Buat wanita single di zaman lelaki "muhson & qawwam" sukar dicari.


Kalau zaman kaum Nabi Lut dahulu, wanita-wanita tidak dinikahi akibat lelaki-lelaki yang bergelumang dengan kehendak homoseksual,

Bagaimana dengan isu zaman sekarang yang lelaki jenis musafih, yang mahu menikah hanya untuk seks tanpa niat menafkahi isteri & anak-anak dengan hartanya? 
=====
 وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاۤءَ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ أَن تَبۡتَغُوا۟ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِكُم مُّحۡصِنِینَ غَیۡرَ مُسَـٰفِحِینَۚ 
[Surah An-Nisāʾ: 24]
======

Bahkan ketika sesi taaruf, sesetengah lelaki zaman kini (bukan semua) risau andai si isteri tidak bekerja dan tidak membantu menyara keluarga. Kerana enggan menjadi qawwam Yang didefinisikan sebagai infaq harta kepada isteri & anak-anak.

=====
{ ٱلرِّجَالُ قَوَّ ٰ⁠مُونَ عَلَى ٱلنِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضࣲ وَبِمَاۤ أَنفَقُوا۟ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡۚ 
[Surah An-Nisāʾ: 34]
=====

Si wanita dipersalahkan dan dipandang rendah bahkan menjadi sebab tidak dinikahi akibat enggan berkerja saat niat mahu mengasuh dan mendidik anak sendiri di rumah. 

Bertitik-tolak daripada fenomena normalisasi gaya hidup hutang, generasi kini terbiasa mengamalkan hidup luar kemampuan dengan mengambil hutang "halal" melalui akad tanpa riba daripada bank yang terang-terangan buat perniagaan hutang. 

Ini mengakibatkan terbentuk sistem masyarakat yang terjerat hutang bahkan sebelum masuk alam rumahtangga.

Rumahtangga dibina dengan kemampuan kewangan negatif. 

Sesetengah wanita meminta bakal suami Izinkan dirinya keluar bekerja bukan sebab niat bantu menafkahi keluarga tetapi kerana perlu komited bayar hutang sedia ada.

Sesetengah lelaki pula mengharapkan bakal isteri bekerja untuk bantu tampung keperluan keluarga akibat dirinya masuk alam rumahtangga dalam keadaan negatif, telahpun punyai komitmen bayar hutang selama berpuluh tahun. 

Rahmat pengharaman riba hilang fungsi akibat wujudnya syirik andadan (tandingan) terhadap "islamic loan" yang digariskan Al-Baqarah. 
Kesemua panduan islamic loan dalam Al-Baqarah dilanggar dan terciptalah definisi Islamic loan baru. 

Kesannya, ekonomi negara hilang barokah tatkala autoriti membenarkan helah penghalalan riba berlaku, persis jejak golongan peristiwa Hari Sabat.

=====
{ وَسۡـَٔلۡهُمۡ عَنِ ٱلۡقَرۡیَةِ ٱلَّتِی كَانَتۡ حَاضِرَةَ ٱلۡبَحۡرِ إِذۡ یَعۡدُونَ فِی ٱلسَّبۡتِ إِذۡ تَأۡتِیهِمۡ حِیتَانُهُمۡ یَوۡمَ سَبۡتِهِمۡ شُرَّعࣰا وَیَوۡمَ لَا یَسۡبِتُونَ لَا تَأۡتِیهِمۡۚ كَذَ ٰ⁠لِكَ نَبۡلُوهُم بِمَا كَانُوا۟ یَفۡسُقُونَ (163) وَإِذۡ قَالَتۡ أُمَّةࣱ مِّنۡهُمۡ لِمَ تَعِظُونَ قَوۡمًا ٱللَّهُ مُهۡلِكُهُمۡ أَوۡ مُعَذِّبُهُمۡ عَذَابࣰا شَدِیدࣰاۖ قَالُوا۟ مَعۡذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَلَعَلَّهُمۡ یَتَّقُونَ (164) فَلَمَّا نَسُوا۟ مَا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦۤ أَنجَیۡنَا ٱلَّذِینَ یَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوۤءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ بِعَذَابِۭ بَـِٔیسِۭ بِمَا كَانُوا۟ یَفۡسُقُونَ (165) فَلَمَّا عَتَوۡا۟ عَن مَّا نُهُوا۟ عَنۡهُ قُلۡنَا لَهُمۡ كُونُوا۟ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔینَ (166) }

Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".

Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".

[Surah Al-Aʿrāf: 163-166]
=====


Sistem ekonomi di negara seakan-akan membuatkan majoriti lelaki tidak mampu memberi nafkah. 

Benar-benar hilang barokah.

=====

{ وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ }

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

[Surah Al-Aʿrāf: 96]
=====

Wanita enggan bekerja (meskipun niat menjaga anak²) pula dilihat sebagai "pemalas" dan tidak berfungsi bahkan tak layak dinikahi. 

Kesannya, golongan wanita beriman yang punya hala tuju berperanan sebagai ummi (membesarkan dan mendidik anak di rumah), cenderung menolak lelaki yang enggan memberikan jawatan al-umm kepadanya. Kerana calon suami tekad hanya mahu beri jawatan walidah (melahirkan anak) dan imraah (bekerja) kepada isteri. Tiada jawatan umm (ibu yang mendidik, jadi imam kepada anak²). 

Realitinya, hampir mustahil berperanan sebagai umm yang mendidik jika dipaksa bekerja sepanjang hari. Anak-anak seakan-akan "yatim" kerana sekadar diberikan keperluan fizikal makan minum tapi terlepas sentuhan tarbiyyah daripada orang tua. 

Ini realiti zaman sekarang.

Dan akan jadi lebih teruk pada generasi akan datang jika tidak dibendung. 

Jadi.
Apa yang wanita-wanita single zaman kini perlu lakukan? 

Nak bernikah dengan lelaki jenis musafih, tidak muhson? Yang bernikah sekadar untuk "melepaskan" & "mengalirkan" kehendak seksual tanpa niat infak harta?

Nak bernikah dengan lelaki tidak qawwam yang tak mampu berdiri sendiri, bahkan tak cukup sara diri sendiri? Yang enggan infak harta untuk isteri dan anak-anak?

Tak sanggup. 

Kerana khuatir gagal berfungsi sebagai 'abd yang diamanahkan tanggungjawab al-umm jika dikurniakan anak. 

Nak bersabar membujang hingga akhir hayat kerana pilihan itu membawa pada pengabdian, sebagai wanita bekerja yang jaga maruah (imraah)?

Ya. Mungkin itulah jalan yang lurus. 

Seandainya pernikahan membuatkan si wanita sulit berfungsi sebagai hambaNya (yang diamanahkan tanggungjawab keibuan seperti teladan ibu Nabi Musa, ibu Maryam & ibu Nabi Isa). 

Sedangkan Maryam, ibu tunggal, tiada suami, tetap didefinisikan dengan peranan umm yang dekat dengan anaknya,tidak bekerja, dicukupkan rezeki oleh Allah swt. Bagaimana kita boleh meletakkan tanggungjawab bekerja terhadap ibu yang masih punya suami?

=====
{ وَجَعَلۡنَا ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَأُمَّهُۥٓ ءَايَةٗ وَءَاوَيۡنَٰهُمَآ إِلَىٰ رَبۡوَةٖ ذَاتِ قَرَارٖ وَمَعِينٖ }

Dan Kami jadikan (Nabi lsa) ibni Maryam serta ibunya sebagai satu tanda (mukjizat) dan Kami telah menempatkan keduanya di tanah tinggi, tempat tinggal yang ada tanaman dan mata air yang mengalir.

[Surah Al-Muʾminūn: 50]
=====

Mungkin lebih baik tetap menjadi single jika itu bawa pada memenuhi definisi pengabdian kepada Allah swt (kerana teladan wanita single dalam wahyu adalah imraah ratu Saba dan dua perempuan syaikhul kabir di Madyan yang bekerja). 

Bersabarlah seperti perempuan beriman kaum Lut yang tidak dinikahi akibat tiada lelaki yang layak. 

Peliharalah kehormatan diri seperti Maryam. Sedang dia hidup dalam masyarakat yang tidak dipercayai Nabi Zakariyya a.s. dalam soal memahami agama dan menyampaikan kebenaran. 

=====
{ وَإِنِّي خِفۡتُ ٱلۡمَوَٰلِيَ مِن وَرَآءِي وَكَانَتِ ٱمۡرَأَتِي عَاقِرٗا فَهَبۡ لِي مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا }

Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.

[Surah Maryam: 5]
=====

Meskipun mengakui fitrah manusia mahu berpasangan, tetapi tiadanya calon yang selayaknya galas tanggungjawab dalam rumahtangga juga salah satu bentuk ujian dunia yang perlu dihadapi. 

Kerana soal pernikahan ini melibatkan kondisi kejiwaan masyarakat. 
Kerana pernikahan bukanlah ibadah yang boleh dibuat sendiri-sendiri. 

Perhatikan masyarakat zaman keluarga Imran. 

Maryam tidak bernikah 
Nabi Yahya a.s tidak bernikah.
Nabi Isa a.s tidak bernikah. 

Apa yang boleh dipelajari?

Perhatikan masyarakat zaman Nabi Lut. 

Perempuan-perempuan kaum Nabi Lut juga tidak dinikahi. 

Zaman kita?

Meskipun sedar punca masalah terkait isu normalisasi hutang atau mewabahnya "islamic riba" di salah sebuah negara di asia tenggara...  


Apa pilihan di tangan?

Apakah punya kemampuan menghentikan negara daripada berperang dengan Allah SWT?
Mampu ceasefire? 

Kembali pada apa yang ada di tangan.
Usahakan yang dalam kemampuan. 

Bersabarlah dengan terus pelihara kehormatan diri sehingga Allah SWT kurniakan kemampuan. 

=====
{ وَلۡيَسۡتَعۡفِفِ ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغۡنِيَهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ 

Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; 

[Surah An-Nūr: 33]
=====

Ikutlah jalan Maryam si perawan yang terus pelihara kehormatan diri.

=====
{ وَمَرۡيَمَ ٱبۡنَتَ عِمۡرَٰنَ ٱلَّتِيٓ أَحۡصَنَتۡ فَرۡجَهَا فَنَفَخۡنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتۡ بِكَلِمَٰتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِۦ وَكَانَتۡ مِنَ ٱلۡقَٰنِتِينَ }

Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.

[Surah At-Taḥrīm: 12]
=====

Kerana. 

Hakikatnya yang di sana lebih baik daripada yang di sini. 

Moga bernikah dengan pasangan suci di syurga. 

=====
{ ۞قُلۡ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيۡرٖ مِّن ذَٰلِكُمۡۖ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا وَأَزۡوَٰجٞ مُّطَهَّرَةٞ وَرِضۡوَٰنٞ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ بَصِيرُۢ بِٱلۡعِبَادِ }

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

[Surah Āli-ʿImrān: 15]
======

Sehingga tiba detik itu, bersabarlah ke hujung nyawa. 

Ulasan