"Camne Ayat makan rambutan? Kulit biji tak tertanggal!" Adik tegur dengan nada teruja.
Saya terpinga-pinga fikirkan entah apa yang "hebat" sangat.
Tiba-tiba mak pun tegur perkara sama.
"Eh..."
Saya jeling tengok mangkuk orang lain. Kenapa kulit biji rambutan mereka tertanggal?
Haha.. makan buah rambutan pun satu kemahiran rupanya. Tak sedar saya "pandai" makan buah rambutan ya :-D .
.
.
.
Bercakap tentang kemahiran, tentang potensi, saya tiba-tiba teringat dzulkarnain.
Allah SWT mengajarkan kita sesuatu yang penting perihal potensi kurniaan Allah SWT melalui teladan zulkarnain.
Siapakah zulkarnain?
=====
{ وَیَسۡـَٔلُونَكَ عَن ذِی ٱلۡقَرۡنَیۡنِۖ قُلۡ سَأَتۡلُوا۟ عَلَیۡكُم مِّنۡهُ ذِكۡرًا (83) إِنَّا مَكَّنَّا لَهُۥ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَءَاتَیۡنَـٰهُ مِن كُلِّ شَیۡءࣲ سَبَبࣰا (84) }
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya": Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
[Surah Al-Kahf: 83-84]
=====
Melalui ayat ini, kita belajar bahawa zulkarnain merupakan seorang penguasa beriman yang Allah SWT kurniakannya jalan (sababa) bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukan.
Mengenali Allah SWT sebagai Al-Malik, Ar-Razzaq, Al-Qadir, Kita sedari bahawa bukan zulkarnain seorang sahaja diberikan "sababa". Misalnya, Nabi Sulaiman a.s juga dikurniakan jalan untuk memerintah dengan saksama.
Namun, ada sesuatu yang kita boleh teladani daripada zulkarnain.
Khusus kisah zulkarnain, Allah SWT mengajar kita peribadi yang mensyukuri "sababa" yang dikurniakan.
Bagaimana zulkarnain mensyukuri jalan atau potensi serta keperluan yang Allah SWT kurniakan kepadaNya?
=====
{ فَأَتۡبَعَ سَبَبًا }
Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).
[Surah Al-Kahf: 85]
=====
Zulkarnain dikurniakan kekuasaan pemerintahan serta kekayaan. Melaluinya, baginda mensyukuri potensi & kurniaan Allah SWT dengan melakukan amal soleh, berbuat kebaikan kepada mereka yang memerlukan.
Baginda memberi hukum dengan adil.
Baginda membina tembok kuat bagi menyelamatkan suatu kaum daripada ya'juj & ma'juj.
Cuba renung-renungkan diri kita pula.
Apa yang Allah SWT kurniakan pada kita?
Apa potensi Kita?
Apa peluang-peluang yang Dia hamparkan pada kita?
Terkadang, Allah SWT menganugerahkan individu dengan potensi tersendiri tapi diri menafikannya.
"Tak. Saya tiada apa-apa. Saya tak pandai apa-apa." Rasa rendah diri, rasa kerdil.
Ada juga, sedar potensi & peluang yang Allah SWT kurniakan, tapi "malas" berprestasi. Enggan telusuri jalan-jalan peluang yang Dia hamparkan.
"Tak naklah. Tak berani. Nak rilex-rilex sahaja."
Teladanilah Dzulkarnain, turutlah jalan yang Dia hamparkan.
Itulah sebenarnya peluang amal soleh unik setiap kita.
Beramallah.
Sebelum tiba Hari Penyesalan.
=====
{ وَأَنذِرۡهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡحَسۡرَةِ إِذۡ قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ وَهُمۡ فِي غَفۡلَةٖ وَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ }
Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.
[Surah Maryam: 39]
=====
Ulasan
Catat Ulasan