Surah Al-An'am yang bawa tema mentauhidkan Allah s.w.t dimulakan dengan berkali-kali menerangkan sifat golongan mendustakan ayat-ayat Allah.
Melalui kasih sayangNya, Allah s.w.t menerangkan sifat-sifat mereka agar hambaNya yang masih hidup sempat buat pilihan jalan hidup yang selamat.
=====
{ وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ وَلِتَسۡتَبِينَ سَبِيلُ ٱلۡمُجۡرِمِينَ }
Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.
[Surah Al-An`âm: 55]
=====
Apakah jalan-jalan orang berdosa yang telah diterangkan pada ayat² sebelumnya?
1) Pertama, Bila ayat-ayat Quran datang kepada mereka, mereka ingkari [6:4-5]
Refleksi diri.
Di Malaysia, terlalu banyak sumber untuk ayat-ayat Quran mendatangi saya. Melalui kajian kelas fizikal mahupun online. Sudahkah saya memilih untuk aktif mendengar ayat-ayat Allah s.w.t dan tidak berpaling?
2) Kedua, Tidak nampak tanda² kebesaran Allah s.w.t di alam semesta mahupun pada diri sendiri. Lalu "demand" mukjizat sebagai syarat beriman. Mahu Allah s.w.t turunkan tulisan atas kertas & mahu Nabi dari kalangan malaikat [6:7-10]
Refleksi diri.
Apa khabar Iman saya terhadap Dia yang menciptakan saya? Sudahkah saya menyedari hebatnya penciptaan alam semesta & diri sendiri lalu peduli usaha cari kebenaran & memilih jadi hamba hanya kepada yang menciptakan saya?
3) Ketiga, telahpun menerima kitab-kitab terdahulu (Taurat/ Injil) tapi enggan beriman dengan rasul terakhir yang membawa Al-Quran [6:20]. Dengan kepercayaan masyarakat kepada mereka (sebagai ulama' - ahli kitab), mereka mengubah Firman Allah s.w.t (konon para rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w berkata begini, tapi Quran sebagai musoddiqan menafikan) [6:21]. Sikap mengubah Firman Allah s.w.t ini mengakibatkan Allah s.w.t menutup hati mereka dan menyumbat telinga mereka tatkala mereka mendengar Quran daripada Nabi Muhammad s.a.w [6:25-26]
Refleksi diri.
Sebelum belajar Quran, banyak sumber yang saya dapatkan untuk memahami agama. Ada yang daripada "cakap-cakap" orang² terdahulu. Ada bersumberkan selain Robb berbentuk sangkaan-sangkaan yang dah jadi kefahaman norma masyarakat. Setelah ayat Quran sampai kepada saya dan mencorakkan sistem kepercayaan baru yang bertentangan dengan apa yang diketahui sebelum ni, bersediakah saya membenarkan Quran dan padam kefahaman yang salah sebelum ini?
4) Keempat, Tidak percaya Hari Kebangkitan. Tidak beriman Hari Akhirat. Akibatnya, pikul dosa² di akhirat [6:31]
Refleksi diri.
Hari Akhirat adalah sesuatu yang ghaib. Saya hanya akan mengetahui tentangnya jika saya peduli memahami wahyu. Sudahkah hati saya mengimani Hari Akhirat sebagaimana yang diberitakan Allah s.w.t kepada saya melalui Al-Quran?
5) Kelima, Tak nak dengar wahyu [6:36] lalu tak akan mampu taat. Hanya yang memilih untuk mendengar kalamullah akan respon terhadap bicaraNya.
=====
{ ۞إِنَّمَا يَسۡتَجِيبُ ٱلَّذِينَ يَسۡمَعُونَۘ وَٱلۡمَوۡتَىٰ يَبۡعَثُهُمُ ٱللَّهُ ثُمَّ إِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ }
Hanyasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran); sedang orang-orang yang mati Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak), kemudian mereka dikembalikan kepadaNya untuk menerima balasan.
[Surah Al-An`âm: 36]
=====
Menelusuri ayat demi ayat pada bahagian awal Surah Al-An'am menerbitkan rasa takut untuk menjauh daripada wahyu.
Justeru,
Duhai pelajar surah Al-An'am.
Pilihlah untuk faham wahyu.
Pilihlah untuk mendengar bicaraNya.
Agar tidak meniti jalan-jalan orang yang berdosa.
Ulasan
Catat Ulasan