Inspirasi Maryam



Dalam dunia yang mudah dipengaruhi filem & drama, persepsi "kejayaan" dicorakkan apa yang disukai syahwat. 

Masyarakat diajar persepsi "berjaya"nya seorang wanita dengan definisi : 
1) Dinikahi lelaki kaya.
2) Dikurniakan anak-anak comel, lengkap lelaki & perempuan. 
3) Berpendidikan tinggi dan berkerjaya dengan gaji lumayan. 
4) Memiliki aset rumah & kereta.

Saat material dijadikan kayu ukur, fungsi & peranan wanita yang asalnya ditetapkan Allah SWT menjadi sesuatu yang asing. 

Bahkan, menjadi perkara biasa bagi kalangan calon suami (khusus Malaysia), saat berkenalan dengan calon isteri, yang ditanya adalah: 

"Graduate mana?"
"Kerja apa sekarang?"
"Dah ada kereta?" 
"Nanti dah kahwin, nak duduk mana?"

Jarang-jarang dengar soalan, 
"Belajar Quran, sampai tahap mana?"
"Nanti kalau dapat anak, boleh berhenti kerja?"
"Kalau dah kahwin, boleh ikut suami?"

Ini realiti masyarakat yang persepsi peranan wanita, disamakan dengan peranan lelaki. Terutama dalam masyarakat yang gaya hidup berhutang telah menjadi norma. 

Apakah ada yang peduli bertanyakan "Kalau peranan lelaki pun, wanita yang buat. Siapa ambil alih peranan wanita?" 

Mari telusuri sejarah Maryam a.s.
Dia tidak dinikahi, tidak bersuami. 
Dan Allah SWT mengangkat darjatnya sebagai peribadi yang benar-benar menjaga kehormatan diri. 

=====
{ وَٱذۡكُرۡ فِی ٱلۡكِتَـٰبِ مَرۡیَمَ إِذِ ٱنتَبَذَتۡ مِنۡ أَهۡلِهَا مَكَانࣰا شَرۡقِیࣰّا (16) فَٱتَّخَذَتۡ مِن دُونِهِمۡ حِجَابࣰا ...
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka ...

[Surah Maryam: 16-17]
=====

Allah SWT memperkenalkan Maryam kepada kita dengan karakter kesungguhan menuntut ilmu. Ini selari dengan keinginan ibunya (surah Ali-Imran). Bahkan, Maryam berusaha memencilkan diri serta membuat dinding untuk mengelakkan diri daripada terganggu dalam usaha menuntut ilmu. 

Apakah pentingnya ilmu terutamanya kefahaman wahyu bagi seorang wanita? 

Itulah persiapan asas seorang wanita yang bercita-cita menjadi ibu agar saat diamanahkan kurniaan anak, mampu mendidik anak dengan ilmu. 

Lahirlah generasi beriman yang benar-benar menyembah Allah SWT. 
.
.
.

Ketika Maryam sedang menuntut ilmu, diutuslah malaikat Jibril memberikan suatu khabar. 

=====
{ فَأَرۡسَلۡنَاۤ إِلَیۡهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرࣰا سَوِیࣰّا (17) قَالَتۡ إِنِّیۤ أَعُوذُ بِٱلرَّحۡمَـٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِیࣰّا (18) 
maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa. 

[Surah Maryam: 17-18]
=====

Malaikat yang menyerupai seorang lelaki tersebut, belum menuturkan sebarang kata-kata. Tidak melakukan sebarang perbuatan. Namun, peribadi Maryam yang suci, sentiasa memelihara kehormatan diri, langsung memberi respons.

 Maryam langsung menghalang lelaki tersebut dengan ungkapan peringatan. 

Sucinya Maryam, takut terjerumus mendekati perbuatan keji. Lalu, tidak mengizinkan sebarang keadaan mendekati perbuatan keji untuk berlaku. 

Usah buka sebarang ruang untuk berlakunya muamalat "tidak perlu" antara lelaki & perempuan. 

Elak sejak awal. 
Meskipun "lelaki" tersebut nampak baik (apatah lagi jika punya title ustaz), usah buka ruang kepada sebarang peluang yang mendekati perbuatan keji. 
.
.
.
Perhatikan lagi, apa respons malaikat tersebut?

=====
قَالَ إِنَّمَاۤ أَنَا۠ رَسُولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلَـٰمࣰا زَكِیࣰّا (19) قَالَتۡ أَنَّىٰ یَكُونُ لِی غُلَـٰمࣱ وَلَمۡ یَمۡسَسۡنِی بَشَرࣱ وَلَمۡ أَكُ بَغِیࣰّا (20) قَالَ كَذَ ٰ⁠لِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَیَّ هَیِّنࣱۖ وَلِنَجۡعَلَهُۥۤ ءَایَةࣰ لِّلنَّاسِ وَرَحۡمَةࣰ مِّنَّاۚ وَكَانَ أَمۡرࣰا مَّقۡضِیࣰّا (21) }

Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci". Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" Dia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.

[Surah Maryam: 19-21]
=====

Maryam, seorang wanita mulia yang menjaga kehormatan dirinya.
Dia tidak dinikahi, tetapi dikurniakan anak (Nabi Isa a.s). 

Boleh bayangkan situasi yang dihadapinya? 

Mengandungkan anak tanpa suami mahupun sesiapa di sisi. 
Melahirkan anak seorang diri tanpa seorang manusia pun yang membantu. 

=====

{ ۞ فَحَمَلَتۡهُ فَٱنتَبَذَتۡ بِهِۦ مَكَانࣰا قَصِیࣰّا (22) فَأَجَاۤءَهَا ٱلۡمَخَاضُ إِلَىٰ جِذۡعِ ٱلنَّخۡلَةِ قَالَتۡ یَـٰلَیۡتَنِی مِتُّ قَبۡلَ هَـٰذَا وَكُنتُ نَسۡیࣰا مَّنسِیࣰّا (23) }

Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! 
[Surah Maryam: 22-23]
=====

Ya, apa yang dihadapi Maryam adalah ujian besar. Bukan sekadar kesakitan fizikal mengandung dan bersalin melahirkan anak.

Tetapi, ada kesakitan emosi yang perlu diuruskan. 

Allah SWT memberikan petunjuk kepada Maryam akan tindakan yang perlu dilakukan. 

Bagi menghadapi kesakitan bersalin, ada jalannya.
Bagi menghadapi masyarakat yang berisiko mencemuh & berburuk sangka kepadanya, ada jalannya. 

=====
فَنَادَىٰهَا مِن تَحۡتِهَاۤ أَلَّا تَحۡزَنِی قَدۡ جَعَلَ رَبُّكِ تَحۡتَكِ سَرِیࣰّا (24) وَهُزِّیۤ إِلَیۡكِ بِجِذۡعِ ٱلنَّخۡلَةِ تُسَـٰقِطۡ عَلَیۡكِ رُطَبࣰا جَنِیࣰّا (25) فَكُلِی وَٱشۡرَبِی وَقَرِّی عَیۡنࣰاۖ فَإِمَّا تَرَیِنَّ مِنَ ٱلۡبَشَرِ أَحَدࣰا فَقُولِیۤ إِنِّی نَذَرۡتُ لِلرَّحۡمَـٰنِ صَوۡمࣰا فَلَنۡ أُكَلِّمَ ٱلۡیَوۡمَ إِنسِیࣰّا (26) 

Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:" Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. "Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".

[Surah Maryam: 24-26]
=====

Dalam situasi ideal, seorang ibu yang sarat dan hampir-hampir melahirkan anak, ada manusia di sekeliling yang membantu. 

Mungkin ada suami yang bersedia berkhidmat.
Mungkin ada ibu bapa yang beri sokongan.
Mungkin ada perawat hospital (jururawat / doktor) yang berikan panduan. 

Keadaan Maryam, dia seorang diri, menghadapi detik-detik bersalin tanpa suami mahupun sesiapa. 

Boleh sahaja Allah SWT memberinya makanan dan minuman tanpa Maryam perlu berusaha.

Tetapi, Maryam diseru untuk berusaha sebatas kudrat yang ada untuk menggoncangkan pohon kurma. 

Goncangkan pohon kurma itu pun bukan boleh goncang sesuka hati. Tapi goncang khusus ke arah dirinya sendiri. 

Andai dilihat daripada kaca mata manusia, mungkin timbul persepsi 

"Sedih betul kehidupan dia. Dahlah ibu tunggal. Nak makan kurma pun kena usaha goncangkan pokok dengan kudrat sendiri. Takde orang tolong. Takde orang sayang dia..." 

Tetapi, Allah Al-Hakim lebih mengetahui.
Di sebalik kesulitan & usaha yang perlu dikerahkan , sebenarnya semua proses itu memperkuatkan jiwa seorang wanita. Bergantunglah hanya pada Allah SWT. 

Besar pengajaran yang boleh digarap melalui teladan Maryam ini. 

Dalam keadaan sakit, tak berdaya, gagahkan diri untuk berusaha. 
Usah berlama-lamaan dengan kesedihan & kecewa atas sikap manusia yang tiada saat diri memerlukan. Tetapi, fokus pada usaha & solusi. 

Kerana setiap usaha, itu adalah amal soleh yang punyai nilai di sisi Allah SWT. 

Amal soleh itulah yang moga-moga meraih pengampunanNya agar dimasukkan ke dalam syurga suatu hari nanti. 

Maryam.
Dialah teladan wanita bujang yang memelihara diri. 
Dialah teladan ibu tunggal yang amalnya Ikhlas hanya untuk redha Allah SWT. 

Dialah juga teladan ibu yang benar-benar buat persiapan mendidik anak dengan usaha belajar ilmu wahyu sejak kecil. 

Maryam.
Satu-satunya nama wanita yang disebut dalam Al-Quran. 
Juga satu-satunya nama wanita yang dijadikan nama surah.

Dan, surah yang terpilih mengangkat namanya sebagai nama surah, adalah surah yang membicarakan tentang pendidikan anak-anak. 
.
.
.
Maryam.
Dialah wanita yang tidak dinikahi lelaki kaya.
Tidak memiliki kerjaya dengan gaji lumayan.
Juga tidak dikhabarkan kepada kita memiliki aset rumah & kuda (kereta).

Tetapi darjatnya tinggi di sisi Allah SWT. 

Kehidupannya diiktiraf sebagai Sirot golongan yang diberikan nikmat. 

Bukankah itu doa yang sering kita pinta setiap solat? 

{ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَ ٰ⁠طَ ٱلۡمُسۡتَقِیمَ (6) صِرَ ٰ⁠طَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمۡتَ عَلَیۡهِمۡ غَیۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَیۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّاۤلِّینَ (7) }
[Surah Al-Fātihah: 6-7]

Ulasan