"Ada janji temu klinik Jumaat ni."
"Awak dah bayar deposit untuk tempah slot?"
"Tak. Mereka tak minta pula."
"Macam mana awak yakin mereka sediakan slot Jumaat ni? Entah-entah mereka cancel dah."
"Ni ha. Mereka dah bagi reminder. Confirm lah tu."
Dia angguk-angguk.
.
.
.
.
Untuk sebarang janji temu, perlu keyakinan.
Barulah akan buat persiapan.
Andai sebuah pertemuan tidak diyakini, perihal pertemuan tersebut tidak akan diperbualkan.
Bahkan pasti, tiada persiapan yang dilakukan.
Ada manusia, acapkali mungkir janji setelah berkali-kali mengatakan mahu bertemu.
Akibatnya, hilang kepercayaan.
Tiada lagi keyakinan.
"Alah. Dia tu ajak-ajak ayam. Nanti batang hidung dia pun tak nampak."
.
.
.
Andai janji temu itu memang memerlukan keyakinan,
Tanya lagi pada hati,
"Sudahkah yakin untuk bertemu dengan Allah SWT?"
Apakah percaya akan kalamNya lalu menyedari setiap hari yang berlalu semakin mendekatkan diri akan hari pertemuan denganNya?
Rupa-rupanya, Robb menjelaskan tanda-tanda kebesaranNya agar si hamba yakin bertemu denganNya.
Umpama "reminder" klinik yang menumbuhkan keyakinan akan janji temu,
Segala kejelasan tentang ayat-ayatNya berfungsi menumbuhkan keyakinan akan janji temu denganNya.
=====
{ ٱللَّهُ ٱلَّذِي رَفَعَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ بِغَيۡرِ عَمَدٖ تَرَوۡنَهَاۖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ وَسَخَّرَ ٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَۖ كُلّٞ يَجۡرِي لِأَجَلٖ مُّسَمّٗىۚ يُدَبِّرُ ٱلۡأَمۡرَ يُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لَعَلَّكُم بِلِقَآءِ رَبِّكُمۡ تُوقِنُونَ }
Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Dia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu.
[Surah Ar-Raʿd: 2]
=====
Dongak ke langit.
Renungkan binaan langit tanpa tiang.
Fikirkan lagi matahari & bulan, semuanya berjalan sesuai manfaat manusia.
Untuk apa dijelaskan semua tanda-tanda kekuasaanNya?
Agar manusia yakin, suatu hari nanti akan bertemu dengan Robb.
Ketika diri rasa aman berjalan atas bumi tanpa perlu risaukan dihempap langit, sedarlah suatu hari nanti akan bertemu Robb yang meninggikan langit.
Saat diri bahagia mengeringkan pakaian bawah cahaya matahari,
sedarlah akan tibanya suatu hari bertemu dengan Robb yang selama ini memberi kita sumber kehidupan di dunia.
Ulasan
Catat Ulasan