Kesaksian yang manusia terlupa


Pagi tadi, sempat sembang-sembang dengan mak. Terimbau memori kanak-kanak.

"Ingat tak dulu, Ayat tak suka belajar Inggeris. Baling buku lepas tu cakap "Siapa buat rules grammar macam ni. Kejap ada 's', kejap takde 's'."

"Eh, ada ke mak? Ya Allah sorry mak. Kesian mak hadap perangai Ayat."

"Eh, takpelah. Budak-budak." 

Meskipun saya tak ingat langsung memori berkenaan, tapi saya meyakini peristiwa itu pernah berlaku kerana dipertuturkan oleh ibuku. 

Pasti, saya percaya pada bonda. 

Memang, banyak hal yang kita tidak mampu ingat. Kegagalan kita untuk ingat mengenainya tidak bermakna peristiwa itu tidak berlaku. 

Dan, Allah s.w.t mengingatkan kita akan kesaksian yang pernah kita ikrarkan sebelum ini. 

=====
{ وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِيٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَهُمۡ وَأَشۡهَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰ شَهِدۡنَآۚ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنۡ هَٰذَا غَٰفِلِينَ }

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

[Surah Al-Aʿrāf: 172]
======

Setiap manusia, ruhnya telahpun mengakui Allah s.w.t sebagai Robb. Kesaksian ini menjadi fitrah kepada semua untuk mencariNya.

Bahkan manusia atheis, tetap akan cari Tuhan dalam detik kritikal & kecemasan kerana fitrah hidup berTuhan ini tidak boleh terpisah daripada manusia. 

Meskipun setiap manusia dilahirkan atas fitrah mengakui Allah s.w.t sebagai Robb, persekitaranlah yang akan membentuk dirinya sama ada menjadi orang beriman ataupun tidak. 

Justeru, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mencari kebenaran. Agar Kita terselamat daripada akibat lalai mengenaliNya. 

Satu persoalan "Mengapa perlu berlakunya peristiwa kesaksian bahawa Dialah Robb?" 

Kesaksian ini berlaku agar : 

1) Manusia tiada alasan atas keingkarannya tatkala bertemu Tuhan. Bahkan alasan "Saya tak ingat pun pernah bersaksi akan hal ini." tidak diterima. 

2) Tidak salahkan ibu bapa atau generasi sebelum yang mempengaruhinya memilih jalan ingkar. 

Pada Hari Kebangkitan kelak, akan ada yang cuba selamatkan diri dengan menyalahkan ibu bapa dan nenek moyang.

Namun, alasan itu tidak akan diterima.

======
{ أَوۡ تَقُولُوٓاْ إِنَّمَآ أَشۡرَكَ ءَابَآؤُنَا مِن قَبۡلُ وَكُنَّا ذُرِّيَّةٗ مِّنۢ بَعۡدِهِمۡۖ أَفَتُهۡلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ }

Atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?"

[Surah Al-Aʿrāf: 173]
=====

Terlupa akan peristiwa diri bersaksi bahawa Allah lah Robb? 
Surah Al-Araf hadir mengingatkan.  

Ya.
Peristiwa itu telah berlaku.
Di sini, Tuhan mengingatkanmu. 
Meskipun dirimu tidak mengingatinya, itu bukan alasan untuk tidak mengabdi kepadaNya.

Justeru, pilihlah jalan keimanan.
Agar perjalanan hidup memanifestasikan kesaksian bahawa Dialah Robb.

Ulasan