Tawassul



Kedai makan itu meriah seperti biasa, dengan suara pelanggan berbual dan aroma makanan yang menyelerakan. Nurain menyandarkan tubuhnya ke kerusi kayu sambil memandang Aisyah yang sedang khusyuk menatap telefon pintarnya. Tempahan mereka masih belum tiba, memberi ruang untuk mereka berbual lebih panjang.

"Kenapa akhir-akhir ni kecoh sangat topik tawassul? Nampak macam ramai bergaduh pula," Nurain memulakan. Suaranya sedikit kerisauan, namun jelas ada rasa ingin memahami isu yang hangat diperkatakan itu.

Aisyah meletakkan telefonnya ke tepi, lalu mengangkat wajahnya dengan senyuman tipis. "Tawassul tu sebenarnya soal rasa kerdil seorang hamba. Bila kita takut doa tak dimakbulkan Tuhan, kita cari perantara. Moga-moga dengan perantara itu, doa dimakbulkan Tuhan."

Nurain memiringkan kepala, memandang Aisyah dengan dahi sedikit berkerut. "Habis tu, boleh atau tak boleh sebenarnya?"

"Sebenarnya, ada panduan yang jelas dalilnya dalam AlQuran. Tapi ada juga kaedah yang tak ada dalilnya, malah haram. Kalau nak tahu lebih, saya boleh cerita kaedah yang dibenarkan."

Nurain mengangguk dengan penuh minat. "Tawassul yang dibenarkan tu apa contohnya?"

"Orang bertawassul sebab berharap sangat doanya dimakbulkan, kan?" Aisyah membetulkan duduknya. "Jadi kita kena tengok cara orang-orang soleh dalam Quran berdoa, dan apa yang mereka buat menyebabkan doa mereka diterima."

"Oh, faham."

Aisyah tersenyum melihat perubahan di wajah Nurain yang kelihatan lebih berminat. "Kaedah pertama ialah bertawasul dengan nama-nama Allah SWT. Bukti jelas ada dalam lafaz basmalah itu sendiri dan firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 180: 'Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.' Kalau nak doa dimakbulkan, mulakan dengan mengenal Allah melalui nama dan sifat-Nya."

"Nama-nama Allah, ya? Asmaul Husna.  Ada kaedah lain selain tu?" Nurain memegang dagunya, seakan mencatat di dalam fikirannya.

"Ada. Teladan Nabi Yunus a.s. mengajar kita bertawassul dengan tauhid, tasbih, dan istighfar," jawab Aisyah sambil menatap Nurain.

"Betul. Nabi Yunus a.s bahkan diuji sampai berada dalam perut ikan, dalam laut yang dalam. Tapi Allah swt selamatkan baginda," Nurain mencelah. "Kalau banding Firaun yang berdoa juga masa nak mati, kenapa doa Firaun tak diterima?"

"Bezanya, Ain, Nabi Yunus a.s mentauhidkan Allah, bertasbih, dan beristighfar. Firaun syirik. Doa Firaun tak layak dimakbulkan."

Nurain mengangguk perlahan. "Tasbih Nabi Yunus yang terkenal tu, kan?
‘Lā ilāha illa anta subḥānaka inni kuntu minaẓẓālimīn.’ Saya hafal!"

Aisyah tersenyum bangga. "Baguslah kalau macam tu. Selain dua kaedah tadi, ada lagi satu kaedah tawassul."

Nurain membetulkan duduknya, semakin teruja. "Apa pula?"

"Dengan amal soleh. Salah satu sirot atau teladan ialah Nabi Musa a.s. Doa baginda termakbul selepas membantu dua wanita yang sedang dalam kesusahan."

Nurain menepuk tangan perlahan. "Oh ya, dalam Surah Al-Qasas, kan? Selalu orang sebut doa Nabi Musa a.s untuk dapat rezeki atau jodoh, tapi lupa nak highlight ihsan yang baginda tunjukkan."

"Betul tu, Ain. Kalau tengok kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Yusuf a.s., kedua-duanya digambarkan sebagai pemuda yang muhsin. Mereka tunjukkan ihsan. Mereka beramal soleh. Dan Allah berikan mereka sebaik-baik pemberian iaitu hikmah."

Nurain menyandarkan diri sambil tersenyum puas. "Kalau saya simpulkan, ada tiga contoh kaedah tawassul dalam Quran. Betul tak?"

Aisyah mengangguk. "Betul. Tawassul dengan nama Allah, Tawassul melalui tauhid, tasbih dan istighfar, serta Tawassul melalui Ihsan atau amal soleh."

"Tapi kena ingat. Nak berdoa ni, kena kenal Allah SWT. Perlu kenal sifat Robb sebagai Pencipta, Pemberi Rezeki dan pentadbir alam. Kalau tak, risau doa disia-siakan seperti Firaun. Yang berdoa mohon diselamatkan dalam keadaan dirinya tak kenal siapa Robb, perasan diri Tuhan, malah mensyirikkan Tuhan sepanjang hidup." Nurain menambah. 

"Ya. Berdoa ni, kena kenal siapa Tuhan kita."

"Jadi, tiga je?" Nurain bertanya lagi, seakan-akan mencabar.

Aisyah tergelak kecil. "Sebenarnya banyak lagi. Ada teladan ulul albab Surah Ali-Imran, ada teladan Nabi sulaiman a.s. Dan eh, banyak lagilah. Kalau nak tahu, kena tadabbur ayat-ayat yang ada perkataan ‘fa istajaba’ atau konsep ‘dimakbulkan doa’ dalam Quran."

Nurain ketawa kecil. "Baik, cik Aisyah. Homework diterima. Alumni SKDA atau TOTIQ mesti laju buat homework ni."

Aisyah tersenyum lebar sambil mengerling ke arah pelayan yang membawa pesanan mereka. "Bagus. Sambil makan, kita boleh teruskan tadabbur nanti."

Ulasan