Bahkan anak & isteri nabi pun tidak dapat ditolong apabila enggan mengusahakan Iman



"Ada 5 orang anak. Kena ada yang jadi doktor, peguam, businessman & jurutera. Yang penting seorang kena jadi ustaz, hafal Quran."

"Kenapa?"

"Iyalah. Dia yang nanti boleh tarik mak ayah masuk syurga."

"Oh macam tu ya?"

"Empat anak untuk manfaat dunia. Save satu untuk akhirat. Biar dapat dua-dua dunia & akhirat." 
.
.
.
Apa pendapat anda dengan cara fikir begini?

Realiti Iman menuntut pembuktian. 
Kerana sistem di akhirat tidak menilai status keislaman & keimanan pada dokumen surat beranak mahupun kad pengenalan.
Namun, keislaman & keimanan itu harus dibuktikan dengan AMAL. 

Andai bukti keislaman itu ditentukan percayanya diri bahawa Tuhan adalah Allah s.w.t,
Iblis juga percaya Tuhannya adalah Allah s.w.t. 
Andai bukti keimanan itu ditentukan dengan lafaz kalimah syahadah, Firaun juga melafazkannya sebelum mati. 

Dalam kisah para Nabi terdahulu, ada diketengahkan perihal anak & isteri nabi yang tidak selamat daripada azabNya. 
Anak nabi Nuh tidak diselamatkan.

=====
{ وَهِیَ تَجۡرِی بِهِمۡ فِی مَوۡجࣲ كَٱلۡجِبَالِ وَنَادَىٰ نُوحٌ ٱبۡنَهُۥ وَكَانَ فِی مَعۡزِلࣲ یَـٰبُنَیَّ ٱرۡكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ ٱلۡكَـٰفِرِینَ (42) قَالَ سَـَٔاوِیۤ إِلَىٰ جَبَلࣲ یَعۡصِمُنِی مِنَ ٱلۡمَاۤءِۚ قَالَ لَا عَاصِمَ ٱلۡیَوۡمَ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِ إِلَّا مَن رَّحِمَۚ وَحَالَ بَیۡنَهُمَا ٱلۡمَوۡجُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡمُغۡرَقِینَ (43) }

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir". Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.
[Surah Hūd: 42-43]
=====

Walaupun ayahnya seorang Nabi, bahkan meminta kepada Allah s.w.t agar selamatkan si anak, tiada yang dapat selamatkan. 

Yang punyai kuasa mutlak tetap Allah s.w.t. sahaja. Dan Allah s.w.t menjelaskan punca si anak tidak diselamatkan adalah kerana amalnya tidak soleh. 

=====
{ وَنَادَىٰ نُوحࣱ رَّبَّهُۥ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ٱبۡنِی مِنۡ أَهۡلِی وَإِنَّ وَعۡدَكَ ٱلۡحَقُّ وَأَنتَ أَحۡكَمُ ٱلۡحَـٰكِمِینَ (45) قَالَ یَـٰنُوحُ إِنَّهُۥ لَیۡسَ مِنۡ أَهۡلِكَۖ إِنَّهُۥ عَمَلٌ غَیۡرُ صَـٰلِحࣲۖ فَلَا تَسۡـَٔلۡنِ مَا لَیۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۖ إِنِّیۤ أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ ٱلۡجَـٰهِلِینَ (46) }
Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya". Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".
[Surah Hūd: 45-46]
=====

Selain kisah anak nabi Hud, Isteri nabi Lut juga tidak diselamatkan.

=====
{ قَالُواْ يَٰلُوطُ إِنَّا رُسُلُ رَبِّكَ لَن يَصِلُوٓاْ إِلَيۡكَۖ فَأَسۡرِ بِأَهۡلِكَ بِقِطۡعٖ مِّنَ ٱلَّيۡلِ وَلَا يَلۡتَفِتۡ مِنكُمۡ أَحَدٌ إِلَّا ٱمۡرَأَتَكَۖ إِنَّهُۥ مُصِيبُهَا مَآ أَصَابَهُمۡۚ إِنَّ مَوۡعِدَهُمُ ٱلصُّبۡحُۚ أَلَيۡسَ ٱلصُّبۡحُ بِقَرِيبٖ }

(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?"
[Surah Hūd: 81]
=====

Ada antara Kita, mungkin dianugerahkan nikmat keluarga Yang berpegang kuat pada agama. Dari kecil sudah diajar menutup surat & mendirikan solat. Tetapi, persekitaran amat jahil, gelap yang pekat. 

Saat itu, teruji Iman.
Mahu berpegang pada kebenaran sebagaimana Yang dididik keluarga.
Atau larut & cenderung pada majoriti masyarakat yang tidak mengamalkan agama?

Terkadang, fitrah manusia yang mahu diterima ahli masyarakat membuatkan diri sedikit demi sedikit melepaskan agama. 

Jangan.
Jangan sampai jadi seperti isteri Nabi Lut yang tergolong bersama ahli masyarakat majoriti yang zalim. 

Sebaliknya, tetaplah pada jalan kebenaran.
Meskipun kau tergolong kelompok minoriti yang disisih masyarakat

=====
{ فَٱسۡتَقِمۡ كَمَاۤ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡا۟ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرࣱ (112) وَلَا تَرۡكَنُوۤا۟ إِلَى ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِیَاۤءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ (113) }

Oleh itu, hendaklah engkau sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
[Surah Hūd: 112-113]
=====


Ulasan