Usah mengkhabarkan nikmat jika khuatir ada yang dengki.


Dulu-dulu, kalau ada makanan berjumlah sedikit, niat tak nak berkongsi dengan sesiapa, lalu usahakan makan sorok-sorok.

Jangan sampai insan-insan tersayang tahu kewujudannya. Tak nak sesiapa berasa hati.

Tetapi zaman kini yang banyak menggunakan media sosial, makanan yang sedikit itulah dipertontonkan kepada khalayak ramai. Hilang sensitiviti untuk menjaga hati sesiapa.

"Alaa.. kalau tak suka swipe je lah. Siapa suruh follow."

Mungkin ada juga yang berdalih begitu.

Cuma, khusus untuk golongan beriman yang berdoa dalam setiap solatnya,  "Tunjukkanlah kami ke jalan(Sirot) yang lurus, jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat", ada pedoman melalui Sirot Nabi Yusuf a.s & Nabi Yaakub a.s.

Ketika Nabi Yusuf a.s mengkhabarkan kepada ayahnya, perihal mimpi, ayahnya melarang untuk mengkhabarkan mimpi tersebut kepada abang-abangnya.

=====

{ إِذۡ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَٰٓأَبَتِ إِنِّي رَأَيۡتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوۡكَبٗا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ رَأَيۡتُهُمۡ لِي سَٰجِدِينَ }

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".

{ قَالَ يَٰبُنَيَّ لَا تَقۡصُصۡ رُءۡيَاكَ عَلَىٰٓ إِخۡوَتِكَ فَيَكِيدُواْ لَكَ كَيۡدًاۖ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٞ مُّبِينٞ }

Bapanya berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.
[Surah Yūsuf: 4-5]

=====

Sebagai bapa, Nabi Yaakub mengetahui kekurangan anak-anaknya. Baginda tahu abang-abang Nabi Yusuf a.s ada penyakit hati lalu menasihati Nabi Yusuf a.s tidak mengkhabarkan nikmat mimpi Yang baik kepada mereka.

Dua pengajaran yang kita boleh teladani.

1) Usah hebahkan nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada kita ketika kita tahu, ada yang bakal dengki.

2) Ketika mahu memberi amaran mengenai seseorang, tak perlu menceritakan secara detail keburukannya. Cukup berikan informasi sekadarnya untuk selamatkan pihak yang dinasihati.

#012Yusuf

Ulasan