Di sebalik takdir yang tak disukai, ada rahmatNya.




Ketika menelusuri 3 "perhentian" kembara ilmu Nabi Musa a.s bersama Khidr a.s, ustazah membawa kami merenung kata ganti nama yang Khidr a.s gunakan.

=====
{ وَأَمَّا ٱلۡغُلَٰمُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤۡمِنَيۡنِ فَخَشِينَآ أَن يُرۡهِقَهُمَا طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗا }

Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa dia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

{ فَأَرَدۡنَآ أَن يُبۡدِلَهُمَا رَبُّهُمَا خَيۡرٗا مِّنۡهُ زَكَوٰةٗ وَأَقۡرَبَ رُحۡمٗا }

Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.

[Surah Al-Kahf: 80-81]
=====

Pernah tertanya, Khidr a.s berseorangan melakukan apa yang dilakukan. Tapi mengapa menggunakan kata ganti diri "kami"? 

"Kami bimbang"
"Kami ingin dan berharap"

Ini kerana apa yang dilakukan Khidr a.s adalah atas kehendak Allah SWT. Allah SWT mengurniakan Khidr rushd , petunjuk untuk merealisasikan takdirNya.

Bagi ibu bapa kepada pemuda tersebut, diuji kematian anak pasti menyedihkan. Itulah antara ujian berat dunia. Tetapi rupa-rupanya ada kebaikan di sebalik takdir yang tidak disukai itu.

Kita turut belajar mengenali Allah SWT melalui ayat ini. Bahawa terkadang takdir yang terlihat buruk pada pandangan mata kita rupa-rupanya ada hikmahnya. Allah SWT menghendaki kebaikan atas takdir yang mungkin terlihat tidak Indah di mata manusia. 

Ada yang ditakdirkan tiada jodoh, mungkin itulah jalan terbaik baginya untuk melakukan kebaikan.

Ada yang ditakdirkan tiada anak, mungkin itulah jalan terbaik untuk mereka memanifestasikan Iman. 

Ada yang ditakdirkan kehilangan harta, mungkin itulah jalan terbaik untuk menaikkan darjatnya. 

Berharaplah pada Allah SWT. 
Berbaik sangka terhadap takdir aturanNya. 

Moga dalam setiap ujian, kita meraih rahmatNya. 

Ulasan