Perhatikan dalam hidup kita, siapa yang ada kuasa memerintah?
Dalam rumahtangga, si suami sebagai pemimpin selalu menjadi pembuat keputusan.
Anak-anak pula, kebanyakan waktu sejak kecil, memang perlu ikut arahan ibu bapa.
Di tempat kerja, memang majikan selayaknya beri arahan.
Sesiapa yang "superior", boleh memberi perintah kerana punyai kedudukan untuk dipatuhi.
Mari renungi satu hal ini pula.
Siapakah golongan manusia yang dikuasai syaitan sehingga syaitan boleh beri arahan kepadanya?
Itulah manusia yang memilih IKUT LANGKAH-LANGKAH SYAITAN.
=====
{ ۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ وَمَن يَتَّبِعۡ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَإِنَّهُۥ يَأۡمُرُ بِٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۚ وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنۡ أَحَدٍ أَبَدٗا وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٞ }
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.
Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.
[Surah An-Nūr: 21]
=====
Apakah langkah-langkah (jejak) syaitan?
Jika diperhatikan, kita banyak mengenali ciri-ciri syaitan melalui sejarah Nabi Adam a.s dalam Qur'an.
Syaitan ingkar & mendustakan perintah Allah SWT. Dia enggan sujud ketika diperintahkan.
Syaitan juga sombong terhadap Allah SWT. Dia bahkan tanpa malu-malu beri hujah mengapa perintah Allah SWT itu "tidak bijak".
Sesiapa yang ikut jejak syaitan ini...
Enggan sujud.
Enggan taat terhadap mana-mana perintah Allah SWT.
Enggan jauhi mana-mana larangan Allah SWT.
Ada penyakit sombong dalam diri.
Berhati-hatilah...
Dua langkah-langkah syaitan ini (ingkar dan sombong), jika diikuti membuatkan si manusia lemah terhadap kekuasaan syaitan. Kesannya, syaitan mampu memerintah.
Apa yang syaitan perintahkan?
Itulah perbuatan keji (dosa berkaitan seksual) dan mungkar.
Justeru.
Renung-renungkan kondisi jiwa.
Rawat penyakit ingkar dan sombong jika masih ada dalam hati.
Berhenti daripada mengikuti langkah-langkah syaitan.
Ulasan
Catat Ulasan