Bantu, kerana perlu dibantu



"Aku nak tolong dialah. Sebab dia banyak tolong aku sebelum ni. Tapi aku tak nak tolong yang seorang lagi tu. Tak suka dia."

Apabila berhadapan situasi perlu membantu, apakah justifikasi untuk buat pilihan beri bantuan?

Manusia yang dibantu itu apakah perlu bersyarat? 

Ketika berlaku peristiwa fitnah Saiyidatina Aisyah R.A, ayahnya iaitu Abu Bakar As-Sidq sangat-sangat terasa hati dengan Mistah. 

Mistah, seorang muhajir yang miskin, selama ini dibantu Abu Bakar As-Sidq. Namun, Mistah terlibat dalam menyebarkan fitnah Aisyah r.a. 

Disebabkan sikap Mistah, Abu Bakar r.a terfikir untuk berhenti memberi bantuan kepada Mistah. 

Namun, Allah SWT turunkan wahyu mendidik umat Muhammad s.a.w mengenai hal ini. 

Bahawa kita membantu, kerana orang tersebut perlu dibantu. 
Noktah. 

=====
{ وَلَا يَأۡتَلِ أُوْلُواْ ٱلۡفَضۡلِ مِنكُمۡ وَٱلسَّعَةِ أَن يُؤۡتُوٓاْ أُوْلِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينَ وَٱلۡمُهَٰجِرِينَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٌ }

Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; 

dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? 

Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

[Surah An-Nūr: 22]
=====

Melalui ayat ini, Allah SWT beri panduan 3 sebab kenapa seseorang itu perlu dibantu. 

1. Kaum kerabat
2. Orang miskin
3. Orang yang berhijrah (pelarian) pada jalan Allah SWT

Khusus konteks Mistah, dia bahkan penuhi ketiga-tiganya kerana dia adalah kerabat keluarga Abu Bakar a.s, dia miskin dan dia muhajir. 

Allah SWT selanjutnya memujuk manusia beriman. Bahawa ganjaran berbuat baik, bahkan kepada individu yang tidak disukai ini, adalah padaNya. Iaitu Allah swt akan ampuni dosa pihak yang membantu (e.g Abu Bakar a.s) jika dia pilih untuk memaafkan mereka yang berbuat silap (e.g Mistah) serta tidak berhenti hulurkan bantuan. 

Apakah permata panduan hidup yang dipelajari melalui ayat ini? 

Bantulah manusia itu jika dia sememangnya perlukan bantuan. 

Bukan membantu hanya jika anda suka pada si dia. 

Dan rebut peluang memaafkan pihak yang melakukan kesilapan agar dosa-dosa diri diampuni Allah SWT Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. 


Ulasan