Sedang berjalan di dalam bangunan baru, tiba-tiba semua lampu terpadam.
"Blackout!"
Anda yang pertama kali berada dalam bangunan tersebut, rasa takut untuk bergerak.
Tak nampak apa yang di hadapan, tak nampak apa yang di sekeliling.
Ketika itu, apakah keputusan yang mahu diambil? Mahu teruskan bergerak dan berjalan? Langgar dan biarkan diri tercedera akibat tersadung atau terpijak apa-apa yang bahaya?
Atau tunggu dan tidak bergerak. Tunggu sahaja entah sampai bila, sehinggalah tiba cahaya yang boleh memandu diri maju menuju destinasi.
Begitulah keadaannya ketika manusia dalam kegelapan.
Hidup ini, kita amat-amat memerlukan cahaya petunjuk daripada Robb agar memandu kita. Serta menyelamatkan kita daripada bahaya di dunia dan akhirat.
Bagaimanakah cahaya daripada Allah SWT?
Cahaya Allah SWT adalah seperti satu lubang di dinding, yang di dalamnya terdapat lampu yang amat-amat terang.
Lubang tersebut umpama dada manusia yang terkandung dalamnya hati. Lubang tersebut memerangkap semua cahaya menyebabkan seluruh kawasan jadi sangat-sangat terang.
Lampu di dalam lubang tersebut adalah di dalam sebuah bekas kaca. Bekas kaca itu memelihara cahaya lampu daripada terpadam. Bekas kaca itu adalah ilmu dan sahabat soleh yang menjaga iman daripada terus menurun. Justeru, seorang yang mahu terus menjaga imannya, harus berusaha untuk terus menuntut ilmu dan bergaul dengan orang-orang soleh. Saat ilmu tidak diamalkan, ketika masuk dalam persekitaran buruk, ibarat bekas kaca tersebut semakin kotor, menghalang cahaya daripada bersinar ke luar. Akibatnya, cahaya semakin malap.
Lampu yang memberikan cahaya pula adalah ibarat Iman dalam hati (qalb) orang beriman. Kekuatan Iman inilah yang mampu menggerakkan jasad manusia untuk taat dan beramal. Cahaya yang hidup membuatkan jasad manusia berfungsi, memenuhi tujuan penciptaannya.
Lampu tersebut pula bernyala disebabkan sumber minyak zaitun banyak manfaat, yang tidak tumbuh di Timur dan Barat. Seakan-akan menggambarkan buah zaitun tersebut bukan berasal bumi. Minyak zaitun ini ibarat petunjuk Al-Quran yang banyak berkahnya, bukan berasal bumi. Sebaliknya Al-Quran itu, diturunkan daripada Allah SWT, dari lauh mahfudzh untuk menerangi bumi dan seisinya. Minyak inilah sumber bahan api yang menyebabkan lampu tersebut terus bernyala.
Begitulah kita dalam hidup ini. Untuk maju bergerak, untuk buat keputusan setiap ketika, amat memerlukan cahaya petunjuk. Cahaya petunjuk ini sumber berterusannya adalah Al-Quran yang menghidupkan Iman.
Justeru,
Berusahalah menerangi jalan hidup dengan cahaya Tuhan.
Teruslah berdamping dengan Al-Quran.
=====
{ ۞ٱللَّهُ نُورُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ مَثَلُ نُورِهِۦ كَمِشۡكَوٰةٖ فِيهَا مِصۡبَاحٌۖ ٱلۡمِصۡبَاحُ فِي زُجَاجَةٍۖ ٱلزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوۡكَبٞ دُرِّيّٞ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٖ مُّبَٰرَكَةٖ زَيۡتُونَةٖ لَّا شَرۡقِيَّةٖ وَلَا غَرۡبِيَّةٖ يَكَادُ زَيۡتُهَا يُضِيٓءُ وَلَوۡ لَمۡ تَمۡسَسۡهُ نَارٞۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٖۚ يَهۡدِي ٱللَّهُ لِنُورِهِۦ مَن يَشَآءُۚ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَٰلَ لِلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ }
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[Surah An-Nūr: 35]
=====
Ulasan
Catat Ulasan