Penuhilah janji, jika benar engkau beriman.
_____________
Kisah tahun lepas.
"Ayat, jom pergi Melaka Jumaat ni? Bermalam sana, saya book homestay."
Terkejut saya bila dapat mesej daripada seorang sahabat. Baru je jumpa dia, datang ziarah beberapa hari sebelum.
"Kenapa tiba-tiba ni?" Saya bertanya.
"Sebab semalam borak-borak dengan ABC. Sembang tentang Melaka. Dah jemput dia datang Melaka."
"Owhh.. memang kena pergi minggu ni ke?" Dalam fikiran saya, biasalah tu. Kadang-kadang kita sembang dengan kawan baru, memang 'ter'ajak datang ziarah tempat sendiri. Memang kena take serious ke apa yang dibualkan?
"Nak kena tepati janji. Tak nak tangguh-tangguh."
Saya muhasabah banyak dengar jawapan dia.
Jawapan yang terbit daripada iman yang hidup.
Akhirnya, hujung minggu itu kami jalan-jalan ke pantai , muzium & banyak tempat di Melaka.
=====
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَوۡفُواْ بِٱلۡعُقُودِۚ
Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.
[Surah Al-Māʾidah: 1]
=====
Jika diperhatikan ayat di atas, perintah penuhi & sempurnakan janji datang selepas frasa "Wahai orang-orang yang beriman."
Maksudnya apa?
Kalau benar engkau beriman, penuhilah janji.
Antara syarat membuktikan Iman pada Allah s.w.t adalah dengan penuhi janji.
Janji yang mana?
Semuanya.
Dari sekecil-kecil sehingga ke sebesar-besar perkara.
Janji dengan Allah (kalimah syahadah) untuk sami'na (faham Qur'an) wa 'ato'na.
Janji dalam akad perkahwinan (tanggungjawab suami isteri).
Janji sesama Muslim.
Janji dengan non-muslim.
Janji dengan anak kecil.
Semualah.
Baru juga berlaku baru-baru ni, seorang rakan ajak makan tengahari bersama. Dia kata nak ajak makan sekali dengan seorang lagi kawan XYZ.
Saya bertanya "Eh, rapat ke dengan dia?"
Saya musykil juga. Kenapa tiba-tiba nak keluar makan dengan orang yang setakat saya tahu, tak berapa rapat.
"Tak rapat pun. Tapi sebab hari tu bertembung dia. Sempat tanya khabar sekejap. Lepas tu dah janji nak ajak makan one day. Tak naklah ajak-ajak ayam. Sebab tu luangkan masa hari ni."
Ni lagi, contoh manusia berpegang pada janji.
Penuhi janji walaupun sekecil-kecil perkara.
Terima kasih duhai sahabat-sahabat yang banyak beri teladan kepadaku.
Ulasan
Catat Ulasan