Pernah seorang berkongsi dilemma dan cabaran untuk hadir kelas Tadabbur Quran. Selalu tak dapat hadir kerana tiada siapa dapat jaga anak di rumah. Cuma tatkala ditakdirkan bekerja hujung minggu, sentiasa ada jalan untuk urus anak-anaknya.
Ironi.
"Kenapa kalau nak ke kelas Quran, saya tak boleh nak urus anak-anak? Tapi kalau kerja hujung minggu, ada je jalan nak cari pengasuh atau orang yang jaga mereka. Sentiasa ada solusi."
Niat menuntut ilmu itu satu anugerah daripada Robb, dan perlukan jihad untuk atasi halangan.
Kemungkinan, jiwa mampu cari jalan untuk urus anak-anak jika perlu bekerja hujung minggu, kerana kerjaya adalah sumber rezeki. Harus diusahakan. Kalau tak, risiko hilang pekerjaan. Maka, kerahkan segala usaha untuk sentiasa perbaiki posisi dalam kerjaya.
Berbeza dengan kelas Quran.
Sudahlah kena bayar yuran, perlu korbankan masa hujung minggu lagi. Yang jenis kerja hari sabtu, kena tolak gaji lagi kalau ambil cuti tanpa gaji. Tambahan, kena keluarkan lagi duit untuk hantar anak-anak kepada pengasuh. Kesemua "Kos" ini tidak semua mampu menanggungnya. Akhirnya, pilihan yang diambil dengan rasa sedih adalah
"Tak payahlah hadir kelas quran. Susah. Banyak kena korbankan. Tak sanggup."
Jiwa mahu memahami Quran tapi hati belum bersedia berjihad banyak hal. Terutama sekali kerana khuatir soal rezeki. Lebih-lebih lagi saat diuji sebagai ibu tunggal yang si bapa enggan bertanggungjawab terhadap nafkah anak-anak dan penjagaan mereka.
Rupa-rupanya, ada satu formula rezeki yang Dia pandu.
Jika berpegang teguh pada apa yang Dia turunkan, niscaya raih rezeki dari langit dan bumi.
=====
{ وَلَوۡ أَنَّهُمۡ أَقَامُواْ ٱلتَّوۡرَىٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيۡهِم مِّن رَّبِّهِمۡ لَأَكَلُواْ مِن فَوۡقِهِمۡ وَمِن تَحۡتِ أَرۡجُلِهِمۚ مِّنۡهُمۡ أُمَّةٞ مُّقۡتَصِدَةٞۖ وَكَثِيرٞ مِّنۡهُمۡ سَآءَ مَا يَعۡمَلُونَ }
Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.
[Surah Al-Mâ'idah: 66]
=====
Hanya manusia beriman yang memahami Quran akan tahu perintah & larangan Allah s.w.t serta mengimani yang ghaib. Setelah faham kandungan Al-kitab, barulah mampu bertaqwa dengan melaksanakannya.
Lagi, formula rezeki :
Siapa yang bertaqwa, akan dikurniakan rezeki
=====
{ وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ }
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.
[Surah Al-A`râf: 96]
========
Al-Quran itu kitab penuh barakah. Kebaikannya melimpah-ruah. Barangsiapa yang berusaha memahaminya untuk bertaqwa (amalkannya), niscaya hidupnya akan diberkahi.
=====
{ كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ مُبَٰرَكٞ لِّيَدَّبَّرُوٓاْ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ }
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
[Surah Sâd: 29]
======
Saat jiwa rasa berat dan tidak sanggup belanjakan rezeki kurniaanNya untuk faham Quran, sedarilah bahawa jalan jihad Quran itulah yang sebenarnya membuka pintu rezeki.
Ketika takut bertindak fahami quran kerana khuatirkan rezeki,
Moga hati makin mengerti
bahawa jalan taqwa melalui faham wahyu itulah punca rezeki.
Saya merenung perjalanan saya cuba jadi orang beriman dengan mula memahami keseluruhan Quran
Walaupun tiada kerja tetap (hilang pekerjaan sejak PKP COVID tahun 2020 ), pendapatan daripada kerja freelance sentiasa cukup. Tidaklah mewah, tapi cukup.
Ketika saya azam daftar diploma taleemul quran dengan komitmen yuran bulanan RM200 (Alhuda institute Canada), berhajat kerja sambilan untuk cukupkan keperluan, rupa-rupanya ada jiwa-jiwa manusia yang mahu sponsor pengajian Quran.
Dan banyak lagi kisah² rezeki yang tak mampu saya kongsikan di sini.
Rezeki daripada Allah s.w.t itu luas, melimpah-ruah, dari arah tak disangka-sangka.
Jika benar kita fahami wahyu akan mengerti formula rezekiNya.
Lalu, ketika itu terjadi, akan sanggup jihad untuk Quran sebagai bukti benar-benar mahu jadi hambaNya.
Ulasan
Catat Ulasan