Pernah suatu ketika dahulu, kecintaan segolongan Bani Israil terhadap lembut & penyembahan berhalanya, meresap ke dalam hati.
=====
{ وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِيثَٰقَكُمۡ وَرَفَعۡنَا فَوۡقَكُمُ ٱلطُّورَ خُذُواْ مَآ ءَاتَيۡنَٰكُم بِقُوَّةٖ وَٱسۡمَعُواْۖ قَالُواْ سَمِعۡنَا وَعَصَيۡنَا وَأُشۡرِبُواْ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡعِجۡلَ بِكُفۡرِهِمۡۚ قُلۡ بِئۡسَمَا يَأۡمُرُكُم بِهِۦٓ إِيمَٰنُكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ }
Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)". Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami menderhaka". Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman".
[Surah Al-Baqarah: 93]
=====
Meskipun mereka beragama Islam.
Tapi kecintaan pada yang haram membuatkan sulit bersikap seorang hamba.
Sampai satu tahap mahukan "replacement" kepada yang haram. Bahkan meminta daripada Nabi Musa a.s dengan harapan melalui Nabi Musa a.s, yang haram itu boleh menjadi halal.
Jika mereka mahu menyembah lembu, boleh sahaja melakukannya tanpa mendapat persetujuan Nabi Musa a.s. Mengapa perlu meminta pada Nabi Musa a.s?
Tetapi, mereka mahu yang haram, tapi pada masa yang sama masih diterima Tuhan. Lalu memilih jalan meminta yang haram melalui Nabi. Agar yang haram menjadi halal.
=====
{ وَجَٰوَزۡنَا بِبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٱلۡبَحۡرَ فَأَتَوۡاْ عَلَىٰ قَوۡمٖ يَعۡكُفُونَ عَلَىٰٓ أَصۡنَامٖ لَّهُمۡۚ قَالُواْ يَٰمُوسَى ٱجۡعَل لَّنَآ إِلَٰهٗا كَمَا لَهُمۡ ءَالِهَةٞۚ قَالَ إِنَّكُمۡ قَوۡمٞ تَجۡهَلُونَ }
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
[Surah Al-A`râf: 138]
=====
Pun begitu, Allah Ar-Rahman, masih terus mendidik Bani Israil berperingkat. Dan kaedah untuk melepaskan kecintaan terhadap yang haram ini adalah dengan sungguh-sungguh menyembelihnya.
Turunlah perintah sembelih kecintaan mereka iaitu lembu betina.
======
{ وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تَذۡبَحُواْ بَقَرَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوٗاۖ قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡجَٰهِلِينَ }
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".
[Surah Al-Baqarah: 67]
=====
Apa yang berlaku kemudiannya?
Bertubi-tubi soalan diajukan bukan untuk taat. Tapi mengharap perintah itu akan diangkat. Hampir-hampir mereka tidak dapat melaksanakan perintah tersebut jika tidak kerana pertolongan Allah s.w.t. Ada tafsir yang menyatakan kerana mereka mengatakan inshaAllah (2:70) , mereka berjaya melaksanakannya meskipun dengan penuh kesulitan.
Refleksi kehidupan kita, sudahkah kita benar-benar menjadi hamba dan tidak ikut jejak golongan yang dimurkai dan sesat ini?
Bani Israil mencintai yang haram, mahu ingkar tapi tetap terlihat muslim, lalu mencari jalan meng"halal"kan yang haram.
Mereka pernah meminta yang haram daripada Nabi Musa dengan meminta berhala lembu betina.
Mereka pernah langgar perintah Hari Sabat (ada tafsir menyatakan zaman Nabi Daud). Membuatkan penangkapan ikan hari Sabtu terlihat tidak salah dengan pasang jerat hari Jumaat.
Tanya pada diri, sudahkah saya menjauhkan diri daripada jalan segolongan Bani Israil yang dimurkai ini?
Mereka mendengar tapi mengingkari.
Mereka tahu kebenaran tapi enggan taat.
Seorang pencinta zina, yang tetap mahu melakukan zina tapi dilihat "Islamic" , lalu diwujudkanlah idea nikah kontrak. Bernikah untuk bercerai keesokan harinya. Dengan harapan masih melakukan apa yang dicintai (zina) tapi dalam keadaan halal (nikah).
Seorang pencinta riba, yang tetap mahu dapat manfaat daripada perniagaan hutang tetapi dalam bentuk halal, cuba cari jalan menghalalkan riba. Justeru menukar akadnya kepada bentuk perniagaan barang dan bukan perniagaan hutang. Menjadikan transaksi tiada riba, tetapi si pembeli perlu buat bayaran tinggi.
Sejarah Bani Israil, benar-benar mengajar kita bagaimana menjadi hamba.
Tatkala Allah s.w.t telah mengharamkan sesuatu, "sembelih" sahaja yang diharamkan itu. Usah dicari yang sepadan dengannya. Kerana yang halal itu jauh bertentangan, tak akan sama dengan yang haram.
Zina adalah pelempiasan nafsu syahwat tanpa tanggungjawab infaq.
Nikah pula ikatan teguh antara dua jiwa yang menuntut tanggungjawab infaq selama bersama. Bahkan jika bercerai dan ada anak, tanggungjawab nafkah itu tidak terlepas daripada seorang ayah.
Riba itu penindasan terhadap golongan susah yang jauh bertentangan konsep infaq.
Sedangkan konsep hutang dalam Islam bahkan menggalakkan untuk pihak pemberi hutang menghalalkan hutang jika penghutang masih tidak mampu melunaskan.
=====
{ وَإِن كَانَ ذُو عُسۡرَةٖ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيۡسَرَةٖۚ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ }
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).
[Surah Al-Baqarah: 280]
=====
Lalu ada yang menyatakan
"Ini tidak Adil. Kenapa saya kena halalkan hutang?"
Terlebih dahulu, konsep hutang dalam Islam adalah untuk hal-hal yang mendesak dan diperlukan. Bukan untuk bermewah-mewahan.
Gaya hidup berhutang, bukan ajaran Islam.
Justeru, jika yang memohon pinjaman adalah golongan susah, mengapa tidak memaafkan dan menghalalkannya?
Yang memberi hutang juga perlu ada mindset bahawa syariat Allah sudah tetapkan begini. Justeru setiap kali saya memilih untuk beri hutang, saya kena bersedia untuk lepaskannya. Kalau saya tak bersedia untuk itu, jangan beri hutang. Buatlah pilihan amal soleh lain.
Jiwa yang bertaqwa dan sanggup menghalalkan hutang, yang layak memberi hutang. Kerana syariat menggalakkan menghalalkan hutang.
"Habis tu rugilah."
Memang itulah pengharaman riba.
Agar kita tidak berniaga, tiada keuntungan melalui urusniaga hutang.
Berniagalah apa-apa barang.
Tapi usah berniaga hutang.
=====
{ ٱلَّذِينَ يَأۡكُلُونَ ٱلرِّبَوٰاْ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِي يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡبَيۡعُ مِثۡلُ ٱلرِّبَوٰاْۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ فَمَن جَآءَهُۥ مَوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّهِۦ فَٱنتَهَىٰ فَلَهُۥ مَا سَلَفَ وَأَمۡرُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِۖ وَمَنۡ عَادَ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ }
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[Surah Al-Baqarah: 275]
=====
Jika benar mahu berikan hutang, berilah hutang tanpa sebarang keuntungan. Bahkan sanggup menghalalkannya jika si penghutang gagal membayar.
Sejarah Bani Israil mengajar kita konsep kehambaan.
Bila Allah s.w.t telah haramkan sesuatu, usah dicari tandingannya yang sama.
Usah cuba-cuba menghalalkan yang haram.
Sebaliknya sembelihlah.
Sembelihlah lembu betina yang dicintai itu.
Sembelihlah yang diharamkan itu sungguh-sungguh.
Ulasan
Catat Ulasan