Diseksa malaikat ketika sakaratul maut

Saat artikel ini ditulis, umat Islam sedang menangisi ribuan kematian rakyat Turkiye &  Syria. Setakat semalam, angka kematian sudah diperkirakan melebihi 20000

Sungguh, kematian itu benar. 

Moga Allah s.w.t mengampuni & merahmati mereka. Jiwa-jiwa yang masih hidup detik ini seharusnya ambil pengajaran dan lalui kehidupan ibarat esok tiada lagi. Rebut peluang amal sebaiknya. Kerana kita tidak tahu bilakah ajal akan tiba. 

Entah hari ini.
Entah esok. 

Merenung fenomena kematian, ada satu realiti kematian menyeksakan yang digambarkan Allah s.w.t dalam Surah Al-An'am. 

{ وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوۡ قَالَ أُوحِيَ إِلَيَّ وَلَمۡ يُوحَ إِلَيۡهِ شَيۡءٞ وَمَن قَالَ سَأُنزِلُ مِثۡلَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۗ وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلظَّٰلِمُونَ فِي غَمَرَٰتِ ٱلۡمَوۡتِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ بَاسِطُوٓاْ أَيۡدِيهِمۡ أَخۡرِجُوٓاْ أَنفُسَكُمُۖ ٱلۡيَوۡمَ تُجۡزَوۡنَ عَذَابَ ٱلۡهُونِ بِمَا كُنتُمۡ تَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ غَيۡرَ ٱلۡحَقِّ وَكُنتُمۡ عَنۡ ءَايَٰتِهِۦ تَسۡتَكۡبِرُونَ }
[Surah Al-Anʿām: 93]

Abdullah Muhammad Basmeih:
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: "Telah diberi wahyu kepadaku", padahal tidak diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya".

Azab Allah s.w.t menggambarkan dosa yang dilakukan manusia di dunia. 
Golongan yang menghina agama dengan tindakan berikut akan mati dalam keadaan menghinakan :

1. Mengadakan perkara dusta terhadap Allah s.w.t. Syirik. 
2. Mendakwa dirinya dapat apa yang diwahyukan.
3. Menghina Al-Quran
4. Sombong terhadap ayat-ayat Allah s.w.t 

Golongan sebegini adalah zalim.
Meskipun dengan mata kasar, kita melihat mereka mati tanpa kesusahan, bukan mati ditimbus bangunan akibat gempa bumi, realitinya, merekalah yang terseksa bermula nyawa ditarik. 

Azab yang menanti sesudah itu bahkan lebih menakutkan. 

Muhasabah diri.
Bagaimana sikap saya terhadap wahyu Tuhan?
Adakah saya berhati-hati dalam menyampaikan wahyu, tidak mengatakan sesuatu tentang Robb yang tidak dipastikan kesahihannya lagi?

Ulasan