Kehidupan di dunia, suka atau tidak, pasti akan diuji. Saat berada di titik paling bawah, bagaimana untuk terus positif, berprasangka baik bahawa kesulitan itu akan berakhir?
Surah Ar-Rum mengajar kita mengenali Dia melalui alam semesta. Itulah Surah yang mengulang kalimah "ayaat" (tanda-tanda kebesaranNya) agar manusia beriman kepadaNya dan yakin akan kembali bertemu denganNya.
Sesuatu yang menarik tentang Surah ini antaranya dimulakan dengan berita masa depan.
=====
{ الۤمۤ (1) غُلِبَتِ ٱلرُّومُ (2) فِیۤ أَدۡنَى ٱلۡأَرۡضِ وَهُم مِّنۢ بَعۡدِ غَلَبِهِمۡ سَیَغۡلِبُونَ (3) فِی بِضۡعِ سِنِینَۗ لِلَّهِ ٱلۡأَمۡرُ مِن قَبۡلُ وَمِنۢ بَعۡدُۚ وَیَوۡمَىِٕذࣲ یَفۡرَحُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (4) بِنَصۡرِ ٱللَّهِۚ یَنصُرُ مَن یَشَاۤءُۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِیزُ ٱلرَّحِیمُ (5) }
Alif lama meem. Orang-orang Rom telah dikalahkan - Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya - Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira - Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[Surah Ar-Rūm: 1-5]
=====
Pada zaman Nabi Muhammad saw, dua kuasa besar adalah Rom dan Persia. Ketika itu, Musyrikin Mekah menyokong Persia kerana kerajaan Persia juga musyrik. Umat Islam ketika itu pula lebih cenderung menyebelahi Rom kerana kerajaan Rom beragama Nasrani (Abrahamaic religion).
Ketika ayat ini turun, iaitu perkhabaran bahawa Rom akan menang dalam tempoh kurang 10 tahun, ada Musyrikin Mekah yang mengajak Muslim bertaruh (ketika itu larangan bertaruh/Judi belum turun).
Dan tatkala tentera Rom benar-benar menang sekitar tahun ke-7 selepas ayat ini diturunkan, ramai yang masuk Islam. Ini merupakan salah satu bukti kebenaran Al-Quran dan kebenaran janji Tuhan.
Namun, hanya yang berusaha menggunakan kapasiti pendengaran, penglihatan dan hati untuk garap ilmu sahajalah yang akan meyakini janjiNya.
=====
{ وَعۡدَ ٱللَّهِۖ لَا يُخۡلِفُ ٱللَّهُ وَعۡدَهُۥ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ }
Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[Surah Ar-Rūm: 6]
=====
Dalam Al-Quran, Allah SWT banyak berjanji kepada manusia. Namun, sedikit yang mengetahuinya.
Justeru, berazamlah kita agar tergolong mereka yang sedikit itu. Yang peduli belajar memahami wahyu agar tahu akan janji-janjiNya.
Peristiwa ini hakikatnya mengajar kita realiti hidup. Bahawa memang ada waktu kita di atas. Ada waktu, kita di bawah.
Kemenangan dan kekalahan kuasa itu silih berganti.
=====
{ إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٞ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٞ مِّثۡلُهُۥۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُهَدَآءَۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّٰلِمِينَ }
Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
[Surah Āli-ʿImrān: 140]
=====
Yang berilmu, yang peduli belajar memahami wahyu akan lebih mudah bergantung harap kepadaNya. Kerana cakna akan janji-janjiNya. Kerana yakin akan janji-janji Tuhan.
Apakah contoh-contoh janjiNya yang menumbuhkan harapan?
Bahawa Dia tidak akan uji manusia melebihi kemampuannya.
Bahawa dalam setiap kesulitan itu sekurang-kurangnya ada 2 kemudahan.
Justeru, belajarlah wahyu.
Jadilah golongan yang tahu.
Agar hidup sentiasa terpandu.
____________
Kuiz Quran : Apakah dalil 2 janji Allah SWT yang baru sahaja dinyatakan?
Ulasan
Catat Ulasan