Diuji? Itu tanda orang beriman



Pernah terlintas untuk cepat-cepat meninggalkan dunia kerana tidak tahan akan ujian kesusahan? 

Ada yang bermasalah dalam perhubungan kerja. 
Ada yang rumahtangga sudah lama retak. 
Ada yang lama bertahan dengan sakit yang berpanjangan. 

Lalu, dunia yang menghamparkan bermacam-macam kesulitan sudah terasa hilang bahagianya. 

Bagi mereka yang belajar surah Al-Ankabut, akan punyai perspektif bahawa segala ujian rupa-rupanya peluang membuktikan Iman. 

Meskipun ujian yang dilalui, bukanlah sesuatu yang disukai, 
tetapi makna di sebalik ujian sebagai jalan ke syurga,
memberikan orang beriman kekuatan luar biasa. 

======
{ أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ }

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji?

{ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ }

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

[Surah Al-ʿAnkabūt: 2-3]
=====

Orang-orang terdahulu telah diuji. 
Termasuklah mereka yang Dia kasihi kalangan para Nabi. 

Kerana ujian rupa-rupanya untuk membuktikan siapa yang benar-benar beriman kepadaNya melalui ketaatan terhadap kandungan wahyu. 

Yang memilih jalan hidup sebagai suami atau isteri, akan diuji dengan segala tanggungjawab serta perintah & larangan mengenai perkahwinan. Berjayalah mereka yang menjadikan setiap ujian sebagai peluang membuktikan Iman terhadap kalamNya. 

Yang menjalani kehidupan sebagai bujang, juga diuji sejauh mana istiqamah dalam memelihara kehormatan diri. Betuntunglah mereka yang menjaga diri, menapaki jalan Al-Qonitin seperti Maryam. 

=====
{ وَمَرۡيَمَ ٱبۡنَتَ عِمۡرَٰنَ ٱلَّتِيٓ أَحۡصَنَتۡ فَرۡجَهَا فَنَفَخۡنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتۡ بِكَلِمَٰتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِۦ وَكَانَتۡ مِنَ ٱلۡقَٰنِتِينَ }


Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.

[Surah At-Taḥrīm: 12]
=====

Sehingga akhirnya, yang terus berjuang (jihad) melawan nafsu serta taat dalam pengabdian kepadaNya, akan dilorongkan jalan kebaikan.

=====
{ وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ }

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

[Surah Al-ʿAnkabūt: 69]
=====

Moga tiba di destinasi syurga, dalam keredhaanNya. 

Ulasan