Kerana Dia mahu meringankan bebananmu.


Tak suka Islam. 
Ini tak boleh.
Itu tak boleh. 
Lebih baik tak beragama.
Bebas.
Tak terkongkong. 

Pernah dengar ungkapan sebegini daripada kenalan sejak zaman dulu-dulu.
Hukum agama berbentuk perintah & larangan menjadi kebencian. 

Apakah benar saat melepaskan diri daripada bertuhankan Yang Esa, hidup jadi lebih mudah kerana bebas bertindak apa-apa?

Tak perlu solat.
Tak perlu tutup aurat. 
Boleh mengumpat.
Tak perlu bayar zakat. 

Lepaskan diri daripada hukum Tuhan membuatkan jiwa lebih bahagia? 

Memang sebenarnya, Allah s.w.t itu mahu menyusahkan hamba-hambaNya? 

=====
{ يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمۡۚ وَخُلِقَ ٱلۡإِنسَٰنُ ضَعِيفٗا }

Allah (sentiasa) hendak memberi kemudahan kepadamu, kerana manusia itu diciptakan (bersifat) lemah.
[Surah An-Nisâ': 28]
=====

Bayangkan hidup tanpa perintah tidak menampakkan aurat & perhiasan. Logik akal manusia mana yang mampu tetapkan piawai pakaian untuk wanita? Bolehkah percaya jika lelaki yang tetapkan piawai pakaian untuk wanita tanpa sebarang kecenderungan eksploitasi?

Bayangkan hidup tanpa larangan riba. Logik manusia miskin rasa mampu memiliki apa yang sebenarnya tidak mampu. Logik manusia berharta rasa hutang adalah bentuk servis perkhidmatan sama seperti jual beli. Lalu terjeratlah manusia dengan kesibukan bayar hutang hingga akhir hayat, terpaksa melepaskan peluang beramal yang asalnya tujuan dirinya diciptakan. 

Bayangkan hidup tanpa panduan sebagai suami & isteri. 
Bayangkan hidup tanpa hukum faraid (harta pewarisan).
Bayangkan hidup tanpa pengharaman arak dan khinzir. 

Bayangkan.

Oh tak sanggup bayangkan. 
Hidup terlepas daripada panduan Dia Yang Maha Penyayang. 

Jiwa yang dah dapat petunjuk tapi cuba melepaskan diri daripada tuntutan agama, ibarat cuba melepaskan diri daripada kulit-kulit yang selama ini melitupi jasad, memeliharanya daripada ancaman segalanya. 

Boleh gambarkan keadaannya?
Dengan penuh kepayahan cuba melapah kulit sendiri kerana tidak suka padanya. Sedangkan fitrah manusia untuk dilitupi kulit.

Itulah perumpamaan orang yang cuba melepaskan diri daripada agama fitrah ini.

=====

{ وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ }
Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.
[Surah Al-A`râf: 175]
=====

Justeru, kenalilah Allah s.w.t 

Segala aturan perintah & larangan realitinya hanya untuk kemudahan si hamba. 

Dia tidak memerlukan kita.
Kita yang amat memerlukanNya. 


Ulasan