Pernah masuk tender?
Masing-masing "berentap" menawarkan sebut harga terbaik dengan barang dagangan tinggi kualiti agar terpilih.
Mahu terpilih.
Andai terpilih, sudah menjual barang dagangan, barang dagangan dah jadi milik pembeli.
Penjual tak boleh lagi membuat barang dagangannya seolah-olah barang kepunyaannya lagi. Sudah bertukar pemilik. Barang dagangan boleh diperlakukan mengikut kehendak pembeli.
Renungkan ini.
Allah s.w.t menawarkan jual beli dengan manusia. Tawaran ini "diiklankan" dalam kitab Taurat, Injil & Al-Quran.
Yang benar-benar membaca Al-Kitab sahaja mungkin "perasan" tawaran yang diiklankan ini. Lalu, memilih turut serta dalam jual-beli ini. Yang lalai daripada kandungan Al-Kitab, kemungkinan besar terlepas peluang.
=====
{ ۞إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَۖ وَعۡدًا عَلَيۡهِ حَقّٗا فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَٱلۡإِنجِيلِ وَٱلۡقُرۡءَانِۚ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِعَهۡدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِۚ فَٱسۡتَبۡشِرُواْ بِبَيۡعِكُمُ ٱلَّذِي بَايَعۡتُم بِهِۦۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ }
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
[Surah At-Tawbah: 111]
=====
Konteks ayat adalah terkait perang Tabuk. Satu perang yang jadi Fardhu Ain (bukan fardhu kifayah) kepada semua lelaki beriman yang sihat dan ada keupayaan untuk berperang.
Realiti manusia, tidak suka berperang. Lebih-lebih lagi perang yang perlu jalan jauh, pada waktu yang panas serta pada musim beroleh hasil. Jika pergi, logik akal berfikir terpaksa meninggalkan hasil tuaian. Rugi. Sangat rugi.
Hanya orang-orang beriman yang membaca & memahami Al-Kitab akan menyedari tawaran Allah s.w.t ini. Bahawa jika pergi berperang agar terhapus fitnah (kesyirikan & kemungkaran) serta kezaliman musuh-musuh agama, agar tertegaknya kalimah Allah s.w.t, yang ada hanyalah kemenangan.
Jika berjaya membunuh, itulah kemenangan di dunia yang dijanjikan syurga di akhirat.
Jika terbunuh, itu juga kemenangan, dijanjikan syurga.
Tiada kerugian.
Membunuh atau terbunuh, dua-dua adalah kemenangan.
Bagaimana nak terlibat Jual Beli dengan Allah s.w.t?
Barang dagangannya adalah diri dan harta.
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,"
Tatkala diri & harta telah dibeli oleh Allah s.w.t, manusia tak boleh memperlakukannya sesuka hati.
Kerana telah jadi milik yang membeli.
Harus ikut kehendakNya.
Apakah kualiti diri yang telah dibeli Allah s.w.t?
=====
{ ٱلتَّٰٓئِبُونَ ٱلۡعَٰبِدُونَ ٱلۡحَٰمِدُونَ ٱلسَّٰٓئِحُونَ ٱلرَّٰكِعُونَ ٱلسَّٰجِدُونَ ٱلۡأٓمِرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱلنَّاهُونَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡحَٰفِظُونَ لِحُدُودِ ٱللَّهِۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ }
(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).
[Surah At-Tawbah: 112]
=====
Inilah kontraknya.
Inilah perjanjian jual-beli dengan Allah s.w.t
Jika benar mahu terpilih dalam kontrak jual beli ini, sudahkah penuhi piawai kualiti yang dimahukan Allah SWT?
Itulah kualiti golongan yang...
1) Selalu bertaubat.
2) Yang mengabdikan diri sebagai hamba kepadaNya dalam semua keadaan. Taat perintahNya, jauhi laranganNya.
3) Yang mengembara. Sanggup keluar daripada "comfort zone" demi perjuangan Quran. Belajar & mengajar Quran.
4) Yang banyak solat (banyak rukuk & sujud).
5) Yang menyuruh berbuat baik & melarang kejahatan.
6) Yang menjaga batas-batas hukum Allah s.w.t.
Inilah golongan yang terlibat Jual beli dengan Allah s.w.t.
Inilah peribadi yang perlu dibina dalam diri agar terpilih tergolong mereka yang menjual diri & harta kepadaNya untuk dapatkan syurga.
Manusia, kadang-kadang mengomel, enggan taat kepadaNya.
Kenapa Allah s.w.t suruh buat ini?
Kenapa saya kena ikut buat begini?
Sedangkan, jika telah memilih dibeli Allah s.w.t untuk dapatkan syurga, diri kita logiknya harus ikut kehendakNya. Kerana secara teknikal, jadi milik yang membeli.
Sebagaimana orang yang telah jual rumahnya. Jika sudah dibeli, jika masih memperlakukan rumah seperti miliknya, bebas keluar masuk rumah, boleh dibuat laporan polis. Boleh ditangkap & dibicarakan.
Yang telah dibeli, bukan lagi jadi milik penjual.
Begitulah hakikat Jual beli..
Sungguh,
Syurga itu, bukan boleh didapatkan dengan angan-angan.
Matawang "angan-angan" untuk membeli syurga hanyalah janji syaitan.
Allah s.w.t menjanjikan sebaliknya.
Bahawa syurga itu dijanjikan untuk mereka yang berjuang atas jalanNya dengan diri & harta.
Refleksi diri.
Sudahkah saya persiapkan diri agar layak "dibeli" Allah s.w.t?
SubhanAllah.
Alhamdulillah.
Allahu Akbar.
Ulasan
Catat Ulasan