Kerana mahu menjadi manusia yang diajar Tuhan



Pernah suatu ketika, saat Nabi Musa a.s berkhutbah kepada kaumnya, baginda mendapat soalan tentang siapakah manusia yang paling berilmu. 

Sebagai insan terpilih yang dikurniakan wahyu, Nabi Musa a.s menjawab dirinya. 

Dan Allah SWT menegur bahawa ada lagi manusia yang lebih berilmu daripada baginda. 

Tatkala mengetahui hal itu, Nabi Musa a.s bersungguh-sungguh mahu mencari gerangan manusia yang diajar Robb tersebut. Penuh ketundukan turut mahu belajar tentang apa yang diajar Allah SWT kepada insan terpilih itu. 

Setelah diwahyukan bahawa manusia tersebut (Nabi Khidr) berada di bahagian pertemuan dua laut, baginda pun mula buat persiapan untuk mengembara. Baginda berbicara kepada anak muridnya: 

=====

{ وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبۡرَحُ حَتَّىٰٓ أَبۡلُغَ مَجۡمَعَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ أَوۡ أَمۡضِيَ حُقُبٗا }

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun".

[Surah Al-Kahf: 60]
=====

Kalimah لَآ أَبۡرَحُ membawa makna "tak akan berhenti", "akan terus berjalan", "tak berputus asa". 

Selagi belum sampai ke destinasi bertemu guru yang boleh mengajar pengajaran daripada Robb, baginda tidak akan mengalah. 

Sampai bila? 

Biarpun memakan masa bertahun-tahun, Nabi Musa a.s berazam tidak akan berhenti berusaha. 

Dahsyat. 

Renungkan konteks ini. 

Nabi Musa a.s merupakan seorang Nabi yang punyai peranan memimpin kaumnya. Baginda juga seorang suami yang merupakan ketua keluarga.

Dalam kesibukan tugasan, sanggup meluangkan waktu demi menuntut ilmu tatkala mendapat perkhabaran daripada Tuhan bahawa ada seorang manusia istimewa berilmu yang diajar Tuhan. 

Kerana, yang mengajar ilmu berkenaan bukanlah sekadar pakar mana-mana bidang mahupun professor mana-mana universiti. 

Tetapi, yang mengajar adalah Tuhan semesta alam. 
Mengapa tidak bersungguh-sungguh berusaha mendapatkan ilmu tersebut? 

Biarpun terpaksa mengembara dan berjalan jauh yang mungkin memakan masa beratus tahun, tetap sanggup tempuhi jalan mendapatkan ilmu.

Itulah teladan Nabi Musa a.s dalam menuntut ilmu 
Itulah Sirot atau jalan hidup Nabi Musa a.s tatkala mengetahui ada manusia yang diajar Tuhan. 
.
.
.

Terdahulu, Nabi Adam a.s telah diajar Tuhan yang melayakkannya galas tanggungjawab khalifah. 

=====
{ وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَاۤءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ فَقَالَ أَنۢبِـُٔونِی بِأَسۡمَاۤءِ هَـٰۤؤُلَاۤءِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ (31) قَالُوا۟ سُبۡحَـٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَاۤ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِیمُ ٱلۡحَكِیمُ (32) قَالَ یَـٰۤـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَاۤىِٕهِمۡۖ فَلَمَّاۤ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَاۤىِٕهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّیۤ أَعۡلَمُ غَیۡبَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ (33) }

Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar". Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".

[Surah Al-Baqarah: 31-33]
=====

Kemudian, Nabi Khidir juga diajar Allah SWT & Nabi Musa a.s mahu belajar daripadanya tentang apa yang diajar Tuhan.

=====
{ فَوَجَدَا عَبۡدࣰا مِّنۡ عِبَادِنَاۤ ءَاتَیۡنَـٰهُ رَحۡمَةࣰ مِّنۡ عِندِنَا وَعَلَّمۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمࣰا (65) قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلۡ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰۤ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمۡتَ رُشۡدࣰا (66) }
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"

[Surah Al-Kahf: 65-66]
=====

Kembali pada zaman kita pula.
Allah SWT telah mengajar Nabi Muhammad saw melalui penurunan wahyu (Al-Qur'an). 

Sejauh mana diri ini sanggup bersungguh-sungguh belajar apa yang diajar Tuhan? 

Sanggup mengembara seberapa jauh?
Sanggup kurangkan masa berapa ratus tahun? 

Andai ada yang mahu mengajar kandungan wahyu dengan peruntukan waktu 2 jam setengah dua kali seminggu selama 4 tahun, sanggupkah luangkan waktu? 

Bukan komitmen beratus-ratus tahun seperti keazaman Nabi Musa a.s, tetapi hanya 4 tahun.

Sanggupkah? 
.
.
.
Refleksi diri. 
Kembara Ta'leemul Quran bermula tahun 2022. 
Pejam celik pejam celik, sudah melewati lebih separuh Al-Quran pada tahun 2024. 
.
.
Hakikatnya perjalanan pengajian 4 tahun itu terlalu sekejap berbanding nikmat usia puluhan tahun kurniaanNya. 

Moga usaha ini meraih rahmatNya. 

=====
{ وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ }

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

[Surah Al-ʿAnkabūt: 69]
======


Ulasan