Dalam hidup ni, memang mudah kita terlihat ada orang lain yang "lebih" daripada kita .
Ada orang, hartanya lebih banyak.
Ada orang, terlihat sumber kasih sayangnya banyak. Ada pasangan, ada anak-anak, ada ramai adik-beradik penyayang.
Ada orang, bisnesnya maju.
Ada orang, ramai peminat.
Mudah sahaja terbit rasa iri hati jika tidak dikawal. Mari renungi sejarah kisah pembunuhan manusia pertama.
========
{ ۞وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱبۡنَيۡ ءَادَمَ بِٱلۡحَقِّ إِذۡ قَرَّبَا قُرۡبَانٗا فَتُقُبِّلَ مِنۡ أَحَدِهِمَا وَلَمۡ يُتَقَبَّلۡ مِنَ ٱلۡأٓخَرِ قَالَ لَأَقۡتُلَنَّكَۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِينَ }
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
[Surah Al-Mâ'idah: 27]
=========
Pada zaman dahulu, ada tanda bahawa korban seorang hamba itu diterima Robb (Ali-Imran: 183). Tatkala Qabil tahu bahawa Allah s.w.t hanya terima korban Habil, timbul hasad yang mencetus rasa bunuh.
Habil sedaya-upaya menasihati Qabil untuk tidak terbawa-bawa emosi.
Habil mengingatkan saudaranya tentang akibat dosa yang ditanggung.
Habil menakutkan Qabil akan azab neraka yang menanti jika dia meneruskan niatnya membunuh.
==========
{ لَىِٕنۢ بَسَطتَ إِلَیَّ یَدَكَ لِتَقۡتُلَنِی مَاۤ أَنَا۠ بِبَاسِطࣲ یَدِیَ إِلَیۡكَ لِأَقۡتُلَكَۖ إِنِّیۤ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ (28) إِنِّیۤ أُرِیدُ أَن تَبُوۤأَ بِإِثۡمِی وَإِثۡمِكَ فَتَكُونَ مِنۡ أَصۡحَـٰبِ ٱلنَّارِۚ وَذَ ٰلِكَ جَزَ ٰۤؤُا۟ ٱلظَّـٰلِمِینَ (29) }
"Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam; "Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim".
[Surah Al-Mâ'idah: 28-29]
=========
Meskipun Habil telah mengingatkannya tentang taqwa, tentang dosa & tentang azab neraka, Qabil memilih ikut dorongan hawa nafsunya.
=======
{ فَطَوَّعَتۡ لَهُۥ نَفۡسُهُۥ قَتۡلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُۥ فَأَصۡبَحَ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ }
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
[Surah Al-Mâ'idah: 30]
========
Bermula hasad dengki, berakhir dengan pembunuhan saudara sendiri.
Hasad dengki itu apa?
Suatu rasa tidak suka terhadap apa yang dimiliki insan lain. Lalu sedaya-upaya menghilangkan nikmat tersebut daripada terus dimilikinya.
Bagaimana untuk rawat?
1) Jangan mengharap untuk dapat apa yang ada dalam genggaman manusia lain.
2) Sebaliknya mengharap dan bermohonlah kepada Allah s.w.t akan kurniaNya.
========
{ وَلَا تَتَمَنَّوۡاْ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٞ مِّمَّا ٱكۡتَسَبُواْۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٞ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَۚ وَسۡـَٔلُواْ ٱللَّهَ مِن فَضۡلِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٗا }
Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[Surah An-Nisâ': 32]
=======
Moga-moga kita terselamat daripada penyakit hasad ini.
Bukankah yang menyebabkan iblis jadi hamba terlaknat akibat sikap hasad terhadap Nabi Adam a.s?
Ulasan
Catat Ulasan