Mendefinisikan maskuliniti.
____________________
Dalam Al-Quran, Allah SWT ada merakam banyak teladan orang-orang yang diberikan nikmat, yang berada atas jalan yang lurus.
Moga-moga,
Dengan terbentangnya paparan interaksi dan perhubungan manusiawi, setiap kita beroleh teladan.
Turut bergerak atas jalan yang lurus.
Nabi Musa a.s adalah tokoh yang kisahnya paling banyak diberitakan dalam Al-Quran.
Khusus awal surah Toha, terdapat satu ayat yang membentuk pola fikir kita dalam mendefinisikan maskuliniti.
Saat ini, bagaimana masyarakat mendefinisikan kelelakian atau maskuliniti?
Mari perhatikan bicara Nabi Musa a.s kepada isterinya.
=====
{ إِذۡ رَءَا نَارٗا فَقَالَ لِأَهۡلِهِ ٱمۡكُثُوٓاْ إِنِّيٓ ءَانَسۡتُ نَارٗا لَّعَلِّيٓ ءَاتِيكُم مِّنۡهَا بِقَبَسٍ أَوۡ أَجِدُ عَلَى ٱلنَّارِ هُدٗى }
Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan.
[Surah Ṭā-Hā: 10]
=====
Pertama,
Terzahir sifat Nabi Musa a.s sebagai pelindung isterinya. Baginda berusaha mendapatkan keperluan dan sumber kehidupan untuk keluarga.
Kedua,
Kalimah ٱمۡكُثُوٓاْ adalah dalam bentuk jamak (plural). Sedangkan isteri Nabi Musa a.s adalah seorang. Mengapa kalimah jamak digunakan untuk seorang?
Ini sebenarnya menggambarkan penghormatan. Nabi Musa a.s sebagai suami, berbicara penuh penghormatan kepada isterinya. Tidak mengherdik , tidak memalukan.
Indah peribadi Nabi Musa a.s
Kita juga tahu peribadinya sebagai lelaki muhsin, yang sentiasa mahu membantu orang-orang yang memerlukan.
Realiti zaman kini, dapat kita saksikan ada si suami bahkan tanpa segan-silu memarahi si isteri depan anak-anak. Tanpa sedar, mendidik anak-anak untuk "Tidak mengapa mengherdik ibu."
Kadang-kadang, isteri dimarahi & dimalukan di hadapan ahli keluarga besar, juga di khalayak umum tanpa peduli akibat "penderaan emosi & mental" tersebut.
Indah peribadi Nabi Musa a.s.
Bahkan dalam suasana terpencil, tanpa kehadiran manusia lain, baginda tetap berbicara kepada isterinya dengan hormat.
Alhamdulillahi robbil alamin.
Syukur atas nikmat besar Quran ini.
Ulasan
Catat Ulasan