat diatasi, mampu berlaku adil kepada semua.
Ulasan
Catat Ulasan