Super Power



Dari kecil, kita dihidangkan dengan kartun, drama dan filem watak "superpower" yang punyai kebolehan tidak dimiliki manusia biasa. 

Zaman saya kecil-kecil & remaja, ada power rangers, satria baja hitam, Dragon ball, Doraemon dan macam-macam. 

Pernah teringin nak super power mana-mana?

Kalau saya, rasa nak boleh terbang je. Konon senang ke sana ke mari.

Pagi tadi, ulangkaji ayat-ayat akhir surah Al-'Araf, terkesan dengan kebolehan luar biasa segolongan manusia.

Saya kira, agak dahsyat jugalah golongan yang punyai kebolehan ini.

Superpower.

Iaitu.

Kebolehan menyedari hadirnya bisikan syaitan yang manusia tak nampak.

=====
{ إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ إِذَا مَسَّهُمۡ طَٰٓئِفٞ مِّنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبۡصِرُونَ }

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
[Surah Al-Aʿrāf: 201]
======

Manusia, ketika merasakan apa yang terlintas dalam benak fikiran sebagai cetusan minda, mudah mengeyakan. Terima. Bahkan ikuti kehendak lintasan minda.

Namun, bagaimana jika yang terlintas adalah bisikan syaitan yang menasihati? 

Mampukah menyedari?
Sedangkan syaitan itu, tidak mampu dilihat pancaindera.

=====
{ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ لَا يَفۡتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ كَمَآ أَخۡرَجَ أَبَوَيۡكُم مِّنَ ٱلۡجَنَّةِ يَنزِعُ عَنۡهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوۡءَٰتِهِمَآۚ إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمۡ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنۡ حَيۡثُ لَا تَرَوۡنَهُمۡۗ إِنَّا جَعَلۡنَا ٱلشَّيَٰطِينَ أَوۡلِيَآءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ }

Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup).

 Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. 

Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.

[Surah Al-Aʿrāf: 27]
=======

Melalui hujung ayat al-Araf, Allah s.w.t menyatakan bahawa golongan yang punyai "superpower" sedar bisikan syaitan ini adalah mereka yang bertaqwa.

Hanya orang bertaqwa yang tatkala dirinya disentuh bisikan syaitan, akan segera ingat Allah s.w.t. 

Justeru, jika mahu raih "superpower" sedar bisikan syaitan ini, binalah perisai taqwa. 

Amalkan berpuasa.
Pelajari al-kitab & berpeganglah padanya kuat-kuat.
Moga jadi insan bertaqwa yang segera ingat Allah tatkala disentuh syaitan, mohonlah perlindunganNya.

====
{ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ سَمِيعٌ عَلِيمٌ }

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

[Surah Al-Aʿrāf: 200]

Ulasan