Sebuah keluarga.
Tetapi suami & isteri jarang berkomunikasi.
Daripada sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besar agenda.
Bila ditanya "Kenapa tak tahu? Pasangan awak tak beritahu ke?"
Si isteri meluahkan rasa takut,
"Tak berani. Saya tak tahu apa yang buat dia marah & tak. Tiada panduan sebab ikut suka hati dia nak marah apa. Tersalah potong bentuk kentang pun nak marah. Baik saya diam, selamat."
Si suami pula pertahankan diri,
"Dia jarang sokong apa yang saya buat. Semua dia nak komen. Baik saya diam tak bertegur dia daripada saya marah."
Anak-anak turut terkesan.
Jarang bercakap antara sesama.
Bila ditanya mengapa tak macam adik-beradik keluarga normal?
Dijawab, "Tak berani nak bercakap takut kena marah. Tak tahu apa yang boleh dan tak boleh dicakapkan, semua boleh jadi salah. Terkadang yang buat hal adalah si adik. Yang kena tanggung dimarah adalah abang kakak."
Bila satu keluarga sebagai unit terkecil masyarakat pun hati-hatinya tidak bersatu, musuh mudah menang menyerang.
Bila tiada lagi komunikasi sayang antara sesama ahli keluarga, apa lagi benteng pertahanan manusiawi yang boleh diharapkan?
Soal hati,
Memang sukar.
Jika dibelanjakan seluruh harta di bumi, tetap tidak boleh menyatukan hati-hati manusia.
Walau sebanyak mana wang dan harta yang diberikan kepada pasangan & anak-anak, tetap tidak boleh membeli "hati" mereka.
Seorang suami kaya yang sering beri wang & harta kepada isterinya tetapi jarang mahu mendengar bicara si isteri, tidak mahu menolong, tidak membuktikan kasih sayang dengan memaafkan & tahan marah, tetap tidak dapat merebut hati isterinya.
Seorang ibu kaya yang sering memberikan wang belanja kepada anak-anak, tetapi sering memarahi mereka bila-bila masa ikut kehendaknya, tidak membuktikan kasih sayang dengan sabar mendidik membesarkan anak-anak, tetap tidak dapat merebut hati si anak.
Hakikatnya, rasa cinta & kasih sayang tak boleh dibeli dengan Wang ringgit.
Bahkan jika miliki emas sepenuh bumi pun tidak akan mampu merebut hati manusia.
=====
{ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ }
Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[Surah Al-Anfāl: 63]
=====
Penyatuan hati manusia hanyalah dengan Allah s.w.t.
Allah s.w.t Yang mampu menyatukan hati-hati manusia.
Tetapi, ada syaratnya.
Manusia perlu usaha patuhi panduanNya dalam Al-Quran terkait perhubungan.
Bila peduli patuhi panduanNya dalam berinteraksi, Dialah yang akan menyatukan hati-hati manusia.
Misalnya, sesama pasangan, Dialah yang berkuasa menjadikan (وَجَعَلَ) mawaddah (kasih sayang) & rahmah (belas kasihan) antara dua jiwa.
Jika pasangan tersebut ambil tanggungjawab perbaiki diri, jadi sumber ketenangan kepada pasangannya.
=====
{ وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ }
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
[Surah Ar-Rūm: 21]
=====
Persoalannya, mampukah si suami & isteri jadi sumber ketenangan kepada pasangan masing-masing?
Melihat drama, ada sahaja skrip
"Saya memang panas-baran dari dulu. Genetik. Tak boleh ubah."
Renung ayat tersebut.
Bilamana Allah s.w.t menciptakan (خَلَقَ) dengan fungsi ketenangan, maksudnya setiap pasangan punyai kapasiti tersebut.
Tinggal lagi apakah masing-masing mahu letakkan usaha merealisasikannya?
Atau enggan perbaiki (islah) diri, membiarkan diri bergelumang tabiat buruk yang merosakkan perhubungan.
Terlepas peluang raih hadiah mawaddah & rahmah yang dijanjikan Tuhan.
Ada lagi panduan terhadap anak-anak.
Perlu bersikap tahan marah, berlapang dada & memaafkan tatkala si anak menjadi musuh (ajak lakukan perkara maksiat atau halang buat kebaikan).
Jika dalam konteks maksiat pun kita disarankan ambil pendekatan sabar, apatah lagi jika si anak tidak buat salah langsung? Sekadar gagal penuhi keinginan peribadi ibu bapa, apakah wajar mereka dimarahi?
=====
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّ مِنۡ أَزۡوَٰجِكُمۡ وَأَوۡلَٰدِكُمۡ عَدُوّٗا لَّكُمۡ فَٱحۡذَرُوهُمۡۚ وَإِن تَعۡفُواْ وَتَصۡفَحُواْ وَتَغۡفِرُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ }
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara pasangan-pasangan kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[Surah At-Taghābun: 14]
=====
Ingat.
Hanya Allah s.w.t sahaja yang mampu menyatukan hati-hati manusia.
Bermula dengan si manusia peduli patuhi panduanNya dalam wahyu.
=====
{ وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ }
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
[Surah Āli-ʿImrān: 103]
=====
Andai terlihat kekusutan dalam perhubungan antara sesama, kembalilah kepada Allah s.w.t
Koreksi kesalahan diri & usaha perbaiki diri sebagai jalan mohon pertolonganNya.
Peduli fahami wahyu.
Peduli ambil tindakan selari panduanNya.
Dan mohonlah kepadaNya agar hati-hati insan tersebut kembali diikat penuh sayang.
Rebut kembali hati-hati manusia yang mungkin telah lama menjauh.
Ulasan
Catat Ulasan