Yang diwahyukan daripada Robb adalah kebenaran


Ada artis internasional datang ke Malaysia? 

Berpusu-pusu manusia mendapatkan tiket.
Sanggup hadir meskipun berhujan kerana ada nilai pada penyanyi yang dipuja. 

"Artis datang jauh-jauh, tak nak lepaskan peluang."

Manusia.
Memang pandai dapatkan manfaat peluang. 
.
.
Hei.

Ada wahyu daripada Tuhan turun ke bumi.

Sudahkah manusia berpusu-pusu mendapatkannya? 
Kiriman wahyu datang dari jauh, nun langit ke-7. 
Apakah manusia merasakan Al-Kitab sesuatu yang bernilai?

=====
{ الٓمٓرۚ تِلۡكَ ءَايَٰتُ ٱلۡكِتَٰبِۗ وَٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ ٱلۡحَقُّ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يُؤۡمِنُونَ }

Alif, Laam, Miim, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) beriman.

[Surah Ar-Raʿd: 1]
=====

Apa yang diturunkan oleh Robb kepada rasul adalah kebenaran. 
Sejarah terdahulu dan berita yang akan datang, semuanya benar belaka. 

Namun.
Ramai manusia enggan percaya. 
Lalu tidak mempedulikan kefahaman wahyu. 

Sedangkan yang beriman padanya, akan berusaha memahami setiap kalimah. 

=====
{ ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَتۡلُونَهُۥ حَقَّ تِلَاوَتِهِۦٓ أُوْلَٰٓئِكَ يُؤۡمِنُونَ بِهِۦۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ }

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan, mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

[Surah Al-Baqarah: 121]
=====

Jika manusia enggan percaya pada apa yang terkandung dalam wahyu, apakah itu akan mengubah realiti? 

Andai ada yang tidak percaya bahawa bunga mawar adalah bunga mawar, apakah bunga tersebut akan bertukar menjadi bunga kekwa?

Andai ada yang tidak percaya siang itu terang, apakah siang akan bertukar menjadi gelap?

Tidak.
Kebenaran adalah kebenaran.
Keengganan manusia beriman pada wahyu tidak akan mengubah realiti kebenaran.

Apa yang terkandung dalam wahyu akan terlaksana.
Dan tidak bergunalah angan-angan dan prasangka manusia terhadap realiti. 
Banyaknya tipu daya dan angan-angan majoriti manusia tidak akan mengubah takdir kebenaran. 

Akhirnya,
Manusia yang enggan beriman pada Al-Quran itulah yang rugi. 


Ulasan