Buat lelaki muhshin & qawwam yang mencari calon isteri sholihah, qonitat & hafizatu lil ghaib.


Petang itu, kami berbual tentang kehidupan.
Dia memikirkan bagaimana nak menjodohkan 5 orang anak-anaknya.
Dan aku menceritakan pengalamanku hampir 15 tahun mencari jodoh. 

"Akak, saya dah try join 3 portal baitul muslim. Saya dah pernah minta tolong 8 orang naqibah, saya dah pernah minta tolong 2 orang ustaz yang ajar Tadabbur Quran. Dan saya sampai pada satu kesimpulan, Malaysia ni dah habis stok calon suami muhshin & qawwam agaknya. Hehe" 

"Kenapa?"

"Sebab bukan wali atau orang tengah tak nak tolong. Tapi memang stok manusianya tiada. Puas saya scroll database cari lelaki yang boleh terima isteri tak bekerja. Yang sampai ke peringkat taaruf tu, adalah beberapa orang. Tapi ada isu sikit."

"Isu apa?" 

"Saya tak pasti. Tapi adakah lelaki zaman sekarang mencari calon suami & bapa? Sebab soalan² taaruf yang dia tanya tu saya rasa nak kenalpasti ciri² kesuamian & kebapaan."

"Contoh?"

"Dia tanya saya kerja apa. Bila saya kata saya freelance sejak PKP, dia macam tak puas hati. Dia nak tahu tak kan selama ni tak pernah kerja. Lepas tu tanya ada kereta tak. Tanya nanti nak duduk kat rumah mana?"

"Seriously?"

"Iye. Memang perempuan dinikahi untuk beri nafkah dan sediakan kediaman ke? Siap kena tentukan nak duduk rumah kat mana. Bukan suami ke patut fikir dia mampu duduk rumah kat mana dan discuss calon isteri redha & sedia tak dengan lifestyle kemampuan dia. Ni tanya kita nak duduk mana sebab nanti dia nak join masuk rumah tu."

"Camtu ke lelaki zaman sekarang. Naive nya akak. Suami akak dulu takde lah kaya. Tapi tak pernah demand dan tanya semua tu sebelum kahwin."

"Akak, kita ni ready nak jadi calon isteri & ibu. Tapi dia tak tanya pun kefahaman agama kita supaya tahu sejauh mana kita boleh ringankan tanggungjawab dia didik anak-anak. Atau tentang ilmu urus rumahtangga ke. Tentang kemahiran kita Jaga pemakanan & kesihatan family ke. Takde. Tak tanya semua tu. Semua tu tak bernilai agaknya kalau lelaki zaman sekarang memang nak cari calon yang berfungsi sebagai suami & bapa."

***

Sedikit luahan sepetang bersama sahabat Quran. Yang pastinya tak beraniku kongsi di khalayak ramai. Kat blog yang kurang 10 orang followers ni bolehlah dicoretkan hah hah.

 Sebab sebenarnya, ini isu masyarakat yang perlu diislahkan. 

Di sebalik wujudnya lelaki-lelaki tiada rasa malu mahu calon isteri & ibu bekerja mencari nafkah, memang realitinya perempuan² memang ada yang mahu jadi pencari nafkah & enggan duduk di rumah membesarkan & mendidik anak. Bukan semua, tapi nampak macam ramai mindset begini khususnya di Malaysia.

Kenapa?

Satu isu pokok yang perlu diperangi adalah gaya hidup berhutang. Sebelum ini, zaman atuk nenek kita yang beriman, peluang untuk berhutang amat kecil. Sebab peluang hutang di bank adalah haram, ada bunga. Hati orang beriman langsung sami'na wa atokna enggan berhutang dengan riba.

Lalu, si jejaka-tampan-segak-bergaya kerana memilih jadi qawwam ini, mencari calon yang berfungsi jadi isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Bukan mencari wanita untuk berfungsi sebagai suaminya & bapa anak-anaknya. Si calon isteri ini pula, berusaha mengenali si suami dalam keadaan cuba bersedia lifestyle sebatas kemampuan suaminya, dan tidak demand tinggi-tinggi. Cukup makan, pakai & ada rumah tempat berlindung. Jika tak mampu beli rumah, kerana tiada tempat untuk berhutang tanpa riba, lalu redha dengan menyewa sahaja. Tak mampu memiliki kereta, lalu redha dengan motosikal & bersabar dengan public transport. Sesuaikan hidup dengan kemampuan. Asalkan tanggungjawab tak diabaikan. 

Itu senario zaman dahulu-kala ketika susah nak berhutang kerana kebanyakan peluang untuk berhutang, ada riba.

Namun sekarang, terlalu banyak peluang berhutang tanpa riba. Kerana perbezaan akad membuatkannya tiada riba. 

Lalu,

Definisi "mampu" atau qawwamnya seorang lelaki bukan pada kemampuan sediakan sumber kehidupan ikut kemampuannya, secara cash. Tapi "qawwam"nya lelaki dinilai dari segi kemampuan apply "loan". Masalahnya, nafsu syahwat manusia ni sulit dijaga jika batasannya dilanggar. Lalu berhutang banyak hal kerana rasa rugi beli perkara fungsi sama tapi dibayar cash. Selagi boleh berhutang, banyakkan berhutang. Bahkan yang kaya-raya juga makin banyak hutang kerana nafsu syahwat makin membesar. Padahal boleh sangat beli material fungsi sama dengan cash. Tetap nak berhutang juga. Kenapa perlu bayar cash kalau boleh berhutang tanpa riba?

Bila latar belakang rakyat Malaysia begini, yang mengkedepankan hidup berhutang. Semacam "ketagihan" yang sulit diubati. Dah selesai satu hutang, nak tambah lagi hutang.. Lepas tu salahkan Allah sebab sentiasa terjerat hutang. Ni kes realiti klien yang hadir. 

Aish.

Tak peliklah lelaki zaman sekarang juga mahu isteri berperanan sebagai suami & bapa. Kerana standard lifestyle telah diletak tinggi sangat ikut kemampuan boleh apply hutang. Bukan dinilai pada kemampuan bayar cash. 

Apa kesannya?

Wanita tak dinikahi untuk berperanan sebagai isteri & ibu. 
...yang sepatutnya boleh jadi sumber ketenangan di rumah.
... yang  sepatutnya jadi madrasah pertama anak-anaknya. 

Tak. 

Lahirlah generasi anak-anak yang kita lihat di twitter & tiktok. Yang perkara "common sense" sepatutnya malu dengan dosa tapi didedahkan dan dibanggakan tanpa segan silu. Pergaulan bebas merata. Zina berleluasa. 

Wahai... 

Allah s.w.t itu Tuhan kita.
Bukan hawa nafsu.

Jika hikmah atau kebaikan pengharaman riba boleh membuatkan nafsu syahwat tenang daripada keinginan besar berhutang, 
mari hidupkan semangat tidak berhutang semampu mungkin, meskipun wujud perkhidmatan hutang tanpa riba. 

Maqasid syariah untuk hukum hutang-piutang tanpa riba ini perlu diperhalusi. 
Sejauh mana selamatkan akidah generasi anak-anak yang ibunya tak sempat didik sebab sibuk bekerja untuk bayar hutang, apatah lagi ayah yang sibuk bekerja. 
Dan sejauh mana lifestyle hutang ini memelihara harta manusia.
Dan sejauh mana lifestyle hutang ini selamatkan manusia daripada tekanan & Jaga nyawa dengan tidak terfikir bunuh diri. 
Apakah terpenuhi maqasid syariah sistem hutang tanpa riba di bank ini?

Lelaki yang baik fitrahnya, akan memilih jadi muhshin (ghaira musafihin) dengan membelanjakan hartanya untuk isteri. 

=====
{ ۞وَٱلۡمُحۡصَنَٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُكُمۡۖ كِتَٰبَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمۡ أَن تَبۡتَغُواْ بِأَمۡوَٰلِكُم مُّحۡصِنِينَ غَيۡرَ مُسَٰفِحِينَۚ 

Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu sebagai muhshinin, bukan sebagai musafihin. 
[Surah An-Nisâ': 24]
======

Lelaki yang baik fitrahnya juga akan memilih jadi qawwam dengan membelanjakan hartanya untuk keluarga. 

=====
{ ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ فَٱلصَّٰلِحَٰتُ قَٰنِتَٰتٌ حَٰفِظَٰتٞ لِّلۡغَيۡبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُۚ 

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. 

[Surah An-Nisâ': 34]
=====

Dan perempuan yang baik fitrahnya, akan mensyukuri dikurniakan suami qawwam dengan menjadi isteri Sholihah, qonitat & hafizatu lil ghaib. 

Bukan mahu menyatakan wanita tidak boleh bekerja ketika memilih berumahtangga. Tetapi, harus diingat, selagi mana tanggungjawab Jaga keluarga (physically, emotionally & spiritually) boleh dipelihara, ya silakan. Masih sempat belajar quran untuk didik anak² sambil bekerja di siang hari, ya silakan . 

Tapi, jika tanggungjawab ini terabai, yang utamanya adalah fokus tugasan menjaga ahli keluarga di rumah. Mendidik anak².  Kerana Allah s.w.t telah ciptakan kapasiti lelaki sebagai pencari nafkah, bukan wanita. 

Ibu-ibu perlu belajar Tadabbur quran & ajar anak-anak Tadabbur quran. Kerana tiada manusia lain mampu laksanakan tanggungjawab keibuan jika ibu itu sendiri enggan. 

Wahai.

Buat lelaki muhshin, moga dipertemukan isteri beriman.
Buat lelaki qawwam, moga dipertemukan isteri Sholihah, qonitat & hafizatulil ghaib. 

Buat wanita Sholihah, qonitat & hafizatu lil ghaib, moga dijodohkan dengan lelaki muhshin & qawwam.

Andai benar tiada calon dengan karakter panduan Allah s.w.t ini, yang ada hanya jenis musafihin (kahwin kerana hormon, nak lempiaskan syahwat sahaja), buatlah pilihan yang akan memelihara agama.


Ulasan