Tatkala ditanya Tuhan akan nikmat kurniaanNya



Suatu hari nanti, setiap kita akan ditanya apa yang Dia kurniakan. 

====
{ ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَئِذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ }
Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

[Surah At-Takāthur: 8]
=====

Agak-agak, jawapan bagaimana yang mampu kita berikan?
.
.
.
.
Dalam surah Toha, ada satu babak tentang Allah SWT berbicara dengan Nabi Musa a.s. 

=====
{ وَمَا تِلۡكَ بِيَمِينِكَ يَٰمُوسَىٰ }

"Dan apa yang di tangan kananmu itu wahai Musa?"

[Surah Ṭā-Hā: 17]
=====

Perhatikan bagaimana Nabi Musa a.s menjawab.

=====
{ قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّؤُاْ عَلَيۡهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَىٰ غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَـَٔارِبُ أُخۡرَىٰ }

Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".

[Surah Ṭā-Hā: 18]
=====

Sebenarnya, 
Jawapan "Ini ialah tongkatku" sudah cukup menjawab pertanyaan Allah SWT.

Tetapi.
Ini bukan perbualan biasa sesama manusia. 
Ini adalah bicara agung antara si hamba dengan Tuhan. 

Lalu dapat kita perhatikan, 
Nabi Musa a.s melanjutkan jawapan dengan menerangkan manfaatnya. Sekaligus membuktikan bagaimana Nabi Musa a.s mensyukuri nikmat tongkat iaitu dengan memanfaatkannya.

Lagi, manfaat tongkat itu bukan hanya untuk dirinya semata-mata. 

Tapi,
Nabi Musa a.s menyebarkan manfaat tongkat tersebut pada haiwan-haiwan. 

Ya, nikmat kurniaan Allah SWT, bukan sekadar untuk diri, manusia lain. Tetapi juga untuk haiwan dan makhluk lain. 

.
.
Epic. 
Bicara Tuhan dengan hambaNya. 
Lama merenung, bagaimana keadaan saya nanti tatkala perlu menghadap Allah SWT, bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukan di dunia. 

Nabi Musa a.s memberi kita teladan bagaimana mensyukuri sekecil-kecil nikmat kurniaan Allah SWT. 

Nabi Musa a.s mengajar kita pentingnya bersiap sebagai hamba bersyukur yang tunduk kepadaNya.

Muhasabah diri. 

Kalau nak senaraikan nikmat kurniaan Allah SWT ke atas saya, memang tak terhitung. 

Tambahan lagi, apakah nikmat-nikmat tersebut sudah dimanfaatkan atas jalanNya? 

Suatu hari nanti, bersediakah menghadapNya sendiri-sendiri, ditanya tentang nikmat kurniaanNya?

Kelak.
Kita bertemuNya sendiri-sendiri. 
Tanpa kawan, mahupun keluarga bersekali.

=====
{ إِن كُلُّ مَن فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ إِلَّاۤ ءَاتِی ٱلرَّحۡمَـٰنِ عَبۡدࣰا (93) لَّقَدۡ أَحۡصَىٰهُمۡ وَعَدَّهُمۡ عَدࣰّا (94) وَكُلُّهُمۡ ءَاتِیهِ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ فَرۡدًا (95) }

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.
Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.
Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.

[Surah Maryam: 93-95]
=====

Ulasan