Yang menguasai pendengaran & penglihatan


"Akak, haji hari tu, dapat tahu ada beberapa orang tak ke Wukuf di Arafah."

"Biar betul."

"Betul. Petugas beritahu. Masa tu, mereka tiba-tiba tak sedar yang mereka tengah dalam ibadah Haji. Ada yang ingatkan masih di Malaysia, dok cerita pasal ayam itik dia. Habis waktu Wukuf, baru tersedar yang tengah berada di Mekah."

Saya terdiam ketika mendengar perkongsian sahabat yang baru pulang haji.
Macam-macam terbit di benak kepala. 

"Mungkin itu yang terbaik bagi mereka. Mungkin Allah s.w.t nak mereka pergi lagi tahun lain, bukan rezeki haji tahun ni." 

Cepat-cepat berbaik sangka atas takdir ketetapanNya.
Realiti hidup ini medan tarbiyyah, perbaiki hati, hinggalah tiba saat kita kembali bertemu denganNya. 

Renungi peristiwa tersebut, beri peringatan kepadaku akan lemahnya manusia sebagai hamba. 

Setiap sel jasad kita, sebenarnya bawah kekuasaan Allah s.w.t kan? 
Hari-hari kita "waras", adalah atas izinNya. Bila-bila masa sahaja Dia boleh tarik nikmat tersebut. 

Sejak dengar berita-berita sedemikian, semakin yakin akan ayat-ayat Allah s.w.t bahawa Dialah yang menguasai pendengaran & penglihatan.

Sedangkan banyak hari yang berlalu, rasa diri sendiri yang menguasai setiap pancaindera pada jasad.
 
=====
{ قُلۡ مَن يَرۡزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ أَمَّن يَمۡلِكُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَٰرَ وَمَن يُخۡرِجُ ٱلۡحَيَّ مِنَ ٱلۡمَيِّتِ وَيُخۡرِجُ ٱلۡمَيِّتَ مِنَ ٱلۡحَيِّ وَمَن يُدَبِّرُ ٱلۡأَمۡرَۚ فَسَيَقُولُونَ ٱللَّهُۚ فَقُلۡ أَفَلَا تَتَّقُونَ }

Bertanyalah kepada mereka: "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? 

Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? 

Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? 

Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? 

"(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "

Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?

[Surah Yūnus: 31]
=====

Refleksi diri, setiap pancainderaku adalah bawah kekuasaanNya. Dia boleh mengambilnya kembali bila-bila masa. Dia boleh menarik nikmat kewarasan akalku bila-bila masa.

Justeru, syukurilah setiap kurniaanNya.
Syukuri kesihatan jasad.
Syukuri peluang belajar memahami wahyuNya.

Dan manifestasikan kesyukuran dengan menggunakan nikmat untuk amal soleh, hindari yang haram.

Ulasan