Jangan sebarkan hal-hal yang keji (ٱلۡفَـٰحِشَةُ), Tuhan tak suka




Pernah dengar sejarah pembohongan dusta terhadap isteri Nabi s.a.w iaitu Saidatina Aisyah? 

Dimulakan si Munafiq yang membuat cerita bahawa Aisyah melakukan perbuatan tidak bermoral dengan seorang sahabat. Lalu gossip dusta tersebut tersebar. Masyarakat Madinah ketika itu terbahagi 3 golongan.

1) Yang secara aktif turut serta dalam menyebarkan berita dusta.

2) Yang bukan setakat tidak percaya mengenai berita dusta tetapi secara aktif menafikan terus berita tersebut. 

3) Yang diam, tak bersama golongan pertama mahupun kedua. 

Setelah beberapa tempoh, turunlah wahyu yang membela Saidatina Aisyah & Sofwan serta beri pengajaran kepada umat Islam bahawa jangan sesekali terlibat dalam sebarkan perkara-perkara keji ini (ٱلۡفَـٰحِشَةُ) dalam masyarakat. 

Bahkan, Allah SWT siapkan skrip kepada kita akan apa yang nak diucapkan saat berita tersebut sampai pada kita. 

=====
{ لَّوۡلَاۤ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ ظَنَّ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِمۡ خَیۡرࣰا وَقَالُوا۟ هَـٰذَاۤ إِفۡكࣱ مُّبِینࣱ (12) لَّوۡلَا جَاۤءُو عَلَیۡهِ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَاۤءَۚ فَإِذۡ لَمۡ یَأۡتُوا۟ بِٱلشُّهَدَاۤءِ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡكَـٰذِبُونَ (13) وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِ لَمَسَّكُمۡ فِی مَاۤ أَفَضۡتُمۡ فِیهِ عَذَابٌ عَظِیمٌ (14) إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا لَیۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ وَتَحۡسَبُونَهُۥ هَیِّنࣰا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِیمࣱ (15) وَلَوۡلَاۤ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ قُلۡتُم مَّا یَكُونُ لَنَاۤ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَـٰذَا سُبۡحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُهۡتَـٰنٌ عَظِیمࣱ (16) }

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau ! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

[Surah An-Nūr: 12-16]
=====

 Mutakhir, Di sosial media & di saluran berita, ada-ada sahaja gossip tentang perbuatan keji kalangan Muslim. Berita skandal, hubungan sulit, yang ditangkap khalwat, semuanya jadi bahan cerita ramai netizen yang tidak mengenali antara sesama. 

Walaupun tidak didatangkan 4 saksi, walaupun mungkin perbuatan keji tersebut dilakukan sorok-sorok secara peribadi dan bukannya publik, berita sebegini tersebar tanpa si penyebar rasa bersalah. Sedangkan hal ini mengundang bukan sahaja azab di akhirat, tetapi termasuklah azab di DUNIA.

=====
{ إِنَّ ٱلَّذِینَ یُحِبُّونَ أَن تَشِیعَ ٱلۡفَـٰحِشَةُ فِی ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِیمࣱ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِۚ وَٱللَّهُ یَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (19) وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ رَءُوفࣱ رَّحِیمࣱ (20) }
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta).

[Surah An-Nūr: 19-20]
=====

Konteks ayat di atas adalah penyebaran berita dusta yang melibatkan kehormatan & maruah orang beriman. 

Tetapi, apabila Allah SWT menggunakan kalimah umum ٱلۡفَـٰحِشَةُ (perbuatan keji yang melibatkan seksual) dan bukan terhad pada kalimah dusta atau berita bohong, umat Islam mendapat pengajaran yang lebih luas. 

Bukan setakat berita bohong mengenai perbuatan keji sahaja yang tak boleh disebarkan, tetapi apa-apa bentuk ٱلۡفَـٰحِشَةُ adalah dilarang untuk disebarkan. 

Hiburan filem & drama, kalau ada unsur ٱلۡفَـٰحِشَةُ, tak boleh disebarkan. Jangan tonton, jangan buat review mengenainya. 

Novel yang ada unsur ٱلۡفَـٰحِشَةُ, walau sekelumit, walau hanya satu muka Surat, jangan disebarkan. Jangan jadi jurujual yang menjual. Jangan jadi marketer yang memasarkan. 

Gambar-gambar yang tidak menutup aurat, jangan digunakan, jangan disebarkan. 

Surah An-Nur secara umumnya sarat hukum dan panduan dalam menghadapi perkara keji ٱلۡفَـٰحِشَةُ ini. Bermula dengan hukuman terhadap penzina, diikuti hukum Lian (perihal suami yang menuduh isterinya melakukan perbuatan keji) disusuli hukum terhadap orang-orang terlibat menyebarkan hal-hal keji ini. 

Dalam kalangan masyarakat Madinah, apakah mereka yang terlibat bergossip dan menceritakan hal ini hanya disuruh bertaubat?

Tidak.

Mereka tetap dikenakan hukuman. Mereka tetap disebat kerana gagal mendatangkan 4 saksi. 

Merenung hal ini di Malaysia, berita ٱلۡفَـٰحِشَةُ tersebar tanpa rasa bersalah. Tanpa siapa rasa takut disebat kerana pelaksanaan hukum tersebut tidak berlaku. 

Sedangkan, di sisi Allah SWT, perkara ini sangat-sangat berat dan tidak disukaiNya sehinggakan Dia menjanjikan azab dunia dan akhirat. 

Mahu mengundang azab Allah SWT?

Ulasan