Malam yang pekat.
Kucuba mencari bintang di langit sebelum menghidupkan enjin kereta.Hampa.
Tak ternampak apa-apa.
"Mungkin di langit sebelah sana." Hati berbisik.
Kereta menyusur jalan menuju ke pinggir kota.
Kali ini nampak sedikit titik-titik cahaya di langit .
"Awak ingat tak? Tadi ustaz kata, bintang yang kita nampak adalah sejarah."
"Ya."
"Jauh sangat kita dengan langit pertama, cahaya bintang kena bergerak sejauh 13.7 billion tahun untuk sampai cahayanya ke mata kita."
"Itulah. Cahaya bintang waktu tu, kita pun tak lahir lagi kat dunia.13.7 billion tahun yang lalu."
Sebelum ni, setiap kali terlihat pokok besar yang tua, selalu terlintas di hati,
"Berapa lama dah awak kat sini. Menyaksikan manusia zaman berzaman."
Malam tadi, bila berbicara tentang bintang, terasa "Alahai, kecilnya saya, singkatnya usia saya hidup. Bintang lagi lama dah ada."
Saya ni dulu-dulu,
bahkan bukan sesuatu yang tak disebut pun.
========
{ هَلۡ أَتَىٰ عَلَى ٱلۡإِنسَٰنِ حِينٞ مِّنَ ٱلدَّهۡرِ لَمۡ يَكُن شَيۡـٔٗا مَّذۡكُورًا }
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut?
[Surah Al-Insân: 1]
=========
Mengapa soalan ini ditanya Allah s.w.t kepada manusia?
Manusia itu,
Meskipun tahu proses kejadiannya,
tahu dirinya berasal daripada penyatuan sperma & ovum,
tahu suatu hari nanti akan menemui kematian,
Tapi mengapa masih melalui kehidupan seakan-akan dunia inilah segalanya?
Masa yang menelan usia,
memakan segala peluang beramal,
akan meninggalkan manusia jika dia terlupa hakikat kehidupannya.
Hidup ini sangat sekejap.
Peluang yang ada, terhad batas waktunya.
Mengapa masih lalai?
Merenung-renung lajunya cahaya dan luasnya langit pertama yang dihiaskan bintang-bintang,
Ada satu yang lebih laju daripada cahaya.
Kalau cahaya bintang di langit pertama memerlukan 13.7 billion tahun untuk sampai ke mata kita,
Ada satu hal yang jauh lebih laju untuk sampai ke tempat yang lebih jauh daripada 7 petala langit.
Itulah doa orang beriman,
Yang didengari para malaikat di Arasy.
======
{ ٱلَّذِينَ يَحۡمِلُونَ ٱلۡعَرۡشَ وَمَنۡ حَوۡلَهُۥ يُسَبِّحُونَ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَيُؤۡمِنُونَ بِهِۦ وَيَسۡتَغۡفِرُونَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْۖ رَبَّنَا وَسِعۡتَ كُلَّ شَيۡءٖ رَّحۡمَةٗ وَعِلۡمٗا فَٱغۡفِرۡ لِلَّذِينَ تَابُواْ وَٱتَّبَعُواْ سَبِيلَكَ وَقِهِمۡ عَذَابَ ٱلۡجَحِيمِ }
Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.
[Surah Ghâfir: 7]
=======
Detik waktu.
Jika dihitung mengikut jarak dari bumi menuju langit pertama sekalipun tak akan terjangkau usia manusia.
Bagaimana usia 70 tahun mahu dibandingkan dengan 13.7 billion tahun?
Betapa kerdilnya manusia untuk sebutan namanya sampai ke arasy,
melepasi 7 petala langit.
Tak akan tercapai jika menggunakan kekuatan jasad fizikal.
Tak akan tercapai dengan kekuatan banyaknya 'followers' di media sosial.
Tetap kecil.
Tetap kerdil.
Tetap tidak signifikan kewujudannya jika dibandingkan dengan penciptaan langit & bumi
Melainkan, hatinya memilih untuk dzikir & banyak ingat Allah s.w.t
Melainkan, hatinya peduli memaksimakan potensi pendengaran & penglihatan untuk saksikan kebenaran daripada Robb.
======
{ إِنَّا خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ مِن نُّطۡفَةٍ أَمۡشَاجٖ نَّبۡتَلِيهِ فَجَعَلۡنَٰهُ سَمِيعَۢا بَصِيرًا }
Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan);
oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.
[Surah Al-Insân: 2]
=======
Tanya lagi pada diri,
Saat manusia tergila-gilakan perhatian daripada manusia lain,
Mengimpikan keberadaan diri signifikan di pentas dunia,
Sudahkah menjalani hidup agar signifikan dan disebut-sebut penghuni langit?
Sudahkah menjadi jiwa kecil di muka bumi yang banyak ingat Allah s.w.t?
lalu kewujudan di bumi jadi signifikan di sisiNya dengan amal soleh?
Kalau dahulu, kita pernah jadi makhluk yang tidak disebut kewujudannya,
Sudahkah perbaiki diri agar layak jadi penghuni syurga, disebut-sebut & didoakan para malaikat?
____________
Refleksi Quran Week : Surah al-Insan oleh Ustaz Nouman Ali Khan
Ulasan
Catat Ulasan