Sediakan perlindungan "insurans" kepada anak-anak?




"Kenapa awak tak beli rumah? Kalau tiba-tiba mati, kasihan isteri dan anak-anak merempat." Ujar seseorang kepada temannya yang menyewa rumah. 

Bisik hati si teman "Saya akan beli rumah kalau dikurniakan rezeki. Tak nak terjebak riba dengan berhutang bank." 

Ditakdirkan, ajal menjemput ketika anak-anak masih kecil. Ajaibnya, rumah sewa yang diduduki isteri & anak-anak sentiasa dibayar bertahun-tahun oleh ahli kariah. Dan rezeki anak-anak yatim tetap cukup meskipun isteri yang ditinggalkan tidak bekerja. 

Ini kisah benar, pengalaman seorang teman yang diuji kematian suami pada usia muda. 

Memang mengingatkan saya tentang ayat dalam Surah Al-Kahf.

=====
{ وَأَمَّا ٱلۡجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَٰمَيۡنِ يَتِيمَيۡنِ فِي ٱلۡمَدِينَةِ وَكَانَ تَحۡتَهُۥ كَنزٞ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَٰلِحٗا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبۡلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَسۡتَخۡرِجَا كَنزَهُمَا رَحۡمَةٗ مِّن رَّبِّكَۚ وَمَا فَعَلۡتُهُۥ عَنۡ أَمۡرِيۚ ذَٰلِكَ تَأۡوِيلُ مَا لَمۡ تَسۡطِع عَّلَيۡهِ صَبۡرٗا }

Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".

[Surah Al-Kahf: 82]
=====

Seorang bapa soleh, kebaikannya turut dinikmati anak-anak. Meskipun andai saat itu dirinya sudahpun tiada di dunia. 

Kesolehan ibu dan bapa menjadi asbab untuk Allah s.w.t melindungi anak-anaknya. Inilah perlindungan yang bahkan jauh lebih bernilai berbanding sebarang tawaran "insurans" kerana perlindungan tersebut dijamin oleh Yang Memiliki segala di langit dan di bumi. 

Misalnya,
Sabar & menahan diri daripada berhutang dengan sistem riba adalah suatu bentuk kesolehan. Biarpun dinilai "tak sayang isteri & anak-anak" pada mata manusia kerana tidak membeli aset, namun pengabdian & ketaatan itulah yang menyebabkan keterjaminan perlindungan Allah SWT pada isteri dan anak-anak. 

Justeru.
Duhai ibu & bapa.
Saat timbul kerisauan akan keselamatan fizikal, mental mahupun rohani anak-anak, perbanyakkanlah amal soleh. 

Perbaikilah diri.

 Moga-moga kesolehan diri itulah yang memberi perlindungan kepada anak-anak oleh Allah SWT, sama ada saat kita masih di samping mereka atau ketika kita tiada lagi di dunia. 



Ulasan