Pada tahun 2015, ustaz Nouman Ali Khan pernah datang Malaysia untuk ajar Bahasa Arab Quran melalui program "Quran Intensive" selama sebulan.
Hari-hari beliau kongsikan permata wahyu dan satu pesan yang sangat terkesan pada saya adalah tajuk "Harapan Tuhan".
Ujarnya, setiap kali bertemu perkataan لعل atau ل, pause dulu. Gostan balik tengok kalimah & ayat sebelum.
Sebab, apa-apa yang ada sebelum kalimah tersebut adalah strategi atau misi. Manakala apa-apa yang ada selepasnya adalah visi, tujuan atau harapan Allah s.w.t kepada si hamba.
Yang menariknya, dalam kumpulan ayat-ayat Ramadan, ada 3 tema ayat yang mengandungi kalimah لعل.
Pertama, tema TAQWA لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ (2:183) dan (2:187) لَعَلَّهُمۡ یَتَّقُونَ
Kedua, tema SYUKUR لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ (2:186)
Ketiga, tema MENDAPAT RUSHD (petunjuk kebenaran) (2:186) لَعَلَّهُمۡ یَرۡشُدُونَ
Wah, khusus bulan Ramadan sahaja, ada 3 harapan Allah s.w.t kepada si hamba. Tak jumpa pada ayat² Quran lain terkumpul ayat mengandungi kalimah لعل sebanyak ini.
.
.
.
Seorang yang masuk Universiti, mengharap dapat hasilnya yang dibuktikan dengan segulung ijazah graduasi.
Seorang yang masuk madrasah Ramadan pula, sudahkah mengharap dapat buahnya yang ditandakan dengan peribadi bertaqwa, bersyukur & mendapat petunjuk kebenaran?
Justeru, tatkala kita berada di penghujung Ramadan, jom kita semak satu-satu mengenai buah madrasah Ramadan ini.
1. Taqwa - 2:183 , 2:187
Strategi melatih taqwa terkait kebolehan menahan diri daripada kehendak nafsu makan & minum (2:183) serta nafsu seksual (2:187). Perkara yang selama ini dibenarkan, dilatih dengan menjadikannya larangan sepanjang tempoh siang khusus pada bulan Ramadan.
Renungi latihan ini.
Cuba analisa senarai tabiat-tabiat buruk yang merupakan dosa serta suka dilakukan selama ini. Sudahkah mampu menahan diri daripada melakukannya meskipun wujud desakan hawa nafsu dalam diri?
Tidak berbuat walaupun mahu.
Tetap lakukan walaupun dalam diri rasa tidak mahu.
Teruslah melatih menahan diri moga-moga perisai taqwa semakin kuat, jadi sebaik-baik bekal yang dibawa menuju akhirat.
.
.
2. Syukur - 2:185
Syukur adalah mengingat dan menampakkan nikmat. Justeru, logiknya seseorang tidak boleh tidak, perlu merasa nikmat kurniaan Allah s.w.t terlebih dahulu sebelum mampu menampakkan nikmat tersebut.
Misalnya, seorang yang makan lalu kenyang, dapat merasa nikmat makan. Berbanding seorang yang sakit dan metabolisme tidak optimum mengakibatkan makan tapi tak kenyang-kenyang bahkan jadi lebih sakit (misalnya gula dalam darah mencanak naik).
Kesyukuran dalam ayat 185 ini terkait kesyukuran atas nikmat diturunkan Al-Quran. Seorang yang dapat merasa nikmat Al-Quran adalah mereka yang dapat fungsikan Al-Quran sebagai petunjuk (huda), penjelasan (bayan) dan pembeza antara hak dan batil (furqan).
Semak diri.
Sudahkah saya menikmati Al-Quran?
Sudahkah saya mendapat petunjuk dan furqan melalui Al-Quran?
Sebagai seorang suami & ayah, sudahkah saya tahu petunjuk yang beri panduan bagaimana saya nak jadi suami & ayah acuan Quran?
Sebagai seorang isteri & ibu, sudahkah saya tahu petunjuk yang beri panduan apa yang benar (haq) dan apa yang salah (batil) dalam saya galas amanah sebagai isteri & ibu?
Sebagai seorang bujang, sudahkah saya raih kejelasan segala panduan wahyu bagaimana untuk berprestasi sebagai imraah, yang bermanfaat kepada ummah?
Saat berjaya menikmati Quran dengan fungsi huda, bayan & furqan, zahirkanlah kesyukuran dengan hati, lidah & perbuatan.
Buktikan kesyukuran dengan tindakan perbuatan selari panduan yang digarap.
.
.
3. Dapat rushd (petunjuk kebenaran) - 2:186
Rushd, lawannya adalah ghai
=====
قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).
[Surah Al-Baqarah: 256]
=====
Setelah seseorang belajar wahyu, dirinya akan dapat petunjuk (huda), berpotensi berada atas jalan yang lurus.
Namun, ada makhluk yang duduk atas jalan yang lurus ini agar orang beriman terhalang mengakibatkan tersesat (al-ghai) setelah mendapat hidayah.
==========
{ قَالَ فَبِمَاۤ أَغۡوَیۡتَنِی لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَ ٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ (16) ثُمَّ لَـَٔاتِیَنَّهُم مِّنۢ بَیۡنِ أَیۡدِیهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَیۡمَـٰنِهِمۡ وَعَن شَمَاۤىِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَـٰكِرِینَ (17) }
Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
[Surah Al-Aʿrāf: 16-17]
========
Dah dapat petunjuk setelah belajar wahyu, tetapi hadir bisikan syaitan yang berisiko menyesatkan atas jalan yang lurus.
Apa nak dibuat agar tetap atas kebenaran (rushd)?
Allah s.w.t mendidik, dua strategi untuk tetap atas jalan kebenaran.
Berimanlah kepadaNya (jangan percaya bisik-bisik syaitan di sudur yang nampak indah).
Penuhilah seruanNya (jangan taat bisik-bisik syaitan yang berlawanan dengan petunjuk).
========
فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ
Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
[Surah Al-Baqarah: 186]
==========
.
.
.
.
Semak diri.
Pada penghujung Ramadan ini,
Apa khabar taqwa saya?
Apa khabar kesyukuran saya?
Apa khabar petunjuk kebenaran saya?
Dengan Ramadan berbaki, kerahkan segala usaha laksanakan segala strategi untuk menumbuhkan harapan Tuhan.
Moga-moga, setiap kita keluar daripada madrasah Ramadan dengan jiwa yang bertaqwa, bersyukur dan mendapat petunjuk kebenaran.
Ulasan
Catat Ulasan