Berteman di syurga

"Awak jangan pakai tudung masa persembahan nanti. Takut kita kalah." Seorang rakan mengingatkan.

"Lagipun tak cantiklah awak pakai macam ni. Nampak pelik." Seorang lagi suarakan pendapat.

Hati remaja dia yang amat pentingkan penerimaan kawan, rasa sulit buat keputusan.

Konteks pertandingan adalah apresiasi kemerdekaan. Lakonkan watak zaman dahulu yang tutup kepala dengan kain batik seperti watak Rokiah dalam filem Mat Kilau.

Anak remaja itu yang berada dalam kelompok masyarakat sedikit jauh daripada pengamalan agama, rasa sulit berpegang pada prinsip. Dia sendiri ketika itu hanya tahu halal haram tanpa betul-betul memaknai ajaran Islam. Ilmunya tentang agama amat sedikit.

Akhirnya, dia pilih akur kehendak rakan-rakan.
Kerana khuatir jika kalah, dia dipersalahkan.
Kerana khuatir jika kalah, dia hilang kawan.

Pun begitu, tetap ada konflik dalam jiwa.
Emosinya berkecamuk.

Selesai persembahan, dia cepat-cepat ke belakang pentas, cari tempat mahu bersendirian.

Dia menangis tapi cuba ditahan tidak mahu sesiapa nampak.

Ada rasa menyesal, ada rasa marah.
Dan sejak malam itu, dia berazam tidak mahu berteman rapat dengan sesiapa.

Bukan kerana salahkan rakan-rakannya
Tapi sedar jiwanya amat lemah untuk pertahankan prinsip agama.
Dia takut tak kuat jika diuji pengaruh rakan lagi.

"Kenapa perlu memilih antara kawan dan Tuhan?"

Mungkin jika jiwanya kuat, tiada isu untuk tetap berteman rapat. Asalkan kuat tidak perturutkan kehendak mereka andai berlawanan tuntutan agama.

Namun, dalam keadaan kondisi jiwa lemah, dia buat pilihan jauhkan diri.

Biar tidak rapat dengan sesiapa.
Biar tiada pengharapan & pergantungan.

Agar saat diuji lagi insiden sedemikian, dia mampu berkata "tidak" tanpa rasa bersalah.
Cukuplah dia mendoakan rakan-rakan dari kejauhan tanpa perlu rapat dengan sesiapa.
.
.
.
.
_____________

Pernah lalui cabaran mencari teman yang bawa ke jalan petunjuk?

Ada sesuatu yang Allah s.w.t mahu berikan di syurga sebenarnya.

Bahawa di syurga nanti, rupa-rupanya ada nikmat KAWAN istimewa.

Bahagia di syurga, tidak bersendirian.
Bahagia di syurga, hidup bersama rakan-rakan.
Bahkan teman-teman yang dikurniakan juga bukan calang-calang.

Berteman dengan para nabi, siddiqin, syuhada' dan solihin.

=====
{ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُوْلَٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّٰلِحِينَۚ وَحَسُنَ أُوْلَٰٓئِكَ رَفِيقٗا }

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan.

[Surah An-Nisâ': 69]
=======

Dan bagaimana nak dapat nikmat Indah berteman dengan orang-orang hebat ni?

Syaratnya taatilah Allah s.w.t & rasulNya.
Walauapapun perintahNya, taat penuh ketundukan.
Kerana hakikat perintah & laranganNya hanyalah untuk kebaikan hamba-hambaNya.

Biar berjauhan jarak,
Biar hidup di zaman yang dipisahkan ribuan tahun,

Selagi tujuan hidup sama,
Mahu mengabdi hanya pada yang Esa,
...akan dipertemukan & berteman di syurga.

Ulasan