Seorang temanku pernah mengadu
"Beli kopi di cafe terkenal , separuh bekas penuh buih. Baru sedut sikit, air dah habis. Geram sungguh padahal sebekas berharga nak dekat dua puluh ringgit."
Bila dizalimi hak sebagai pelanggan, rasa rugi.
Rasa marah.
Nak "claim", tak boleh. Sebab tiada bukti.
Rasa kena buli.
"Lain kali, sebelum bayar, buka dulu bekas tu, ambil sudu, check buih banyak mana. Haha. Sebab beli kopi mahal."
Setiap kita, tiada yang suka kerugian, bukan?
Sebagai penjual, mahu untung.
Sebagai pembeli, mahu "untung" juga. Tak nak beli sesuatu yang rasa rugi.
Hari ini, buka muka Surat pertama Surah Al-Araf, tersentap dengan satu fenomena akhirat.
Tentang golongan berjaya dan golongan rugi.
=====
{ وَٱلۡوَزۡنُ یَوۡمَىِٕذٍ ٱلۡحَقُّۚ فَمَن ثَقُلَتۡ مَوَ ٰزِینُهُۥ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (8) وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَ ٰزِینُهُۥ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ خَسِرُوۤا۟ أَنفُسَهُم بِمَا كَانُوا۟ بِـَٔایَـٰتِنَا یَظۡلِمُونَ (9) }
Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami.
[Surah Al-Aʿrāf: 8-9]
======
Akhirat kelak, golongan yang ringan timbangan amalnya akan rugi.
Allah s.w.t Maha Adil. Bahkan Maha Penyayang.
Satu amal akan dilipat gandakan sekurang-kurangnya sepuluh Kali. Sedangkan kejahatan, dibalas setimpal.
======
{ مَن جَآءَ بِٱلۡحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشۡرُ أَمۡثَالِهَاۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجۡزَىٰٓ إِلَّا مِثۡلَهَا وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ }
Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).
[Surah Al-Anʿām: 160]
======
Terkait kisah temanku, dia rasa rugi dengan pembelian kopi kerana separuh bekas penuh buih.
Tahukah kalian, apa pula punca rugi di akhirat dengan amal timbangan yang ringan?
Puncanya,
Zalim terhadap ayat-ayat Allah s.w.t.
فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ خَسِرُوۤا۟ أَنفُسَهُم بِمَا كَانُوا۟ بِـَٔایَـٰتِنَا یَظۡلِمُونَ
Zalim jual kopi dengan letak buih separuh bekas.
Zalim terhadap ayat-ayat Allah s.w.t pula bagaimana?
Ayat-ayat Allah (Quran) berfungsi sebagai petunjuk, tapi tidak dijadikan panduan hidup. Itulah zalim.
Ayat-ayat Allah disampaikan melalui rasul-rasulNya agar umat manusia FAHAM bicara Tuhan. Tapi, jika memilih mahu abaikan, tidak mahu memahami kandungan Quran, itulah zalim.
Perumpamaan hidup ibarat ujian. Siapa yang habis belajar "buku teks" boleh jawab peperiksaan. Yang langsung abaikan "buku teks", saat ujian kesusahan atau kesenangan datang, tak tahu apa jawapan. Hentam sahaja. Asalkan jawab dan hadap.
Agak-agak, boleh ke dapat markah penuh ?
Bagaimana nak beratkan timbangan amal sedangkan apa yang memberatkan timbangan amal pun tak tahu, akibat bersikap zalim terhadap ayat-ayat Allah s.w.t
Moga Allah s.w.t beri setiap kita petunjuk agar tidak bersikap zalim terhadap ayat-ayatNya.
Ulasan
Catat Ulasan