Hidup ini, memang tidak sentiasa mudah.
Sebagai seorang yang bujang, hidup jauh daripada keluarga,berjuang selesaikan PhD, memang beberapa kali terbit persoalan "Aku hidup untuk apa sebenarnya?"
Di usia mendekati 40-an, ramai teman-teman sebaya sibuk mengurus suami & anak-anak. Ada yang sibuk bekerja. Nak cari teman bersembang tu tak mudah.
Kisah PhD ni pun, sifatnya kerja sendiri. Tiada classmate. Sehinggakan ramai istilahkannya sebagai "Lonely journey".
I am ok most of the time.
Walaupun kadang-kadang muncul juga bisikan "Kenapa kena teruskan hidup?"
Tak jumpa apa yang menarik dalam hidup. Bahkan hilang motivasi untuk makan.
Bila hidup disandarkan pada manusia, mengharap kasih daripada sesama, khuatir mengundang kecewa. Kerana manusia realitinya fakir, tak punya apa.
Si bujang meletakkan syarat kehidupan akan bahagia dengan rezeki bina keluarga.
Sedangkan ada juga yang tak capai bahagia dalam rumahtangga yang dibina.
Ternyata bahagia itu bukan pada manusia. Tetapi adalah milik hati yang terpandu wahyu.
Bahagia itu sekarang.
Bukan nanti.
Saat kau rasa hidup ini sunyi, tiada siapa peduli, sedarilah bahawa Dia Maha tahu segala jerih-payah yang kau usahakan di siang hari. Bahkan Dia yang menidurkanmu di malam hari.
{ وَهُوَ ٱلَّذِي يَتَوَفَّىٰكُم بِٱلَّيۡلِ وَيَعۡلَمُ مَا جَرَحۡتُم بِٱلنَّهَارِ ثُمَّ يَبۡعَثُكُمۡ فِيهِ لِيُقۡضَىٰٓ أَجَلٞ مُّسَمّٗىۖ ثُمَّ إِلَيۡهِ مَرۡجِعُكُمۡ ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ }
Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.
[Surah Al-An`âm: 60]
Rasa tak signifikan berpijak di dunia kerana rasa hidup sendiri-sendiri, tiada siapa peduli?
Sedarilah bahawa Allah s.w.t Maha Melihat apa yang kau lakukan.
Allah s.w.t acknowledge segala usahamu.
Bahkan Dia yang menjagamu selama ini.
Siapa kata engkau sendirian, ditinggalkan?
{ وَهُوَ ٱلۡقَاهِرُ فَوۡقَ عِبَادِهِۦۖ وَیُرۡسِلُ عَلَیۡكُمۡ حَفَظَةً حَتَّىٰۤ إِذَا جَاۤءَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ تَوَفَّتۡهُ رُسُلُنَا وَهُمۡ لَا یُفَرِّطُونَ (61) ثُمَّ رُدُّوۤا۟ إِلَى ٱللَّهِ مَوۡلَىٰهُمُ ٱلۡحَقِّۚ أَلَا لَهُ ٱلۡحُكۡمُ وَهُوَ أَسۡرَعُ ٱلۡحَـٰسِبِینَ (62) }
Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya). Kemudian mereka (yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira - Penghitung.
[Surah Al-An`âm: 61-62]
Duhai jiwa,
Hidup ini hakikatnya untuk Allah s.w.t .
Hidup ini punyai makna besar.
Usah sempitkan definisi hidup dengan perspektif rezeki yang Dia tidak kurniakan kepadamu.
Dia yang menidurkanmu. Dia yang membangkitkanmu di siang hari untuk berprestasi. Dan kelak, Dia yang akan mematikanmu saat tiba ajal. Dan kau akan kembali kepadaNya.
Kampung akhirat, itu destinasi abadi.
Justeru, rasailah kecukupan hanya denganNya.
Ulasan
Catat Ulasan